Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib.
Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib.
Abd Rahman Tajuddin

Sheikh Al-Azhar, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib adalah ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunah Waljamaah.

Beliau mewarisi keilmuan daripada Al-Allamah Al-Wali Sheikh al-Akbar Prof Dr Abdul Halim Mahmud yang juga pakar dalam Ilmu Usuluddin terutama Ilmu Tasawuf dalam mengekalkan legasi keilmuwan Manhaj Al-Azhar masa kini.

Beliau ulama yang sangat tawaduk. Beliau mengkaji ribuan kitab sehingga meletakkannya status Sheikh Al-Azhar yang juga point penting dalam Institusi Al-Azhar.

Institusi Al-Azhar pula terdiri daripada Masyaikah Al-Azhar, Universiti al-Azhar, Masjid al-Azhar, Darul Ifta dan beberapa Madrasah Al-Azhar yang kini tonggak keilmuan legasi Ahli Sunnah Wal Jama'ah dalam masyarakat global.

Pengaruh Al-Azhar dalam sejarah peradaban manusia memberi kesan kepada pembentukan institusi keilmuwan pada hari ini. Dengan berdirinya institusi keilmuan Islam di dunia seperti Universtiti Al-Zaitun di Tunisia, Universiti Al-Umawi di Damsyik dan Universiti Al-Fateh di Istanbul, secara hakikatnya adalah kerana menggunakan kurikulum pendidikan yang diasaskan oleh Manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu.

Semuanya menggunakan Manhaj Al-Azhar yang terbukti dapat menjaga akidah Ahli Sunah Waljamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Wahabi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pascamodenisme kini.

Manhaj Al-Azhar disusun oleh ulama muktabar terdahulu untuk memudahkan masyarakat dunia berpegang teguh dengan akidah yang benar, syariat yang terbaik dan berakhlak murni dengan Manhaj Nubuwwah.

Universiti Al-Azhar universiti tertua dunia mengandungi silibus pengajian Islam yang utuh. Ia pada asalnya sebuah masjid yang ditubuhkan pada era Dinasti Fatimiyyah kemudian dibangunkan semula oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Sistem pendidikan Universiti Al-Azhar yang menggunakan sistem tradisi talaqqi menjaga keaslian warisan ulama silam yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW disampaikan kepada generasi seterusnya.

Kekuatan Manhaj Al-Azhar mampu mempengaruhi dunia kerana ia mengekalkan elemen yang disusun oleh ulama silam. Antara elemen itu adalah menjaga salasilah sanad ilmiah secara riwayah, dirayah dan tazkiyah. Malah Al-Azhar memberi penekanan kepada penguasaan ilmu alat iaitu ilmu bahasa, ilmu mantiq dan metodologi berfikir termasuk Ilmu Kalam, Ilmu Usul Fiqh dan Ilmu Tariqah. Manhaj Al-Azhar memiliki landskap sempurna dan menyeluruh terhadap Maqasid Syariah yang menjaga agama, akal, nyawa, keturunan dan harta benda seluruh dunia. Manhaj Al-Azhar mengadaptasi al-Quran tepat pada tempatnya serta mentanzimkan Hubbun Nabiy Muhammad SAW.

Maka dengan sebab inilah Manhaj Al-Azhar terbukti menyelamatkan akidah umat Islam sejagat dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Malah Universiti Oxford, Universiti Paris, Universiti Cambridge dan Universiti Stamford meniru sistem Universiti Al-Azhar yang memegang rekod universiti tertua di dunia dalam penyebaran ilmu kepada masyarakat dunia.

Imam Besar Al-Azhar atau Sheikh Al-Azhar adalah jawatan ulama Islam Ahli Sunah Waljamaah yang sangat dihormati. Ia jawatan yang terpenting di Mesir khususnya dan dunia secara amnya. Sheikh Al-Azhar kedudukan yang tertinggi dan terpenting. Ia kedudukan berkarismatik yang mempunyai beberapa lapisan darjah kredibiliti keilmuan untuk dilewati kerana memiliki autoriti muktabar.

Masyarakat dunia Islam melihat kedudukan Sheikh Al-Azhar autoriti tertinggi dalam pemikiran dan perundangan Islam serta mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat Islam seluruh dunia. Hal ini kerana perjalanan sejarah dunia tidak lepas daripada peranan Al-Azhar sebagai tunjang akidah Al-Asyairah Ahli Sunah Waljamaah.

Sangat paradoks apabila timbul persepsi yang mengatakan Sheikh Al-Azhar menyokong pluralisme agama yang sebenarnya bercanggah dengan Manhaj Al-Azhar itu sendiri.

Sheikh Al-Azhar selaku penghulu Al-Azhar menyimpan khazanah yang tinggi nilainya. Peranan Sheikh Al-Azhar yang juga Plan-Maker di dalam memproduk individu berkualiti dalam menjaga akidah dan menyediakan plaform kepada masyarakat global di dalam menjaga keamanan global.

Disebabkan peranan Al-Azhar yang sangat efektif ini, Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib mengadakan perhimpunan pada 3 hingga 4 Disember 2014 yang menghimpunkan pemimpin agama di segenap nuansa seperti Libya, Nigeria, Lubnan, Jazirah Arab, Iran, Bahrain, Iraq, Yaman, Syria dan negara Islam lain demi membincangkan masalah ancaman pergerakan ekstremisme dan radikalisme.

Demikian, sewaktu kejadian letupan bom di gereja Kristian Koptik pada 2017, Universiti Al-Azhar mengeluarkan kenyataan membatalkan segala program sambutan Maulidur Rasul bertempat di Universiti Al-Azhar sebagai tanda toleransi kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam siri letupan. Al-Azhar mencerminkan sifat ketinggian hikmah di dalam menangani beberapa isu kontemporari.

Peristiwa pengeboman gereja Kristian Koptik itu dan tragedi di Sinai menampakkan ideologi keganasan semakin parah. Lebih sadis, kewujudan terorisme ini memberi imej buruk dan tanggapan negatif kepada bukan Muslim yang tidak faham secara mendalam mengenai agama Islam. Maka dengan sebab inilah Sheikh Al-Azhar bertemu dengan Pope untuk membincangkan keamanan global merentas agama.

Pertemuan ini menyebabkan tuduhan melulu terhadap Sheikh Al-Azhar kononnya beliau menyokong pluralisme agama. Tuduhan itu sangat cetek dan fitnah yang besar terhadap institusi Islam itu. Hakikatnya Sheikh Al-Azhar pada 7 November 2017 bertemu Pope Perancis di Vatican adalah untuk membincangkan budaya kedamaian dan menyebarkan keamanan dengan menolak unsur ekstremisme dan Islamophobia untuk menjaga keamanan global.

Peranan Al-Azhar mempromosikan keamanan dan wasatiyyah sangat terbukti berkesan di dalam menjaga keamanan global. Tuduhan itu mungkin disebabkan mainan modus operandi Wahabi untuk meruntuhkan institusi Islam terbesar iaitu Universiti Al-Azhar yang terbukti menjaga fikrah keamanan sejagat.

Hakikatnya Sheikh Al-Azhar bukan memperomosikan pluralisme agama. Tidak pernah dalam sejarah dan kenyataannya menyatakan semua agama itu benar. Sheikh Al-Azhar ilmuwan Ahli Sunah Waljamaah yang terulung. Dunia mengiktiraf peranan Al-Azhar untuk mengekang ekstremisme. Maka dengan sebab itulah Sheikh Al-Azhar diberi peranan yang sangat besar dalam melestarikan keamanan sejagat.

Model Al-Azhar membentuk kader yang menyumbang untuk tanah air mereka dan meneruskan dakwah keamanan dan wasatiyyah dengan begitu meluas di serata dunia. Demikian fikrah Sheikh Al-Azhar ketika menyampaikan Syarahan Perdana Manhaj Azhari dan Keamanan Sejagat. Ia bukan pluralisme agama seperti yang difitnah sebahagian orang.

Prof Dr Ahmad Tayyib pernah ke Malaysia ketika muktamar yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia. Beliau banyak menyentuh perihal ideologi wasatiyyah atau kesederhanaan dalam kemelut parti politik berbilang bangsa dan agama di Malaysia. Konsep kesederhanaan itu sendiri diaplikasikan oleh Rasulullah SAW. Ini jelas menunjukkan Sheikh Al-Azhar tokoh ilmuwan Ahli Sunah Waljamaah sejati yang mampu menjaga keamanan global dengan himmah dan hikmah tinggi serta bersepadu di beberapa negara di dunia kini.

Kegiatan merendah-rendahkan, menghina dan menfitnah ulama Al-Azhar adalah sikap yang tidak profesional serta gagal memahami hikmah wasatiyyah yang sudah lama diamalkan oleh institusi itu.

Berkata al-Imam Ibn Mubarak RA: "Siapa yang melecehkan ulama akan hilang akhiratnya. Siapa yang melecehkan umara,akan hilang dunianya. Siapa yang melecehkan temannya, akan hilang kehormatannya."

Firman Allah yang bermaksud: "Allah tiada melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." Surah al-Mumtahah ayat 8

Penulis Felo Pusat Naratif Menangani Ekstremisme (Concave), Institut Pengajian Islam dan Strategik (ISSI)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:00 AM