TIDAK disangkal lagi bahawa al-Quran akan menjadi pembela kepada mereka yang mengamalkannya di sepanjang hidupnya.
TIDAK disangkal lagi bahawa al-Quran akan menjadi pembela kepada mereka yang mengamalkannya di sepanjang hidupnya.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

ALHAMDULILLAH, kita telah pun berada pada minggu ketiga Ramadan. Begitu pantas masa berlalu untuk kita masuk ke fasa terakhir Ramadan. Bulan yang diturunkan kitab suci teragung, al-Quran. Majoriti ulama bersepakat bahawa ayat yang terawal diwahyukan kepada Rasulullah SAW adalah pada 17 Ramadan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah: ayat 185: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi semua manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dan yang salah."

Penawar, keberkatan dan rahmat yang terkandung di dalam al-Quran bagi orang yang beriman tidak dapat disangkal lagi. Allah SWT berfirman: "Kemudian makanlah daripada segala jenis buah-buahan (yang engkau suka) serta turutlah jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu." (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) berlainan warnanya yang mengandungi penawar bagi manusia (daripda pelbagai penyakit). Sesungguhnya yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan pemurahnya Allah) bagi orang yang mahu berfikir." (Surah an-Nahl ayat 69)

Dalam kuliah ilmu As-Syeikh as-Sha'rawi al-Misry pernah mengungkapkan perbezaan di antara al-Quran dan kitab yang turun sebelumnya. Antaranya ialah:

  • Kitab sebelumnya telah hilang ketulenannya, manakala al-Quran hingga kini dan akan datang sekalipun, masih kekal keasliannya. Hal ini diterangkan oleh al-Quran sendiri dalam Surah al-Hijr, ayat 9: "Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-zikr (al-Quran) dan Kami jualah yang menjaganya (daripada terpesong)."

  • Al-Quran ditujukan kepada seluruh alam dan umat manusia manakala kitab terdahulu hanya untuk golongan atau umat tertentu. Allah SWT berfirman dalam Surah ali Imran ayat 183: "Itulah keterangan yang jelas untuk semua manusia, sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang yang bertakwa."

  • Al-Quran merumuskan ajaran akidah dan keesaan Allah SWT dalam kitab terdahulu serta mengukuhkan kebenaran ajaran sebenar yang asalnya terdapat di dalam kitab terdahulu.

  • Semua kitab terdahulu menggunakan bahasa kaum masing-masing yang kini sudah pupus sejak ribuan tahun dahulu, manakala al-Quran menggunakan bahasa Arab yang mempunyai nilai sastera dan retorik tiada tandingannya. Bahasa ini digunakan hingga kini oleh jutaan umat Islam di dunia ini sama ada Arab atau bukan Arab di pelbagai peringkat pengajian dan dalam kalangan masyarakat awam.

    Justeru, tidak disangkal lagi bahawa al-Quran akan menjadi pembela kepada mereka yang mengamalkannya di sepanjang hidupnya. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk sentiasa membaca al-Quran dan menghayatinya kerana amalan ini bakal menjadi syafaat kepada pembacanya pada akhirat kelak. Hadis daripada Abu Umamah RA katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai sesuatu yang dapat memberikan syafaat (pertolongan) kepada orang yang membacanya." (Hadis Riwayat Muslim)

    Menurut bekas Pensyarah Universiti Malaya, Dr Mohd Fauzi Deraman, menyatakan al-Quran kitab suci istimewa yang suruhan dan larangan Allah bukan saja disampaikan dengan ayat secara terus, tetapi ada juga yang disampaikan melalui kiasan atau perumpamaan seperti kisah Nabi Musa, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Selain itu, beliau juga menjelaskan tentang wujudnya makhluk atau perkara ghaib iaitu sesuatu yang manusia tidak nampak dengan mata, tetapi umat Islam wajib mempercayainya. Antaranya perihal syurga, neraka, malaikat, iblis, syaitan, jin, dosa, pahala dan sebagainya. Kita wajib mempercayainya tanpa sebarang alasan dan syak wasangka sebagai bukti keimanan kepada Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 2: "Itulah kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang kesempurnaannya, ia menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa."

    Bak kata pepatah Melayu, 'tak kenal, maka tak cinta.' Antara fakta menarik tentang al-Quran yang perlu kita ketahui, antaranya ialah:

  • Jumlah ayat di dalam al-Quran ialah 6,236 (menurut Ibnu Abbas RA)

  • Jumlah juzuk al-Quran adalah 30 juzuk

  • Jumlah surah di dalam al-Quran adalah 114

  • Jumlah ayat Basmalah dalam al-Quran adalah 114

  • Surah yang mempunyai dua Basmalah di dalamnya ialah surah an-Naml

  • Surah yang tidak dimulakan dengan Basmalah ialah surah at-Taubah

  • Surah pertama di dalam al-Quran ialah surah al-Fatihah

  • Surah terakhir di dalam al-Quran ialah surah an-Nas

  • Wahyu pertama yang diturunkan adalah awal Surah al-'Alaq

  • Surah lengkap pertama yang diturunkan ialah Surah al-Muddatthir

  • Wahyu terakhir yang diturunkan adalah ayat 281 Surah al-Baqarah

  • Surah lengkap terakhir yang diturunkan ialah Surah an-Nasr (mengikut Ibnu Abbas RA)

  • Surah terpanjang dalam al-Quran ialah Surah al-Baqarah

  • Surah terpendek dalam al-Quran ialah Surah al-Kauthar

  • Ayat terpanjang dalam al-Quran adalah ayat 282 Surah al-Baqarah

  • Ayat terpendek dalam al-Quran adalah ayat 1 Surah al-Fajr /Surah al-'Asr

  • Ayat sajadah dalam al-Quran ada 14 ayat

  • Surah yang mempunyai dua ayat sajadah ialah Surah al-Haj

  • Surah pertama yang mengandungi ayat sajadah ialah ialah Surah al-A'raf

  • Surah terakhir yang mengandungi ayat sajadah ialah surah al-'Alaq

  • Surah yang terletak di pertengahan al-Quran ialah Surah al-Kahfi

  • Bilangan muka surat al-Quran ialah 604 muka surat

  • Tajuk surah al-Quran majoriti daripada kata nama (110 nama) manakala dua daripada huruf (Sod dan Qaf), dua lagi daripada kata kerja (fussilat dan 'Abasa).

    Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat beberapa kaum dengan kitab ini (al-Quran) serta menurunkan darjat kaum yang lain dengannya." (Hadis Riwayat Muslim)

    Ini jelas membuktikan bahawa membaca al-Quran dengan hati yang tenang dapat mengubah perilaku seseorang daripada tidak baik kepada yang lebih baik. Baginda Rasullulah SAW pernah bersabda: "Sebaik- baik manusia adalah yang membaca dan mempelajari al-Quran serta mengajarkannya kepada orang lain." (Hadis Riwayat Bukhari)

    Kelebihan membaca al-Quran juga dapat difahami melalui hadis Nabi saw yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud. Sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang Alif, Lam, Mim itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

    Selain itu, hadis Aisyah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mahir dengan bacaan al-Quran maka dia bersama para malaikat yang mulia dan taat. Sedangkan orang yang membaca al-Quran dan ia berasa susah dalam bacaannya (tidak lancar), tetapi ia sentiasa berusaha maka dia mendapat dua pahala." (Hadis Riwayat Muslim)

    Penulis Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:59 AM