SEBUAH masjid di Baghdad. Imam Ahmad dilahirkan di Baghdad dan meninggal dunia di tempat kelahirannya itu. FOTO AFP
SEBUAH masjid di Baghdad. Imam Ahmad dilahirkan di Baghdad dan meninggal dunia di tempat kelahirannya itu. FOTO AFP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Nama Imam Ahmad sebagai pengasas mazhab Hanbali, satu daripada empat mazhab fiqah yang terkenal bukanlah asing lagi.

Nama lengkap beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris as-Syaibani. Beliau dilahirkan di Baghdad pada Rabiulawal 164H.

Imam Ahmad dibesarkan di Baghdad, pusat kegiatan dan perkembangan ilmu di zaman itu. Pada tahun 179H, ketika berumur 15 tahun beliau mula menuntut ilmu dan belajar hadis. Setelah itu, hatinya terus jatuh cinta terhadap ilmu dan terus tekun untuk belajar.

Pada masa ini, beliau banyak mendampingi gurunya, Husyaim bin Basyir dan menulis lebih 3,000 hadis daripadanya. Setelah kewafatannya, Imam Ahmad mengembara ke Kufah, Basrah, Makkah, Madinah, Yaman, Syam dan Khurasan.

Beliau menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran dalam menuntut ilmu. Katanya: "Aku pernah mengembara menuntut ilmu dan sunah ke segenap benteng negeri, daerah-daerah Syam, lembah-lembah, wilayah Barat, kawasan semenanjung, Makkah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq Arab, Iraq Ajam, Parsi, Khurasan dan pelbagai daerah pergunungan serta daerah pinggiran. Kemudian barulah aku pulang ke Baghdad."

Imam Ahmad berguru dengan 415 syeikh termasuk seorang guru wanita. Antara gurunya ialah Imam as-Syafie, Abd ar-Razzaq bin Humam as-San'ani, Ismail bin Ulayyah, Jarir bin Abd al-Hamid, Sufyan bin Uyainah, Abdur Rahman bin Mahdi, Waki' bin al-Jarrah, Yazid bin Harun, al-Qadi Abu Yusuf, Yahya bin Said al-Qattan dan Sulaiman bin Harb.

Apabila beliau kembali ke Baghdad, namanya menjadi masyhur dan dikenali dengan sifat soleh, warak, zuhud serta alim.

Penguasaan ilmu hadisnya cukup luar biasa sehinggakan Imam as-Syafie pernah merujuk hadis kepada beliau. Kata Imam as-Syafie kepadanya: "Kamu lebih alim tentang hadis sahih berbanding kami. Sekiranya hadis sahih itu berada di Kufah, Basrah atau Syam maka beritahulah kepadaku sehingga aku dapat pergi kepadanya."

Beliau turut mempunyai ingatan yang cukup kuat. Kata Imam Abu Zur'ah: "Beliau menghafaz satu juta hadis." Katanya lagi: "Kami menghitung pendalilan Ahmad di dalam pelbagai ilmu maka kami dapati beliau menghafal 700,000 hadis berkaitan dengan hukum-hakam.".Al-Hafiz az-Zahabi mengulas dalam Siyar A'lam an-Nubala' bahawa jumlah itu adalah termasuk riwayat yang berulang-ulang, athar sahabat dan fatwa tabiin.

Karya agung beliau ialah kitab al-Musnad yang menghimpunkan 28,141 hadis yang dipilih daripada lebih 750,000 hadis. Ia disusun mengikut susunan nama sahabat RA. Namun, beliau tidak menyaring dan menerangkan status hadisnya kerana tujuannya ialah mengumpulkan hadis yang masyhur pada zamannya. Oleh itu, terdapat pelbagai status hadis antara sahih, hasan, daif dan amat daif. Dalam kitab al-Qawl al-Musaddad, al-Hafiz Ibn Hajar menafikan adanya hadis palsu di dalam kitab Musnad Ahmad.

Antara karya lain ialah an-Nasikh wa al-Mansukh, at-Tarikh, al-Manasik, Kitab al-'Ilal, az-Zuhd, Fadha'il as-Sahabah, Kitab al-Fitan, al-Fara'idh, Kitab al-Iman, al-Asyribah, al-Masa'il dan Kitab al-Imamah. Imam Ahmad mempelajari ilmu fiqah daripada Imam as-Syafie sehingga beliau mahir dan handal. Namun, fatwa beliau kebanyakannya berbentuk hadis tidak seperti fatwa ulama fiqah lain. Kini keseluruhan ilmu diriwayatkan daripada beliau sama ada akidah, fiqah, hadis, tafsir dan sebagainya dikumpulkan dalam sebuah ensiklopedia terdiri daripada 22 jilid berjudul al-Jami' li 'Ulum al-Imam Ahmad. Malah, dikatakan masih banyak data yang belum dijumpai atau hilang.

Antara murid beliau ialah dua anaknya, Soleh dan Abdullah bin Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma'in, Abu Zur'ah, Abu Hatim, Ahmad bin Soleh, Abu Bakar al-Athram, Abu Bakar al-Marwazi, Harb ibn Isma'il al-Kirmani dan Ibrahim al-Harbi.

Imam Ahmad pernah dipenjarakan selama 28 bulan dan disebat kerana enggan mengatakan 'al-Quran itu makhluk' pada zaman Khalifah al-Mu'tasim yang berpegang dengan fahaman Muktazilah.

Pada zaman Khalifah al-Wathiq pula, beliau cuba diusir dari Baghdad menyebabkan terpaksa bersembunyi sehinggalah kematian khalifah.

Apabila Khalifah al-Mutawakkil yang menjunjung fahaman Ahlus Sunnah menaiki takhta 232H, beliau menghapuskan pegangan khalifah sebelumnya.

Beliau memuliakan Imam Ahmad dan menghantar sejumlah wang kepadanya.

Imam Ahmad meninggal dunia pada Jumaat 12 Rabiulawal 241H di Baghdad pada usia 77 tahun. Apabila beliau meninggal dunia, dikatakan lebih sejuta orang datang menziarahi jenazahnya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:15 AM