TOPSHOT - Muslim worshippers circumambulate the sacred Kaaba in Mecca's Grand Mosque, Islam's holiest site, on April 3, 2020. - Saudi Arabia on April 2 extended curfew restrictions on Islam's two holiest cities to 24 hours to stem the spread of coronavirus as the number of deaths from the disease rose to 21. (Photo by - / AFP)
TOPSHOT - Muslim worshippers circumambulate the sacred Kaaba in Mecca's Grand Mosque, Islam's holiest site, on April 3, 2020. - Saudi Arabia on April 2 extended curfew restrictions on Islam's two holiest cities to 24 hours to stem the spread of coronavirus as the number of deaths from the disease rose to 21. (Photo by - / AFP)
Oleh Dr Zamihan Mat Zin

Imam Khatib Asy-Syirbini

Nama penuh Imam Khatib Asy-Syirbini ialah Muhammad bin Ahmad Asy-Syirbini al-Khatib. Beliau lebih dikenali sebagai Khatib Asy-Syirbini. Beliau dilahirkan Shirbin di Kaherah, Mesir pada tahun 916 H dan meninggal dunia pada tahun 977H.

Menuntut ilmu

Imam Khatib Asy-Syirbini   memulakan pendidikan awalnya dengan mempelajari al-Quran, nahu, saraf, fiqh, tauhid, akhlak, sejarah Islam dan lain-lain. Kemudian, beliau meneruskan pelajarannya ke tingkat yang lebih tinggi dengan belajar di bawah bimbingan beberapa ulama besar yang hidup ketika itu, di antaranya Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari (w.926H), Syihabuddin al-Ramli (w.957H) dan beberapa ahli fiqh Mazhab asy-Syafi'e yang lain, seperti Ahmad al-Barlasi, Nuruddin al-Mahalli dan Badruddin al-Masyhadi dan lain-lain. 

Daripada ulama tersebut beliau mendapat keizinan untuk   memberi pelajaran kepada murid-murid yang datang kepadanya dan memberi fatwa kepada orang yang bertanya kepadanya tentang masalah-masalah keagamaan.

Sifat peribadi

Imam Khatib Asy-Syirbini masyhur sebagai seorang yang warak, zuhud dan banyak beribadah. Diceritakan bahawa salah satu kebiasaannya ialah melakukan iktikaf di dalam masjid sepanjang bulan Ramadan. 

Disebutkan pula bahawa apabila beliau menunaikan haji, beliau lebih banyak berjalan kaki daripada menunggang binatang kenderaannya. Beliau hanya menunggang unta setelah sangat letih dalam perjalanan.

   

Hasil ilmiah

Dalam konteks ilmu pengetahuan, Imam Khatib Asy-Syirbini mencurahkan pengetahuannya melalui penulisan buku, tetapi sebahagian besar karyanya merupakan komentar kepada karya-karya yang telah ada sebelumnya. Namun usaha yang dilakukan oleh beliau tidak menghalanginya untuk mencurahkan buah fikirannya sendiri terutama dalam perincian permasalahan.

Diantara karya Imam Khatib Asy-Syirbini ialah:

1. Al-Iqna' Fi Hall Alfaz Abi Syuja', sebuah kitab yang mensyarahkan kitab fiqh karya Imam Abu Syuja' (437H-488H) yang berjudul Gayah al-Ikhtisar.

2. Syarah an-Tanbih, komentar kepada kitab an-Tanbih   karya Imam Abu Ishaq asy-Syirazi (w. 476 H/ 1083 M).

3. Mugni al-Muhtaj Ila Ma'rifah Ma'ani Alfaz al-Minhaj, komentar kepada kitab Minhaj at-Thalibin karya Imam an-Nawawi. 

4. As-Siraj al-Munir sebuah kitab tafsir terdiri daripada empat jilid. 

5. Fath al-Kholiq Fi Hal Alfaz Kitab Alfiyah Ibnu Malik, komentar kepada kitab nahu yang berjudul al-Alfiyah   karya Imam Ibnu Malik.  

6. Syu'ab al-Iman Syarh Minhaj ad-Din, komentar kepada kitab Minhaj ad-Din karya Imam al-Jurjanji.  

Saya membaca kitab ini dengan Arwah Dato Hashim Yahya (Bab Nikah), Dato Seri Hassan Ahmad (Bab Haji & Muamalat), Arwah Dato Saleh Ahmad (Bab Solat) dan SF Ustaz Ghazali Taib (Bab Jinayat).  

Kini kitab ini telah diterjemahkan oleh Bahagian Penerbitan Jakim sebanyak lapan Jilid. Jilid Pertama telah berada di pasaran.

Keberadaan kitab hasil terjemahan Jakim ini di pasaran diharap dapat membantu umat Islam khususnya orang awam dalam mendalami ilmu agama khususnya menelaah kitab-kitab karangan  Imam Khatib Asy-Syirbini.

Diharapkan usaha berkenaan mampu membantu umat Islam dan kitab berkenaan boleh dijadikan rujukan atau sebahagian daripada silibus pengajian di masjid-masjid mahupun di surau-surau.

Hasil karya penulis banyak memberi kesan positif kepada umat Islam pada hari ini dan digunapakai serta menjadi rujukan dalam kalangan penuntut agama dan segenap lapisan masyarakat. 
Umat Islam seharusnya memanfaatkan hasil tulisan  Imam Khatib Asy-Syirbini yang merangkumi pelbagai juzuk serta disiplin ilmu sekali gus mampu memberi panduan kepada kita semua.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 6:00 AM