GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Datuk Dr Luqman Abdullah

Mutakhir ini, tersebar dakwaan di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda. 

Pihak terbabit menyalahtafsir ayat-ayat al-Quran dan memutar belitkan fakta sejarah untuk menyokong tohmahan dibawa.

Justeru Bayan Linnas ini dikarang bagi menjawab tohmahan jahat yang dilontarkan terhadap peribadi Rasulullah SAW, berdasarkan kefahaman yang sahih terhadap nas al-Quran dan al-Sunnah, dengan merujuk kepada penerangan oleh para ulama muktabar.

Surah al-Tahrim: Benarkah Nabi SAW tidak berlaku adil kepada isteri?

Tohmahan mula ditimbulkan apabila ada yang mendakwa bahawa Nabi SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda, berdasarkan sebab penurunan ayat: "Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Tahrim, ayat 1)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, lafaz al-tahrim  dalam surah ini merujuk kepada sama ada perbuatan Nabi SAW yang mengharamkan dirinya daripada memakan madu atau menurut sebahagian riwayat yang lain, mengharamkan dirinya daripada menyetubuhi sebahagian daripada isterinya (atau dalam kes ini, hambanya).

Perbezaan dalam memahami ayat ini timbul disebabkan perbezaan pandangan ulama dalam menetapkan kisah sebenar yang menjadi punca kepada penurunan ayat tersebut.

 

Analisis riwayat berkenaan sebab penurunan ayat

Dalam hal ini terdapat sekurang-kurangnya dua riwayat iaitu riwayat berkenaan Nabi SAW bersama Mariah al-Qibtiyyah RA dalam rumah Hafsah RA dan riwayat Nabi SAW mengharamkan dirinya meminum madu.

Riwayat pertama: "Pada suatu hari Hafsah RA telah menziarahi ayahnya dan ketika itu adalah gilirannya bersama Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW pulang ke rumah, Baginda SAW tidak melihatnya di rumah. Kemudian Baginda SAW memanggil hambanya Mariah al-Qibtiyyah untuk datang. Setelah itu, Rasulullah SAW telah menyetubuhinya di rumah Hafsah RA. Tidak lama kemudian, Hafsah RA pulang ketika Rasulullah SAW dalam keadaan tersebut. Hafsah RA berkata: "Wahai Rasulullah SAW, adakah engkau melakukan hal ini di rumahku dan ketika giliranku?" 

Maka Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya Mariah haram ke atasku dan janganlah engkau memberitahu kepada sesiapa perkara ini." Hafsah keluar ke rumah Aisyah RA lalu menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah itu, turunnya ayat Allah SWT: "Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu" sehingga firman Allah SWT "serta orang-orang yang soleh dalam kalangan orang yang beriman" lalu Baginda SAW diminta untuk membayar kafarah di atas sumpahnya dan kembali kepada hambanya." 

Selain itu, terdapat riwayat lain daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Rasulullah SAW memiliki seorang hamba yang Baginda bersama dengannya (menggaulinya), Aisyah RA serta Hafsah RA masih berada bersama beliau hingga beliau mengharamkan ke atas diri Baginda. Kemudian Allah SWT menurunkan ayat "Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah SWT bagimu" sehingga akhir ayat." 

Riwayat kedua: Aisyah RA berkata: "Rasulullah SAW meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy RA (isteri Nabi SAW) dan Baginda SAW bermalam di rumahnya (rumah Zainab). Lalu aku (Aisyah RA) dan Hafsah RA berpakat untuk mengatakan sesiapa di antara kita yang bertemu dengan Rasulullah SAW dahulu perlu berkata kepada Baginda SAW: "Adakah engkau makan buah Maghafir? Sesungguhnya aku mendapati bau Maghafir daripada engkau?" Maka Rasulullah SAW menjawab: "Tidak, aku telah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy, namun aku tidak akan kembali lagi padanya. Aku telah bersumpah dan janganlah engkau menyampaikan hal ini kepada sesiapa pun." 

Ulama berbeza pandangan dalam menetapkan antara dua riwayat tersebut yang mana lebih kuat penghujahannya. Sebahagian ulama mentarjihkan riwayat Nabi SAW mengharamkan madu bukannya riwayat Nabi SAW mengharamkan hambanya Mariah al-Qibtiyyah. Manakala terdapat juga ulama mengatakan riwayat yang pertama adalah sahih atas beberapa alasan.

Hasil analisis kami mendapati  sebab turunnya awal ayat surah al-Tahrim adalah disebabkan riwayat yang kedua iaitu riwayat Nabi SAW mengharamkan dirinya meminum madu. 

Perkara ini berdasarkan ijtihad majoriti ulama seperti al-Qadhi Iyadh, Ibn Kathir, al-Nawawi, al-Zahabi dan ramai lagi yang menyatakan riwayat itu mempunyai kecacatan pada sanadnya.

 

Rasulullah SAW tidak mungkin bersifat zalim

Sepertimana yang telah dijelaskan di atas bahawa riwayat berkenaan Hafsah RA yang cemburu kepada Nabi SAW dan Mariah al-Qibtiyyah RA menjadi pertikaian besar dalam kalangan ulama. Namun sekalipun riwayat tersebut sahih, ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa Nabi SAW berlaku tidak adil, apatah lagi mengkhianati isteri-isteri Baginda. Hal ini demikian kerana:

Mariah al-Qibtiyyah RA ialah hamba kepada Nabi SAW. Syariat Islam membenarkan untuk seorang tuan menyetubuhi hambanya sebagaimana Nabi Ibrahim yang memiliki hamba bernama Hajar yang kemudian memiliki zuriat bersamanya iaitu Nabi Ismail AS. Di samping itu, ia merupakan tradisi yang telah diperakui oleh Islam. Firman Allah SWT:  "Mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-Mukminun, ayat 5-7)

Syeikh Tahir Ibn Asyur dalam al-Tahrir wa al-Tanwir  menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan isteri dan hamba ialah dua golongan yang dihalalkan kepada suami dan tuan hamba dengan syarat-syarat dan perinciannya sebagaimana yang dimaklumi dalam kitab-kitab fiqh. Selain itu, hamba tidak memiliki giliran sebagaimana isteri-isteri yang berpoligami memiliki giliran bermalam, oleh itu mereka boleh disetubuhi pada bila-bila masa tanpa perlu meminta keizinan daripada isteri. 

Merujuk kepada kata-kata Hafsah RA: "Wahai Rasulullah, kamu melakukan hal menyetubuhi Mariah di rumahku dan pada hari giliranku?" Ia tidak menunjukkan bahawa apa yang dilakukan oleh Nabi SAW merupakan pengkhianatan kepada dirinya. Buktinya dalam sebahagian riwayat Hafsah RA bertanya kepada Nabi SAW ketika Baginda ingin mengharamkan Mariah RA ke atas diri Baginda beliau berkata: "Mengapa kamu ingin mengharamkan sesuatu yang halal bagi kamu?" Apa yang diucapkan oleh Hafsah hanyalah disebabkan sifat cemburu yang merupakan tabiat semula jadi manusia.

Dalam ayat tersebut, Allah SWT memanggil Nabi dengan panggilan yang mulia iaitu "wahai Nabi." Ini menunjukkan kemuliaan dan ketinggian darjat Rasulullah SAW. Jika Allah SWT murka terhadap perbuatan Rasulullah SAW yang dikatakan telah mengkhianati isterinya, nescaya Allah SWT tidak akan menggunakan panggilan yang mulia seperti itu.

Disebabkan keluhuran akhlak Baginda, Nabi mengharamkan Mariah al-Qibtiyyah RA untuk dirinya namun kemudian ditegur oleh Allah supaya tidak mengharamkan perkara yang halal untuk Baginda. Ini menunjukkan bahawa Mariah al-Qibtiyyah RA itu halal untuk Baginda sama ada sebelum mahupun setelah diturunkan ayat surah al-Tahrim.

Tidak timbul isu Baginda tidak adil sebab bawa masuk mariah ke rumah Hafsah RA sebab rumah itu milik Nabi juga, dan Nabi SAW berhak bawa sesiapa sahaja ke dalam rumah Baginda tanpa minta izin daripada Hafsah RA. 

Oleh itu,  Allah SWT hanya mensyariatkan kepada suami agar berlaku adil seadil-adilnya kepada para isteri dari sudut pembahagian giliran dan nafkah, supaya tidak meninggalkan isteri terkontang- kanting tanpa dilayani haknya.

Dalam sebuah hadis pula Nabi SAW bersabda:  "Ya Allah hanya inilah sekadar kemampuan yang aku miliki, janganlah Engkau mencelaku atas perkara yang Engkau miliki dan tidak aku miliki." (Riwayat Abu Daud) 

Dakwaan Nabi berlaku tidak adil ialah dakwaan jahat yang berpunca daripada kejahilan dan prasangka buruk terhadap peribadi Baginda. Keadilan Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan lagi, bahkan dalam satu riwayat, Aisyah RA sendiri mengakui akan keadilan Nabi terutama berkaitan pembahagian giliran hari untuk isteri-isteri Baginda. Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa Aisyah RA berkata: "Rasulullah SAW tidak melebihkan sebahagian kami dengan yang lainnya dalam bab pembahagian hari untuk isteri-isteri Baginda, ketika Baginda sakit Baginda meminta izin kepada isteri-isteri Baginda untuk duduk di rumah Aisyah lalu mereka mengizinkan." (Riwayat Abu Daud)

 

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 7:01 AM