Masjid Nabawi.
Masjid Nabawi.
Addin

Imam Malik tokoh mujtahid yang terkenal sebagai pengasas satu daripada empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam yang kekal sehingga hari ini. Ketokohan beliau pada zamannya tiada tolok banding sehingga digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah iaitu imam yang menjadi rujukan kota Madinah. Mazhabnya atau disebut Mazhab Maliki berkembang dan diamalkan di pelbagai tempat serata dunia terutama Mesir, Algeria, Libya, Maghribi dan negara Afrika.

Nama lengkap beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir bin Amru al-Asbahi. Beliau dilahirkan pada 93 Hijrah dan membesar dalam asuhan keluarga yang amat soleh.

Imam Malik banyak menimba ilmunya di Madinah yang subur sebagai pusat pengajian ilmu. Beliau belajar dengan ramai guru sehingga bilangan mereka mencecah 900 orang. Antara guru awal yang membentuk pemikirannya ialah Abu Bakr Ibn Hurmuz yang tekun mendidiknya selama lapan tahun. Antara gurunya yang lain ialah Ibn Syihab al-Zuhri, Rabi'ah al-Ra'yi, Nafi' Maula Ibn Umar, Amir bin Abdillah bin al-Zubair, Abdullah bin Dinar, Ja'far al-Sadiq dan Zaid bin Aslam.

Imam Malik terkenal dengan kecerdasan akalnya sehinggakan mampu menghafal al-Quran dan hadis pada usia masih muda. Ketika usianya 23 tahun, beliau sudah mengajar dan menyampaikan fatwa di Masjid Nabawi.

Kitabnya, al-Muwatta' adalah karyanya yang cukup unggul dan menjadi rujukan penting dalam bidang hadis. Ia kitab hadis pertama yang disusun di Madinah dan antara sebilangan kecil kitab hadis kurun kedua Hijrah yang sampai kepada kita hari ini.

Al-Muwatta' bererti 'yang dibentangkan secara tersusun' atau 'yang disepakati' kerana setelah siap Imam Malik menunjukkannya kepada 70 ulama Madinah dan mereka semua sepakat mengiktirafnya. Ia mengandungi hadis hukum, pendapat sahabat dan tabiin. Jumlah keseluruhan riwayat di dalamnya menurut naskhah Yahya bin Yahya al-Laithi ialah 1,891 hadis serta athar.

Semua riwayat di dalam kitab ini adalah sahih di sisi Imam Malik. Bahkan, sebelum muncul Sahih al-Bukhari, Imam as-Syafie berkata: "Tiada satu kitab pun di atas muka bumi ini selepas al-Quran yang lebih sahih selain kitab Malik bin Anas iaitu al-Muwatta." Kata Yahya bin Sa'id: "Tiada seorang pun dalam kalangan ahli hadis yang lebih sahih hadisnya daripada Malik bin Anas. Malik adalah imam dalam bidang hadis."

Imam Malik menghabiskan masa selama 40 tahun untuk mengumpul dan menapis hadis yang diterima daripada gurunya. Menurut Ibn Hibban, beliau orang pertama daripada kalangan fuqaha Madinah yang meneliti perawi hadis. Beliau akan menolak perawi yang tidak thiqah dan hanya meriwayatkan hadis daripada perawi yang thiqah sahaja.

Beliau cukup berhati-hati dalam menapis, menerima dan menolak sesuatu riwayat. Daripada 100,000 hadis yang diriwayatkan, hanya 10,000 yang diterimanya. Daripada jumlah itu pula, setelah diteliti dan dipadankan dengan al-Quran, sunah dan amal ahli Madinah hanya 500 hingga 700 hadis yang dinilai sebagai sahih.

Imam Malik cukup menghormati hadis Rasulullah SAW. Jika ada yang datang meminta fatwa, beliau akan segera keluar memberikan fatwa. Namun, jika ada yang datang menuntut hadis, beliau akan masuk untuk berwuduk, memakai pakaian yang terbaik, berserban, menyisir janggutnya dan mengenakan minyak wangi. Beliau akan keluar dengan keadaan khusyuk, kemas dan rapi. Wangian gaharu akan dibakar dan beliau duduk tetap sehinggalah majlis hadis itu selesai. Menurut Ibn al-Mubarak, pernah ketika Imam Malik menyampaikan hadis, beliau disengat kala sebanyak 16 kali sehingga wajahnya berubah warna kerana menahan sakit. Namun, beliau tetap bersabar dan tidak membatalkan majlis itu kerana membesarkan hadis Rasulullah SAW. Beliau dikatakan tidak pernah menaiki sebarang tunggangan di Madinah sebagai tanda adab bagi menghormati jasad baginda SAW yang bersemadi di makamnya.

Imam Malik cukup tegas dalam menuntut ilmu. Bagi beliau, ilmu itu didatangi, bukan mendatangi. Maka, orang yang ingin menuntut ilmu hendaklah berusaha mencarinya bukan ilmu itu yang datang mencarinya. Oleh itu, Khalifah al-Mahdi pernah mengutus dua anaknya, Musa dan Harun untuk belajar dengan Imam Malik. Kemudian ketika Harun berkuasa, beliau mengutus pula anaknya untuk belajar dengan Imam Malik.

Antara muridnya yang terkenal ialah Imam as-Syafie yang mendampinginya selama 16 tahun. Beliau wafat pada 179H pada usia 87 tahun setelah hidup selama 60 tahun sebagai mufti di Madinah.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 12:30 PM