KALIMAH basmalah sangat ringkas namun ia memberi pengertian yang sangat besar jika difahami dengan mendalam.
KALIMAH basmalah sangat ringkas namun ia memberi pengertian yang sangat besar jika difahami dengan mendalam.
Dr Mohd Asyran Safwan Kamaruzaman

SESUNGGUHNYA saat kita membaca basmalah, ia memberi banyak pengertian dalam kehidupan orang yang beriman. Lafaz basmalah  terkandung padanya dua nama Allah  Taala  iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim  yang memberi makna signifikan dalam kehidupan sebagai seorang hamba.

Basmalah juga sebahagian daripada al-Quran menurut pendapat jumhur dan ia terkandung dalam semua surah al-Quran kecuali surah al-Taubah. Oleh itu, Mazhab Syafie  berpandangan membaca basmalah ketika membaca surah al-Fatihah adalah rukun qauli di dalam solat.

Imam Syafie  berhujah bahawa basmalah  sebahagian daripada al-Fatihḥah berdalilkan hadis baginda riwayat al-Dar al-Qutniy yang bermaksud:  "Apabila kamu membaca al-Fatihah, maka bacalah bersama basmalah kerana sesungguhnya ia adalah sebahagian Umm al-Quran dan Umm al-Kitab dan al-Sab' al-Mathaniy dan basmalah itu salah satu daripadanya (al-Sab' al-Mathaniy)."

Meskipun basmalah sangat ringkas, ia memberi pengertian sangat besar jika difahami dengan mendalam. Lafaz bismi  adalah suatu binaan perkataan yang terbina daripada ba dan ism yang membawa makna 'dengan nama.'

Namun begitu makna keseluruhan yang dikehendaki ialah:  "Aku mulakan dengan nama Allah iaitu mengambil keberkatan dengan mengucapkan nama Allah."

Demikian, ulama apabila menulis sesuatu penulisan, pasti mereka akan memulakan dengan lafaz basmalah bagi mengambil keberkatan nama Allah Taala. Selain mengambil keberkatan, mereka juga beramal dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ḤAjr dalam Fatḥ al-Bari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap perkara yang mempunyai faedah kebaikan jika tidak dimulai dengan basmalah maka pahalanya berkurangan."

Kalimah Allah, ia adalah satu kata nama khas bagi Tuhan yang disembah. Maknanya ialah Yang mempunyai ilahiyyah. Ilahiyyah ialah yang bersifat al-Qudrah iaitu mencipta atau mengeluarkan sesuatu daripada tiada kepada ada. Kata nama Allah ini tidak boleh diberikan kepada sesiapa selain-Nya. Jika seseorang menamakan sesuatu atau seseorang dengan kata nama Allah, maka ijmak ulama menetapkan ia suatu kekufuran.

Kalimah al-Raḥhman adalah kata nama khas seperti kalimah Allah. Ia tidak boleh digunakan bagi menamakan seseorang selain Allah.  Makna al-Rahḥman ialah Yang Maha Memberi Rahmat kepada orang beriman dan orang tidak beriman di dunia. Ini dapat dilihat di sekeliling kita, sama ada yang beriman atau tidak beriman, semua menghirup udara yang sama, mendapat cahaya matahari, makanan, minuman dan pelbagai nikmat yang lain.

Kata nama al-Rahḥim ialah kata nama yang universal. Ia boleh digunakan bagi hak Allah dan boleh digunakan bagi selain Allah. Bagaimanapun, ia pada penggunaan lafaz sahaja. Hakikat makna bagi hak Allah adalah berbeza berbanding dengan makna bagi selain Allah. Makna al-Raḥhim bagi hak Allah ialah Yang Maha Memberi Rahmat kepada orang beriman sahaja di Hari Akhirat. Hari Akhirat adalah hari pembalasan dan destinasi terakhir bagi setiap manusia.

Allah berfirman dalam surah al-Syura ayat 20 yang bermaksud:  "Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak."

Di Hari Akhirat, Allah telah menjanjikan azab yang tiada henti bagi orang yang tidak beriman, dan azab mereka tidak akan diringankan sedikit pun. Bagi orang yang tidak beriman, mereka tidak akan mendapat rahmat Allah di Akhirat lantaran keingkaran mereka untuk beriman sewaktu di dunia.

Allah berfirman: "Mereka (orang yang tidak beriman) akan kekal dalam api neraka, tidak akan diringankan sedikit pun bagi mereka azab." (Surah al-Baqarah: 162)

Adapun bagi orang yang beriman, terdapat pelbagai rahmat yang Allah sediakan untuk mereka. Sekalipun mereka daripada kalangan yang berdosa dan tidak bertaubat sebelum mati, mereka tetap mendapat rahmat seperti tidak berkekalan dalam api neraka. Setelah mereka diazab dalam api neraka sesuai dengan kadar dosa yang mereka lakukan, mereka akan diampuni Allah dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Allah berfirman menerusi surah  al-Nisa' ayat  48 yang bermaksud:  "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya."

Faedah yang diperoleh daripada tafsir basmalah ini ialah:

  • Hendaklah setiap amal kebaikan itu dimulai dengan basmalah dan diniatkan ikhlas kerana Allah
  • Terdapat beberapa nama Allah yang hanya khas untuk Allah dan tidak boleh digunakan bagi selain Allah. 

    Iman adalah perkara yang terpenting dalam hidup manusia. Iman adalah syarat penerimaan amalan yang soleh. Tanpa iman, amalan kebaikan tidak lagi bernilai.

    Meskipun ada sebahagian manusia yang tidak beriman di dunia, namun Allah tetap memberi rahmat kepada mereka dalam bentuk harta, kesihatan, anak dan sebagainya.

    Akhirat adalah tempat pembalasan. Syurga adalah balasan bagi orang beriman, manakala neraka adalah balasan bagi orang yang tidak beriman. 

    Semoga Allah memelihara kita dengan mengekalkan kita dalam keadaan beriman sehingga roh terpisah daripada jasad. Amin.

    Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Kampus Kuala Pilah

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 5:59 AM