Universiti Sultan Zainal Abidin.
Universiti Sultan Zainal Abidin.
Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

 

 

Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) dengan kerjasama Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mengadakan Seminar Antarabangsa Ahli Sunnah Wal Jamaah: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis 2023 (ASWAJA 2023) pada 5 dan 6 Mei 2023. Seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi solusi dan panduan kepada masyarakat Islam berdasarkan pandangan Ahli Sunah Waljamaah tentang akidah pegangan majoriti Ahli Hadis.

 

Seminar ini juga mendapat sokongan kerjasama dari persatuan Islam berkaitan pembelajaran ilmu akidah dan turath Islam di dalam dan luar negara seperti Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) UniSZA, Kelab Explorasi Ilmu UniSZA (E-Ilmu), Himpunan Mahasiswa Program Studi Aqidah dan Filsafat Islam (HMPS AFI) Universiti Islam Negeri Sharif Jakarta Indonesia, Persatuan Mahasiswa Pengajian Agama dan Aqidah USIM (PERWADAH), Persatuan Pengajian Islam Universiti Sultan Azlan Shah (PERPIS), Lajnah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya, Pusat Kajian Syariah Darul Fitri, Kelab Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (KUFAH), Persatuan Mahasiswa Dakwah dan Usuluddin Universiti Islam Selangor (PMDU), Ikatan Mahasiswa al-Quran dan Usuluddin UniSHAMS (I-MAS) dan Secretariat of Usul Al-Din & Comparative Religion UIA (UDCY).

 

Terdapat tokoh dari dalam dan luar negara yang latar belakang pendidikan mereka adalah dalam bidang akidah, pemikiran Islam dan hadis akan membentangkan kertas kerja mereka. Pembentangan Ucaptama akan disampaikan oleh Prof Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie yang merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, FKI UniSZA. Beliau lulusan Ijazah Doktor Falsafah di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC-IIUM) dalam bidang Pemikiran Islam. Tajuk kertas kerja beliau adalah Epistemologi Ilmu dan Manhaj Akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

 

Pembentangan Utama 1 akan disampaikan oleh Dr. Luqmanul Hakim Darwaman Al-Indunisi al-Azhari yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Al-Azhar Mesir dalam bidang Hadis. Beliau berperanan sebagai Penasihat Madrasah Imam Syafie (MAINs) dan Penasihat Pusat Pengajian Minhajul Abidin. Beliau akan membentangkan kertas kerja bertajuk Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis Nusantara.

 

Manakala, kertas kerja Pembentangan Utama 2 akan dibentangkan oleh Maulana Wan Tahir al-Mazahiri. Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang hadis dan akidah di Darul Ulum Deoband, Madrasah Mazahirul Ulum, Saharanfur dan Darul Musthafa, Hadramaut, Yaman. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Mazaher Uloom Ilmuan di Shah Alam Selangor. Tajuk pembentangan beliau ialah Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis Deoband India.

 

Di samping itu, Pembentang Utama 3 ialah Dr. Mohd Khafidz Soroni yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Islam Selangor (UIS) dalam bidang hadis. Beliau merupakan Panel Pakar Hadith JAKIM, AJK Fatwa Selangor, AJK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan dan berperanan sebagai Ketua Unit Hadis, Institut Kajian Hadis & Akidah UIS. Tajuk kertas kerja beliau adalah Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis Al-Azhar Mesir.

 

Seterusnya, Pembentang Utama 4 ialah Dr. H. Alvian Iqbal Zahasfan yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari Dar El Hadith El Hassania, Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi dalam bidang Akidah. Beliau berperanan sebagai Pensyarah, Sekolah Pascasarjana, UIN Syarif Hidayatullah Jakarta. Tajuk pembentangan beliau ialah Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis Maghribi.

 

Pembentangan seterusnya akan disampaikan oleh Dr. Abdullaah Jalil yang merupakan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Pembentang Utama 5 ini berpengalaman sebagai Pakar Rujuk Kes-kes Keganasan Yang Disiasat Di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ahli Panel Deradikalisasi, KDN dan Panel Penyelidik Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Mencegah dan Menangani Pelampau Keganasan (NAPPCVE), KDN. Tajuk pembentangan yang sesuai dengan kepakaran beliau ialah Keistimewaan Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis dalam Mendepani Ekstremisme.

 

Pembentang terakhir iaitu Pembentang Utama 6 adalah Dr. Muhammad Rashidi Wahab yang merupakan Ketua Pusat Pengajian Usuluddin, FKI UniSZA. Beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam akan membentangkan kertas kerja bertajuk Keistimewaan Manhaj Akidah ASWJ Majoriti Ilmuwan Hadis dalam Mendepani Liberalisme.

 

Tajuk-tajuk pembentangan ini sangat penting untuk menzahirkan keistimewaan akidah Ahli Sunah Waljamaah yang mendapat tempat di hati majoriti para ilmuwan hadis di Nusantara dan Dunia Islam. Seminar kali ini memberi fokus kepada para ulama hadis yang berada di Mesir, Maghribi, India dan Nusantara. Di samping itu, difokuskan juga bagaimana akidah yang dipegang oleh majoriti ulama hadis ini berupaya mendepani fahaman Ekstremisme dan Liberalisme. Tidak lupa juga bahawa keistimewaan itu boleh dilihat pada aspek pandangan alam (worldview) menurut ASWJ menerusi tajuk khusus iaitu Epistemologi Ilmu dan Manhaj Akidah ASWJ.

 

Seminar ASWAJA 2023 ini juga penting untuk menjawab kekeliruan yang timbul dalam masyarakat Islam sendiri yang mendakwa aliran al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah yang mewakili majoriti umat Islam ini tiada kaitan langsung atau jauh dari ulama hadis. Di samping itu juga, bicara tentang pegangan akidah al-Athariyyah, Hanabilah atau Ahli Hadis al-Mufawwidah juga bakal disentuh agar keaslian pegangan akidah Imam Ahmad bin Hanbal dapat dilestarikan dan bersih dari tiga fahaman bidaah iaitu akidah tashbih (fahaman menyamakan Allah SWT dengan makhluk), tajsim (fahaman menjisimkan Allah SWT) dan takfir (mengkafirkan umat Islam dalam perkara khilafiyyah).

 

Ini kerana, tiga perkara bidaah dolalah dalam akidah ini kelihatannya dapat dilihat pada sebahagian pihak yang cuba berpegang dengan akidah al-Athariyyah, Hanabilah atau Ahli Hadis tersebut dan sebahagian mereka lebih suka dengan gelaran Salafi atau Salafiyyah. Justeru, seminar ini memberi solusi untuk membantu mereka agar kembali kepada pegangan akidah Imam Ahmad yang sebenar menurut majoriti ulama termasuk majoriti ulama bermazhab Hanbali sendiri. Antara ulama bermazhab Hanbali kontemporari yang bertungkus-lumus mempertahankan keaslian turath akidah Imam Ahmad bin Hanbal ialah Sheikh Mustafa Hamdun 'Ulayyan al-Hanbali menerusi kitabnya yang berjudul al-Sadah al-Hanabilah wa al-Ikhtilafuhum Ma'a al-Salafiyyah al-Mu'asirah fi al-'Aqa'id wa al-Fiqh wa al-Tasawwuf. Beliau menghimpunkan nama-nama ulama besar Hanbali dan menjelaskan pandangan sebenar majoriti ulama Hanbali tentang akidah Imam Ahmad.

 

Mustahil majoriti ulama tidak tahu tentang akidah Islam yang sebenar dan aliran mana yang mewakili ASWJ. Jika ini dapat difahami dengan baik, maka renungilah pandangan ulama bermazhab Hanbali ini iaitu Imam Ibn Shatti al-Hanbali dalam kitab Tabsir al-Qani' yang menyatakan bahawa golongan yang al-najiyah (selamat) ialah golongan Ahli Hadis yang terdiri daripada al-Athariyyah, al-Ash'ariyyah dan al-Maturidiyyah. Begitu juga, fahamilah kenapa pada 25 hingga 27 Ogos 2016, telah diadakan Muktamar Ahli Sunah Waljamaah peringkat antarabangsa di Grozny Cechnya yang turut dihadiri oleh ilmuwan al-Asha'irah iaitu Sheikh al-Azhar Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib bahawa antara resolusi seminar tersebut ialah berkenaan definisi ASWJ. Resolusi seminar memutuskan bahawa aliran ASWJ dalam bidang akidah adalah al-Asha'irah, al-Maturidiyyah dan Ahli Hadis al-Mufawwidah.

 

 

 

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 10:02 PM