FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Ramadan bakal tiba tidak lama lagi. Tahun lalu, kita sama-sama menyambut kedatangan Ramadan dalam norma baharu.

Masing-masing melaksanakan ibadat puasa dan amalan sunat ketika Ramadan di rumah sendiri. Masih teringat lagi apabila solat Tarawih dilaksanakan di rumah dengan imam daripada kalangan ahli keluarga.

Selepas solat Tarawih, masing-masing membaca al-Quran secara tadarus. Begitulah rutin sebulan Ramadan tahun lalu apabila setiap rumah diimarahkan dengan pelbagai amal ibadah.

Begitulah suasana Ramadan yang sangat berlainan daripada tahun sebelumnya. Perkara penting yang perlu disedari, Ramadan tetap akan hadir setiap tahun meskipun dunia dilanda wabak Covid-19. Usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT tetap berlangsung mengikut keadaan semasa.

Tidak ada alasan untuk meninggalkan tuntutan Ramadan kerana pintu keistimewaan bulan itu tetap terbuka seluas-luasnya.

Tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadan. Detik ini perlu diisi dengan keterujaan untuk menemuinya. Sahabat pada zaman Rasulullah SAW mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan enam bulan sebelumnya. Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lata'if al-Ma'arif menyatakan: "Mereka (sahabat) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dapat menemui Ramadan."

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh mulia apabila baginda memperbanyakkan puasa pada Syaaban iaitu sebelum datangnya Ramadan.

Hal ini dinyatakan oleh isteri baginda, Saidatina Aisyah yang mafhumnya: "Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam satu bulan sebanyak puasa yang baginda lakukan pada Syaaban, padanya baginda berpuasa sebulan penuh." Dalam riwayat lain: "Baginda berpuasa pada Syaaban, kecuali sedikit hari (baginda tidak berpuasa)." Hadis Riwayat Muslim

Semua ini memberi gambaran jelas keterujaan Rasulullah SAW serta sahabat menanti kedatangan Ramadan. Mereka melakukan amalan soleh dengan berpuasa, membaca al-Quran dan berdoa agar dipertemukan dengan Ramadan yang diberkati oleh Allah SWT.

Bagaimana pula dengan persediaan kita menanti kedatangan Ramadan? Adakah kita telah mula memperbanyakkan amalan soleh untuk dilakukan pada Ramadan? Marilah kita mula menanam rasa teruja untuk bertemu Ramadan dengan bercerita mengenainya. Usah jadikan diri hanyut dengan cerita hiburan, politik dan seumpamanya yang dilihat tidak berkesudahan.

Jangan jadikan diri sibuk bercerita perkara yang dapat menghilangkan fokus terhadap tibanya Ramadan. Mulakan dengan bercerita mengenai ibadat puasa dan perkara yang berkaitan dengannya. Sememangnya saban tahun kita berpuasa, namun jangan rasa bosan dengan ilmu berkaitan puasa yang perlu kita timba sebelum kedatangan Ramadan. Bukalah buku berkaitan puasa, hadirlah majlis ilmu yang membicarakan hukum-hakam puasa dan bertanyalah kepada orang yang lebih mengetahui mengenai isu berkaitan puasa.

Pendekatan menyibukkan diri dengan perkara yang membabitkan puasa akan membuatkan diri lebih bersedia untuk melaksanakan ibadah ini lebih baik daripada tahun sebelum ini. Ingatlah ibadat puasa dapat menyelamatkan diri daripada azab neraka.

Oleh itu, pelaksanaannya perlulah dilakukan berdasarkan ilmu bukan sekadar rutin tahunan biasa. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba daripada seksaan neraka." Hadis Riwayat Ahmad

Kita juga boleh mula bercerita mengenai puasa dalam kalangan ahli keluarga. Kita sebut kepada anak bahawa Ramadan akan datang tidak lama lagi. Meskipun Islam tidak menetapkan puasa sebagai kewajipan kepada kanak-kanak yang belum baligh, mereka boleh dilatih untuk berpuasa mengikut kemampuan diri. Inilah satu cara untuk mengimarahkan rumah dengan ibadat tatkala seluruh ahli keluarga sama-sama melaksanakan perintah daripada Allah SWT.

Daripada ar-Rubayyi' binti Mu'awwiz, katanya, Nabi SAW pernah mengutus seseorang kepada satu suku Ansar pada pagi hari Asyura. Baginda bersabda: "Sesiapa yang pada pagi hari dalam keadaan tidak berpuasa, hendaklah dia berpuasa. Sesiapa yang pada pagi harinya berpuasa, maka hendaklah berpuasa." Lalu ar-Rubayyi' mengatakan: "Kami berpuasa setelah itu. Lalu anak kami pun turut berpuasa. Kami sengaja membuat untuk mereka mainan daripada bulu. Jika seorang daripada mereka menangis, merengek-rengek meminta makanan, kami memberi mainan itu kepadanya. Akhirnya mereka pun turut berpuasa hingga waktu berbuka." Muttafaq 'alaih

Meskipun puasa yang dilakukan sahabat Rasulullah SAW itu bukan puasa Ramadan, namun dapat difahami langkah yang diambil oleh mereka dalam usaha melatih anak berpuasa. Berilah latihan kepada anak untuk berpuasa mengikut kemampuan mereka. Jangan paksa mereka sekiranya mereka belum mampu berpuasa dari awal pagi hingga terbenam matahari.

Imam an-Nawawi memberi penjelasan mengenai hadis berkenaan dalam Syarah Sahih Muslim, katanya: "Hadis itu menunjukkan perihal melatih anak dalam melakukan ketaatan dan mendidik mereka untuk beribadah. Bagaimanapun, mereka tetap belum menanggung ketetapan syariat atau belum mukalaf."

Perkara penting yang perlu ditekankan ialah mendidik anak agar seronok melakukan ibadah. Jangan buat mereka terpaksa melakukannya kerana ia boleh membuatkan mereka tidak bersemangat untuk beribadat dengan ikhlas. Oleh itu, ceritakanlah kebaikan puasa agar mereka dapat merasai nikmat melakukan ibadah kerana melaksanakan perintah daripada Allah SWT.

Dalam konteks kehidupan bermasyarakat pula, kebanyakan masjid dan surau mula mengatur pelbagai aktiviti untuk mengimarahkan rumah Allah pada Ramadan. Poster dan banner mula kelihatan dipasang di merata tempat dengan ucapan selamat sempena ketibaan Ramadan.

Semangat bekerjasama untuk menghidupkan Ramadan adalah perbuatan mulia dan boleh menjadi sebab memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka usahakan." Surah al-A'raf, ayat 96

Marilah sama-sama kita menantikan ketibaan Ramadan dengan bercerita mengenainya. Ramadan adalah penghulu segala bulan yang di dalamnya ada satu malam yang beribadah padanya akan mendapat ganjaran lebih baik daripada beribadah selama tempoh seribu bulan. Keistimewaan ini perlu dikejar dengan mempersiapkan diri sejak sebelum datangnya 1 Ramadan lagi.

Bercakap mengenai Ramadan akan menjadikan diri kita memberi fokus terhadapnya manakala perbuatan tidak menyebut tentangnya ataupun menyebut perkara negatif yang dikaitkan dengannya seperti bulan tak dapat makan seperti biasa, perlu bangun awal pagi untuk bersahur, terpaksa memasak juadah berbuka dan seumpamanya perlu dielakkan. Semua perkara negatif itu hanya akan membuatkan diri tidak bersemangat untuk berada dalam Ramadan. Akhirnya nanti diri sendiri yang rugi kerana tidak dapat meraih rahmat Allah SWT sepanjang Ramadan.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:00 AM