PENIAGA yang  memahami sunah berniaga Rasulullah akan   melazimkan budaya bersedekah kerana  amalan itu sebenarnya   menjadi asbab keberkatan dan limpahan rezekinya.
PENIAGA yang memahami sunah berniaga Rasulullah akan melazimkan budaya bersedekah kerana amalan itu sebenarnya menjadi asbab keberkatan dan limpahan rezekinya.
Bersama Fahimi Zakaria

Seorang peniaga Muslim wajar melazimi amalan bersedekah dalam perniagaannya. Hal ini merupakan sunah yang mulia sebagai peniaga Muslim yang menjadikan perniagaan itu bukan hanya sebagai kerjaya, tetapi sebagai jalan ketaatan kepada Allah SWT melalui amalan sedekah. Sifat pemurah ini bukan hanya dalam hubungan antara orang kaya dengan orang miskin sahaja, bukan juga hanya bersedekah ketika di masjid tetapi sifat ini juga sepatutnya diamalkan antara peniaga dengan pelanggannya. Peniaga yang benar-benar memahami sunah berniaga akan sentiasa melazimkan budaya bersedekah ketika berniaga, bahkan amalan ini sebenarnya akan menjadi asbab keberkatan dan limpahan rezeki seorang peniaga.

Hadis daripada 'Abdullah bin 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, tangan pemberi lebih baik daripada tangan penerima." (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini menurut Imam Nawawi RH bahawa orang yang mempunyai harta hendaklah sentiasa meringankan kesusahan orang yang memerlukan. Orang yang mempunyai harta dalam konteks perniagaan ialah peniaga yang meraih kesenangan melalui keuntungan dalam perniagaannya. Maka seharusnya dia berusaha untuk menjadi orang yang pemurah kerana tangan orang yang pemurah (memberi) lebih mulia dan besar ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Sebagai contoh pada bulan Ramadan, para peniaga di bazar sebaiknya merancang setiap hari untuk bersedekah ketika berniaga sama ada sedekah sebekas kuih ke masjid untuk majlis berbuka atau makanan moreh. Sedekahlah makanan yang paling sedap dan jamulah orang Islam berbuka puasa. Sesiapa yang menjamu orang yang berbuka puasa, maka pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Rupa iman seorang Muslim itu adalah seperti rupa ibadah yang dilakukannya, iaitu jika dia bersedekah dengan sesuatu yang baik (sempurna) maka itulah kebaikan imannya. Namun jika dia memberi sesuatu yang buruk (rosak), maka itulah keburukan imannya.

Janganlah ketika jualan tidak habis atau tidak laku, barulah peniaga terfikir untuk bersedekah kepada pelanggan atau di masjid. Kerana hal itu sebenarnya bukan sedekah, tetapi ia hanya pembuangan semata-mata atau pemberian yang sudah tiada nilai. Al-Quran jelas menyatakan bahawa hakikat dan kesempurnaan kebaikan seseorang itu hanya dicapai apabila dia memberi (sedekah) sesuatu yang dicintainya. (Surah Ali 'Imran: 92)

Apabila kita memberi sesuatu yang sudah tidak berguna, maka hal itu bukanlah termasuk dalam erti kata sedekah yang sempurna, bahkan perkara itu tidak juga dianggap sebagai sifat pemurah seorang peniaga.

Selain itu, peniaga perlu mengamalkan sifat pemurah seperti memberi lebih satu atau dua biji kuih dengan niat sedekah, isi air yang lebih sedikit daripada harganya dengan niat sedekah atau menambah lebih satu atau dua biji buah yang dibeli dengan niat sedekah. Inilah amalan mulia yang para peniaga sering terlupa atau terlepas pandang dalam urusan perniagaan mereka. Tanpa disedari, amalan remeh seperti inilah mengundang doa-doa rahsia yang mustajab daripada pelanggan yang sangat berhajat dan memerlukan. Jangan pula menambah buah yang sudah rosak, buruk atau busuk dengan niat sedekah atau memberi kuih yang sudah hancur dan hanya tunggu masa untuk dibuang.

Peniaga Muslim yang menyintai sunah berniaga cara Rasulullah SAW sepatutnya mengetahui bahawa baginda seorang peniaga yang pemurah. Amalan dan sifat mahmudah ini hendaklah dibawa keluar masjid sehingga dalam urusan perniagaan antara Muslim.

Hidupkan budaya yang baik ini agar ia terus tumbuh mekar dalam masyarakat kita terutamanya ketika kita sedang berada pada bulan yang mulia ini, setiap amalan diberi ganjaran yang berlipat ganda sehingga 'Abdullah bin 'Abbas RA mengatakan bahawa pantasnya Rasulullah SAW bersedekah pada bulan Ramadan melebihi kepantasan angin yang bertiup (Riwayat al-Bukhari). Semoga cintanya para peniaga kepada pekerjaan sunah ini membawa kepada sifat yang menjadi sunah juga iaitu sifat pemurah.     

Penulis Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 7:00 AM