GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Dunia menyaksikan kelahiran insan teragung sepanjang zaman iaitu Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini kekal menjadi peristiwa yang sentiasa dikenang dalam sejarah peradaban manusia.

Perutusan Rasulullah SAW sebagai pemimpin teragung dunia adalah dengan misi membina peribadi dan menyempurnakan kemurnian akhlak sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Dalam konteks ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia." Rasulullah SAW dipilih oleh Allah SWT sebagai uswah hasanah (ikutan terbaik).

Pengiktirafan ini jelas daripada firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."

Oleh itu, sudah semestinya umat Islam menjadikan Baginda Rasulullah SAW sebagai ikon kehidupan terutamanya dalam pembentukan peribadi dan pembinaan akhlak terpuji.

Ini pastinya menepati manhaj Allah SWT melalui al-Quran dan dipraktikkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi sunah kepada kita. Ia seterusnya menjamin pembentukan ummah berkualiti. Penerapan akhlak terpuji ini berasaskan kepada beberapa contoh akhlak Rasulullah SAW.

Pertama, bersifat adil terhadap semua. Keadilan adalah sifat agung dan akhlak terpuji. Ia sifat pemimpin terutama para nabi dan orang soleh. Ia bertepatan misi perutusan Rasulullah SAW yang ditugaskan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.

Antaranya ialah memastikan keadilan dilaksanakan. Baginda sentiasa bersikap adil terhadap Allah, kepada dirinya dan kepada semua makhluk. Baginda tidak pernah membezakan antara ahli keluarga atau orang luar, antara kawan atau lawan, antara orang yang bersetuju atau menentang.

Rasulullah SAW sentiasa komited dengan sifat adil dalam apa jua keadaan. Bahkan, Baginda mengingatkan supaya mengamalkan keadilan. Malah, baginda terpaksa menempuh pelbagai ujian dan rintangan demi memartabatkan keadilan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Wahai Abdullah bin 'Amru! Aku dimaklumkan bahawa engkau berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat (qiyam) pada waktu malam (tanpa berhenti). Janganlah begitu! Sesungguhnya tubuh badanmu ada hak ke atas kamu. Matamu juga ada hak ke atas kamu. Isterimu juga ada hak ke atas kamu." (Riwayat Muslim)

Kedua, bersifat benar. Rasulullah SAW adalah seorang 'yang benar' dan 'dibenarkan.' Mengikut Ibnu Hajar maksud lafaz 'yang benar' ialah perkataan baginda semuanya benar. Manakala, lafaz 'yang dibenarkan' ialah pada apa yang dijanjikan kepadanya oleh Allah SWT. Baginda sentiasa bercakap benar dan tidak pernah berbohong hatta dalam gurauan.

Bahkan, itulah sifat orang bertakwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran (tauhid dan hukum agama) serta ia (dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum itu), mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Surah al-Zumar, ayat 35)

Rasulullah SAW terpelihara daripada segala perkara tidak benar atau bohong. Allah SWT memelihara Baginda daripada pembohongan. Allah SWT memelihara percakapan Baginda. Bahkan, semua yang datang daripada Nabi SAW adalah benar; baginda benar dengan Allah dan dengan manusia. Dengan itu, Baginda telah menyempurnakan tugas menyampaikan risalah (agama Islam). Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Tuhan berbuat demikian) supaya Dia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Dia telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-Ahzab, ayat 8)

Ketiga, berlembut dalam ucapan dan tindakan. Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah-lembut sama ada dalam pergaulan dengan ahli keluarga, jiran atau orang yang melakukan maksiat dan dosa. Bahkan, Baginda berlembut dengan orang kafir dan bersabar dengan mereka. Inilah yang menarik orang kepada dakwah Baginda.

Pastinya, sikap berlembut mempunyai banyak kelebihan di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah Maha Lembut mencintai kelembutan dan memberikan pada kelembutan yang tidak diberikan kepada sikap kasar." (Riwayat Muslim)

Keempat, membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara misi terpenting kerasulan Nabi Muhammad SAW ialah pembawa rahmat seluruh alam. Baginda sangat merahmati semua manusia, sangat berlembut dan merahmati orang yang lemah dan mereka yang dalam kesusahan. Malah, Baginda mengingatkan supaya berlembut dalam berdakwah dengan mengutamakan perkara yang senang.

Oleh itu, rahmat yang dibawa Rasulullah SAW dapat dinikmati semua makhluk, bukan hanya manusia. Firman Allah: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Kelima, sentiasa bersabar. Rasulullah SAW contoh terbaik sifat sabar. Baginda sabar melalui kehidupan sebagai anak yatim, hidup dalam kemiskinan dan menghadapi penentangan daripada semua pihak termasuk ahli keluarga. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul 'Ulul-Azmi' (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu)." (Surah al-Ahqaf, ayat 35)

Menjadikan Rasulullah SAW ikutan terbaik adalah tanda kecintaan kita kepada Baginda. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali Imran, ayat 31)

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 10:01 PM