FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Datuk Mohd Ajib Ismail

Di dalam kitab suci al-Quran yang menjadi panduan dan pedoman hidup seorang Muslim, Allah SWT merakamkan peristiwa tentang beberapa dialog Nabi Ibrahim AS yang membenarkan akidah tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Persoalan dan keraguan seperti siapakah Tuhan yang sebenar? Apakah benar berhala itu adalah Tuhan? Apakah Raja Namrud yang berkuasa itu adalah Tuhan? Mungkinkah bulan, bintang dan matahari itu sebenarnya Tuhan? Akhirnya terjawab dengan jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al-An'am ayat 76-79 yang bermaksud: "Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang." Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku daripada kaum yang sesat." Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: "Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)."

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT menjelaskan peristiwa tentang Nabi Ibrahim AS yang menegakkan kebenaran akidah tauhid ketika berhadapan dengan Raja Namrud sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 258 yang bermaksud: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan." Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan." Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Bukti-bukti tentang kebenaran akidah tersebut mendorong semangat dan keazaman Nabi Ibrahim AS untuk meneruskan seruan dakwah agar mentauhidkan Allah SWT. Namun baginda tetap menerima penentangan daripada kaumnya yang berterusan menyembah patung-patung yang mereka ciptakan sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Al-Anbiya ayat 52 yang bermaksud: "Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?" Pertanyaan tersebut tidak mampu dijawab oleh kaum baginda yang degil dan ingkar, sebaliknya tetap menyembah berhala yang sudah menjadi tradisi turun-temurun nenek moyang mereka. Perkara tersebut dijelaskan di dalam surah yang sama melalui ayat berikutnya yang bermaksud: "Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya."

Walau bagaimanapun situasi tersebut tidak menghalang Nabi Ibrahim AS untuk tetap menyampaikan kebenaran akidah Islam kepada kaum baginda dengan menentang sekeras-kerasnya tindakan penyembahan berhala serta menyedarkan mereka daripada kesesatan sebagaimana firman Allah dalam surah al-An'am ayat 74 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata."

Tabiat manusia yang sering mengingkari kebenaran walaupun setelah dibentangkan bukti yang nyata berlaku pada setiap zaman misalnya ketika Nabi Yusuf AS berdakwah kepada kaumnya sebagaimana dinyatakan d dalam surah Ghafir ayat 34 yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! Nabi Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila ia mati, kamu berkata: "Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya; demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya (terhadap balasan Tuhannya)."

Hakikatnya kebenaran akidah Islam telah terbukti semenjak berabad yang lalu. Malangnya terdapat segelintir dalam kalangan umat Islam sendiri masih meragui akidah dan pegangannya sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)."

Walaupun tiada paksaan ditetapkan kepada umat manusia untuk memilih agama Islam, namun setiap Muslim adalah tertakluk kepada peraturan dan asas-asas pegangan akidah yang telah ditentukan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." Berdasarkan Tafsir al-Qur'an al-'Azim, ayat tersebut adalah berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Justeru ayat tersebut tidak dipadankan dengan mereka yang sudah berada dalam agama Islam.

Di dalam konteks Malaysia, pelbagai program dakwah dan keagamaan dianjurkan sekian lama melalui pelbagai medium, di masjid dan surau, radio dan televisyen serta pelbagai platform dalam talian. Ceramah dan pengajian agama saban hari dianjurkan dengan menampilkan para agamawan dan ilmuwan bertauliah. Maklumat tentang Islam mudah didapati di mana-mana lokasi pada bila-bila masa. Sesetengah masjid menyediakan pusat penerangan untuk menyampaikan tentang ajaran Islam kepada para pelancong. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai contoh menyediakan program khusus melibatkan para sukarelawan pelancongan masjid dengan menawarkan aktiviti Masjid  Tour  kepada pengunjung yang berminat mengenali ajaran Islam. Beberapa negeri juga mewujudkan pusat penerangan Islam yang boleh dikunjungi oleh golongan bukan Islam pada bila-bila masa.

Baru-baru ini salah seorang peserta Majlis Saringan Tilawah al-Quran anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berpeluang mengIslamkan pelancong dari Jepun yang kebetulan melawat Masjid Negara dan mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran pada majlis tersebut. Kesempatan itu digunakan bagi menerangkan tentang keindahan ajaran Islam yang akhirnya memikat hati pelancong tersebut lalu melafazkan kalimah syahadah. Ajaran Islam tidak menghalang masyarakat saling memahami dan mengenali antara satu sama lain melalui budaya dan agama yang berbeza namun menegaskan prinsip dan pegangan akidah tauhid kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menggariskan tentang kepentingan untuk mengukuhkan perpaduan ummah dan melestarikan budaya dialog harmoni antara penganut agama dan tamadun. Keindahan Islam harus terus dipamerkan dan diterjemahkan melalui akhlak dan pengamalan hidup seharian agar dapat mengukuhkan pegangan umat Islam sekali gus menarik golongan bukan Islam memahami ajaran Islam yang sebenar.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 6:00 AM