INDIVIDU yang sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri perlu dibantu.
INDIVIDU yang sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri perlu dibantu.
Addin

Jika dahulu, bunuh diri adalah tingkah laku yang jarang-jarang berlaku dan janggal dalam masyarakat Malaysia, kini ia menjadi polemik yang semakin membimbangkan apabila peratusan dan angka bunuh diri dilihat kian meningkat saban tahun. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada 2019 sebanyak 609 kes diikuti 631 kes bagi 2020. Tambah gusar, statistik tingkah laku bunuh diri juga berada pada kadar yang membimbangkan dan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus pada 2021 (1,142 kes) berbanding pada 2020.

Isu bunuh diri ini sebenarnya menggambarkan tahap kesihatan mental rakyat Malaysia yang lemah dan kian meruncing. Malah, isu lain seperti kes perceraian, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak di Malaysia juga merekodkan peningkatan luar biasa kebelakangan ini. Hal ini turut menjadi penanda aras kepada keadaan kesihatan mental rakyat Malaysia yang kian tenat. Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia pada 2020 menunjukkan jumlah perceraian dalam kalangan rakyat negara ini meningkat 12 peratus iaitu sebanyak 56,975 kes berbanding 50,862 kes pada tahun sebelumnya. Apa yang menyedihkan lagi adalah kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes perceraian di negara ini adalah dalam kalangan pasangan beragama Islam dan golongan B40.

Sementara itu, laporan daripada Pertubuhan Bantuan Wanita (Woman Aid Organization, WAO) pada 2020 menunjukkan permasalahan mengenai keganasan rumah tangga yang dikumpul menerusi talian perkhidmatan WAO meningkat sebanyak 3.4 kali ganda pada Mei 2020 berbanding ketika awal PKP dilaksanakan pada Mac 2020. Pada masa sama, tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2020 mendapati bagi kes penderaan fizikal kanak-kanak sehingga September 2020 sahaja, sebanyak 1,120 kes telah pun dicatatkan berbanding 1,571 kes keseluruhan pada 2019. Tambahan itu, bagi kes penderaan emosi kanak-kanak pula sebanyak 124 kes dicatatkan pada 2018, diikuti 113 kes pada 2019 dan meningkat kepada 131 kes sehingga September 2020.

Gangguan terhadap kesihatan mental punca utama yang mendorong individu bertindak untuk membunuh diri. Majoriti daripada pelakunya berfikir bahawa dengan mengambil tindakan bunuh diri ini, mereka dapat lari dari setiap permasalahan hidup yang dialami dan mencapai kebahagiaan. Namun, ia adalah perbuatan yang merugikan. Dalam Islam, membunuh diri adalah dilarang dan ia antara perkara yang membawa kepada dosa besar.

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada melakukan perkara yang boleh membinasakan diri sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan."

Tambahan itu, hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ada menyatakan natijah yang akan diterima seseorang yang membunuh diri dalam riwayat hadis yang bermaksud, "Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada Hari Kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula."

Konsep cry for help atau menangis untuk bantuan sering digunakan bagi kes percubaan membunuh diri. Bagi individu yang sihat mental, mereka cenderung untuk menjalani kehidupan dengan harmoni serta dapat membentuk perhubungan yang baik dengan masyarakat dan persekitaran. Hal yang sebaliknya berlaku dalam diri individu yang mempunyai idea bunuh diri. Perbuatan membunuh diri ini boleh dihalang sekiranya individu di sekeliling terutama ahli keluarga, pasangan dan sahabat terdekat peka dengan perubahan sikap yang dialami oleh pelakunya.

Gejala seperti sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri yang berlarutan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu, hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian seperti mengelak daripada berinteraksi dengan keluarga, rakan dan masyarakat petanda awal bahawa individu ini perlu dibantu. Gejala lain seperti cenderung untuk mengasingkan diri, perubahan bentuk fizikal yang mendadak seperti kehilangan berat badan, corak tidur yang tidak menentu sama ada kurang tidur atau tidur secara berlebihan dan selalu letih juga tanda amaran bahawa individu ini perlu mendapatkan rawatan dan khidmat daripada kaunselor dan pakar psikiatrik agar masalah atau penyakit dialami tidak melarat dan membawa kepada kecenderungan membunuh diri.

Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat perlulah sedar dan peka terhadap aspek kesihatan mental diri, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat setempat agar kita semua dapat hidup dengan harmoni serta tenteram. Hari Kesihatan Mental Sedunia yang baru sahaja disambut pada 10 Oktober lalu dan pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan disepanjang Oktober sewajarnya membuka mata dan minda rakyat Malaysia dalam aspek kesihatan mental ini serta menambah kesedaran serta pengetahuan tentang program atau bantuan yang boleh mereka peroleh dalam berhadapan dengan isu kesihatan mental. Setiap daripada kita mestilah bijak dalam menyalurkan segala tekanan dan apa jua permasalahan yang dihadapi pada tempat dan cara yang betul. Bukannya dengan mengambil jalan singkat atau short-cut dengan membunuh diri.

Ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan, 'ikut hati mati, ikut rasa binasa'. Janganlah diikut rasa hati yang resah dan gundah gulana kerana kelak badan sendiri yang binasa.

Penulis Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:01 AM