GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Bahagian Pertama

Terdapat pandangan dan isyarat dari kalangan ulama termasuk salaf soleh yang melarang melakukan terjemahan literal bagi sifat-sifat Allah SWT yang mutashabihat (tidak jelas maksudnya/ada waham serupa dengan makhluk). Kenapa mereka berpandangan sedemikian? Adakah ia berlaku kepada sifat-sifat Allah SWT yang muhkamat (jelas maksudnya/tiada waham serupa dengan makhluk) juga? Jika sifat-sifat muhkamat dibenarkan untuk diterjemahkan, kenapa ia dibenarkan? Kenapa terdapat perbezaan kecenderungan ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) dalam terjemahan sifat mutashabihat dan muhkamat?

Antara contoh ulama salaf soleh yang melarang menterjemahkan sifat-sifat mutashabihat ialah Imam Sufyan ibn 'Uyainah (m. 198H) seperti yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Baihaqi dalam kitab al-Asma' wa al-Sifat bahawa apa yang Allah SWT sifatkan diri-Nya dalam kitab-Nya, maka bacaannya itulah dianggap tafsirannya (fa qiraatuhu tafsiruhu), tidak boleh sesiapa pun mentafsirkannya dengan bahasa Arab dan tidak boleh juga dengan bahasa Parsi (laisa li ahad an yufassirahu bi al-'arabiyyah wa la bi al-farisiyyah).

Imam Ibn Suraij (m. 306H) juga melarang penterjemahan sedemikian. Beliau disenaraikan oleh 'Abd al-Rahman Ba'alawi dalam Kitab Ghayah Talkhis al-Murad min Fatawa Ibn Ziyad sebagai mungkin salah seorang Mujaddid kurun ketiga di samping Imam Abu Hasan al-Ash'ari. Sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab al-'Uluww, Imam Ibn Suraij menyatakan bahawa: iktikad kami berkenaan ayat-ayat mutashabihat ialah kami menerimanya, tidak menolaknya, tidak mentakwilkannya dengan takwilan menyeleweng, tidak melakukan tashbih golongan mushabbihah, tidak menterjemahkan sifat-sifatNya itu dengan bahasa selain Arab (wa la nutarjim 'an sifatihi bi lughah ghair al-'arabiyyah) dan menerima khabar zahir dan ayat zahir penurunannya.

Al-Hafiz al-Zahabi juga pernah menukilkan dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala' bahawa Imam Malik (m. 179H) pernah ditanya tentang hadis-hadis sifat Allah SWT yang mutashabihat, maka jawabnya: Perlakukanlah ia sepertimana ia datang tanpa tafsiran (amirraha kama jaat bi la tafsir). Imam Abu 'Ubaid al-Qasim ibn Salam (m. 224H) seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Lalakai dalam kitab Sharah Usul I'tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menyatakan bahawa kami tidak mentafsirkannya sesuatu apa pun, kami membenarkannya dan kami diam (la nufassir minha shai'an nusaddiqu biha wa naskut).

Namun, ada pihak mendakwa bahawa sifat mutashabihat sudah diketahui makna atau terjemahannya secara zahir bahkan ia adalah sifat muhkamat. Maka, semua ungkapan ilmuwan salaf soleh di atas akan ditakwilkan atau ditafsirkan atau disyarahkan (atau istilah tertentu yang mereka inginkan) bersesuaian dengan konsep dakwaan mereka ini.

Mereka juga mendakwa sifat mutashabihat tersebut yang menurut mereka merupakan muhkamat dengan ungkapan ia diketahui maknanya secara zahir cuma kaifiatnya sahaja hanya diketahui Allah SWT.

Ungkapan ini mengandungi syubhat yang mungkin ramai orang awam atau yang bukan pakar bidang akidah akan terpengaruh dan terkeliru.

Ungkapan para ulama salaf soleh ini perlu difahami dengan huraian ulama ASWJ.

Jika tidak, ungkapan tersebut akan terdedah kepada huraian golongan menyeleweng seperti Muktazilah, Jahmiyyah, Hashawiyyah, Mushabbihah, Mujassimah dan seumpamanya. Pandangan mereka perlu difahami dengan merujuk kepada golongan majoriti ulama zaman berzaman kerana sangat ganjil jika majoriti orang alim tidak tahu apa pandangan ulama salaf soleh. Bahkan lebih dipercayai bahawa turath atau warisan ilmiah zaman cemerlang salaf soleh sentiasa dipelihara oleh majoriti pewaris ilmu terbilang dalam kalangan ulama khalaf tayyib meskipun semuanya tidak maksum.

Zaman salaf soleh sekitar 1100 yang lalu menunjukkan jarak masa yang jauh, maka untuk memahami mereka, tiada cara lain, melainkan merujuk kepada kitab-kitab mereka dan majoriti ulama-ulama yang mewarisi dan mengamalkan pemikiran manhaj mereka zaman berzaman.

Ini penting untuk menghindari kemungkinan pemalsuan atau salah faham terhadap penulisan dan pertuturan mereka. Antara perkara yang tidak boleh dinafikan adalah terdapat pemalsuan kitab dan salah faham terhadap ungkapan para ulama salaf soleh. Antara ulama yang berjaya mengesan pemalsuan tersebut ialah al-Hafiz Ibn Syahin yang wafat pada tahun 385 Hijrah. Beliau hidup di akhir zaman salaf soleh dan di awal zaman khalaf tayyib.

Menurutnya, ada dua orang tokoh salaf soleh yang diuji dengan pengikut-pengikutnya yang buruk  iaitu  Imam Jaafar al-Sadiq  yang dipalsukan ajarannya oleh Syiah dan  Imam Ahmad  bin  Hanbal yang diselewengkan ajarannya oleh Mushabbihah, Mujassimah dan Hashawiyyah. Selain itu, al-Hafiz Ibn Asakir menerusi kitabnya Tabyin Kazb al-Muftari juga berperanan mendedahkan beberapa pemalsuan kitab dan pandangan yang dinisbahkan kepada Imam Abu Hasan al-Ash'ari.

Al-Hafiz Ibn al-Jauzi (m. 597H) dari mazhab Hanbali juga antara ilmuwan yang turut menyedari bahaya ini. Pada ketika itu, sebahagian dari pengikut mazhab Hanbali terpengaruh dengan ajaran tajsim dengan mendakwa bahawa pandangan itulah yang dipegang oleh Imam Ahmad ibn Hanbal.

Inilah fitnah (huru-hara) yang terjadi dalam mazhab Hanbali suatu ketika dahulu sebagaimana yang dibangkitkannya dalam kitab Daf'u Syubah al-Tasybih. Beliau berkata: "Maka janganlah kalian memasukkan fahaman yang bukan berasal dari lelaki salaf soleh ini (Imam Ahmad ibn Hanbal), jika tidak, nescaya kalian telah memakaikan mazhab Hanbali dengan pakaian yang buruk sehinggalah sampai ke tahap mazhab Hanbali dianggap sebagai Mujassim."

Berkenaan isu larangan terjemahan atau tafsiran tadi, terdapat ungkapan ulama lain yang merujuk perkara yang sama agar terzahir apa maksud mereka yang sebenarnya yang akan dijelaskan dalam bahagian kedua. Sebelum itu, hayatilah kedua-dua nas yang menjadi antara dasar penting larangan memfokuskan kepada ayat-ayat mutashabihat ini sehingga memberi pengaruh kepada kesalahan terjemahan, takwilan, tafsiran atau syarahannya. Firman Allah SWT dalam ayat 7 surah Ali 'Imran yang bermaksud:

"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat 'Muhkamat' (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat 'Mutasyabihat' (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).

Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari al-Quran (Mutasyabihat) untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata: "Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami." Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.

Terdapat hadis yang berkaitan rapat dengan ayat di atas yakni Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kalian melihat orang yang mencari-cari apa yang samar (mutashabihat) darinya (nas-nas), maka merekalah golongan yang Allah sebutkan, justeru waspadalah dengan mereka." (Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari).

Maka, berdasarkan kedua-dua nas ini, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terlibat dengan golongan yang memfokuskan ayat-ayat mutashabihat bahkan terkeliru dengan mendakwanya sebagai ayat muhkamat sehingga tersilap dalam memahami sifat-sifat Allah SWT.

Bahagian kedua bersambung minggu hadapan

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 7:01 AM