UMAT Islam wajib menjaga solat dengan tidak meninggalkannya atau melewatkannya. FOTO Arkib NSTP
UMAT Islam wajib menjaga solat dengan tidak meninggalkannya atau melewatkannya. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Solat amalan wajib yang sangat penting kerana arahan pelaksanaannya diperoleh ketika Nabi SAW Israk dan Mikraj. Terdapat hubung kait di antara solat dan kejayaan seseorang di dunia serta akhirat. Bahkan dalam lafaz azan yang dikumandangkan untuk solat, jelas menunjukkan lafaz muazin yakni 'hayya 'ala al-falah' bermaksud 'marilah menuju kejayaan.' Maka, mendirikan solat adalah cara untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Apatah lagi ia satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan setiap Muslim.

Firman Allah dalam Surah al-Mukminun ayat 1 hingga 2 dan 9 hingga 11 memaparkan maklumat mengenai kejayaan seseorang yang bersolat. Untuk mencapai kejayaan itu, seseorang perlu khusyuk dan memelihara solatnya dengan baik.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya... Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang berhak mewarisi - yang akan mewarisi syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya."

Solat adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat yang jika solat seseorang itu molek maka ia kejayaan dan kemenangan baginya. Jika sebaliknya, maka amatlah rugi.

Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih Riwayat al-Tirmizi: "Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya baik maka dia akan berjaya dan menang, jika solatnya rosak maka dia akan rugi serta menyesal."

Mungkin timbul persoalan dalam masyarakat bahawa terdapat orang yang tidak bersolat, tetapi dia tetap berjaya, maka bolehkah ini berlaku? Dalam Islam, silibus ilmu akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang diajar ada perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah.

Akidah ASWJ berbeza dengan akidah golongan bidaah seperti Muktazilah kerana mereka mewajibkan sesuatu yang tidak wajib bagi Allah kerana berpegang dengan fahaman al-Solah wa al-Aslah. Contohnya mereka mewajibkan Allah melakukan kebaikan atau perkara yang lebih baik kepada manusia.

Sedangkan menurut akidah ASWJ, ia hanyalah harus bagi Allah kerana ia bercanggah dengan sifat Iradah (Allah Maha Berkehendak) yang mutlak. Meskipun ia hanya harus bagi Allah, ia bukanlah bermaksud Allah bersifat zalim. Allah tetap akan memasukkan orang yang baik ke dalam syurga cuma ia bukanlah daripada kategori sifat yang wajib baginya.

Imam al-Ash'ari, tokoh Ahli Sunah Waljamaah asalnya berakidah Muktazilah, namun disebabkan ayah tirinya yakni Abu Ali al-Jubbai yang juga berakidah Muktazilah tidak dapat menjawab soalannya, dia keluar daripada Muktazilah.

Soalannya adalah mengenai orang kafir yang masuk neraka, kenapa Allah tidak mematikannya ketika masih kecil sebab wajib bagi Allah melakukan kebaikan kepada orang kafir menurut akidah Muktazilah. Jika dia mati waktu kecil maka dia tidak perlu menjadi kafir ketika dewasa seterusnya ia boleh masuk syurga. Maka, ini adalah huraian ringkas mengenai soalan yang tidak dapat dijawab oleh ayah tirinya itu. Oleh itu, dia keluar daripada akidah bidaah Muktazilah dan menjadi pembela akidah ASWJ aliran al-Ashairah yang menjadi mazhab majoriti umat Islam dalam bidang akidah.

Kisah di atas menunjukkan ada sifat harus bagi Allah, antaranya harus bagi-Nya memberi kejayaan atau kegagalan kepada sesiapa pun sama ada beriman, fasik, zalim, munafik bahkan kafir. Ia tidak termasuk dalam perkara wajib atau mustahil bagi Allah sebaliknya ia adalah harus bagi Allah. Dalam konteks solat, harus bagi Allah memberi kejayaan seperti kekayaan dan kepandaian kepada seseorang yang meninggalkan solat dan harus bagi Allah memberi kegagalan kepada seseorang yang mengerjakan solat. Ini adalah ujian Allah kepada makhluk-Nya dan terdapat hikmah sebaliknya.

Firman Allah bermaksud: "Dia lah yang mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji serta menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)." Surah al-Mulk ayat 2

Firman Allah dalam Surah al-Zumar ayat 49 yang bermaksud: "Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami, kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat itu adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya) akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)."

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis sahih Riwayat Imam Muslim: "Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya."

Untuk mencapai kejayaan dalam aspek solat, seseorangg itu perlu menjaga solatnya dengan baik. Terdapat ayat al-Quran dan hadis yang memberi amaran kepada sesiapa yang cuai atau melengah-lengahkan solat. Allah SWT berfirman dalam Surah Maryam ayat 59 hingga 60, maksudnya: "Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh." Ibn Abbas RA mentafsirkan bahawa ia merujuk kepada perbuatan mengakhirkan solat daripada waktunya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'un ayat 4 dan 5, maksudnya: "(Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang yang mendustakan ugama) maka kecelakaan besar bagi orang ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya."

Dalam hadis sahih Riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menjaga solatnya, solatnya itu akan menjadi cahaya baginya dan bukti serta penyelamat pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada Hari Kiamat malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama Firaun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf."

Oleh itu, umat Islam wajib menjaga solat dengan tidak meninggalkannya atau melewatkannya atau lalai ketika menunaikannya. Semoga setiap Mukmin memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat menerusi amalan solat ini terutama solat fardu pada setiap hari.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:00 AM