SESUNGGUHNYA pemimpin yang diredai adalah pengukir sebenar tamadun baharu yang amat dinantikan umat sejagat.
SESUNGGUHNYA pemimpin yang diredai adalah pengukir sebenar tamadun baharu yang amat dinantikan umat sejagat.
Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz

Kepemimpinan, pemerintahan dan pentadbiran adalah tuntutan penting dalam Islam. Sejak zaman Nabi Adam AS, manusia sudah ditugaskan Allah SWT untuk menjadi pemimpin, pemerintah atau pentadbir alam berdasarkan petunjuk wahyu.

Sekalian nabi bukan sekadar penyampai wahyu bahkan mereka bergelar pemimpin masyarakat zaman-berzaman. Rasulullah SAW menyebut antara urusan kepemimpinan yang sentiasa berjalan ialah kepemimpinan Bani Israel. Sabda baginda: "Dahulu Bani Israel diurus tadbir oleh golongan nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, dia digantikan nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada nabi sesudah aku. Yang akan ada adalah khalifah dan mereka banyak." Sahabat bertanya: "Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami?" Nabi bersabda: "Penuhilah baiat yang pertama. Yang pertama saja. Berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang diminta agar mereka mengurusnya." (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ibn Majah)

Rasulullah SAW selain menjadi rasul, baginda turut berperanan sebagai pemimpin masyarakat. Baginda adalah pemimpin paling berjaya kerana mempunyai pengaruh paling kuat dan sentiasa mencetuskan impak kepada pengantinya sepanjang zaman.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, tugas kepemimpinan dirintis Nabi Adam AS. Baginda sebagai pemerintah pertama diwajibkan memakmurkan dunia dengan cahaya Islam dan aktif menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah.

Menurut perspektif tokoh politik Islam, Imam al-Mawardi, tugas khalifah ialah menegakkan agama dan mentadbir dunia mengikut acuan Islam. Berdasarkan takrifan ini, dapatlah difahami bahawa tugas utama dalam pemerintahan ialah menegakkan ajaran agama yang menjadi asas segala keluhuran pentadbiran. Dasar kepemimpinan insan yang mengaku beriman kepada Tuhan tidak boleh lari daripada takrifan dinyatakan tadi.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, tugas khalifah, pemimpin dan pentadbir masyarakat wajib terus dipikul individu yang lain. Urusan ini diteruskan tanpa henti kerana politik dan pengurusan rakyat adalah fardu kifayah. Untuk merealisasikan hal ini, umat Islam perlu memilih pemimpin terbaik.

Gagal memilih pemimpin yang baik menyebabkan keruntuhan masyarakat dan agama itu sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: "Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin maka sesungguhnya dia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya." (Riwayat Ahmad)

Seorang ulama terkenal, Dr Abdul Aziz Izat al-Khayyat dalam kitabnya al-Nuzum al-Siyasi fi al-Islam menyatakan: "Adalah menjadi keperluan asas bagi sesebuah masyarakat untuk mewujudkan pemerintah yang menjaga hal ehwalnya serta mentadbir urusan kehidupan anggotanya. Jika tidak wujud kuasa yang membelanya nescaya kehidupan manusia akan menjadi kucar-kacir dengan yang kuat menelan dan menguasai yang lemah serta tak berdaya. Budaya ini berdasarkan tabiat semula jadi manusia yang sentiasa cenderung kepada permusuhan dan melakukan kezaliman.

Oleh yang demikian, seluruh umat manusia sejak zaman dulu lagi sepakat tentang perlunya wujud golongan yang menjalankan tugas pemerintahan daripada kalangan mereka, tanpa mengira apa gelarannya."

Seseorang itu akan dianggap sebagai khalifah atau pemimpin yang sebenar apabila ia mempunyai beberapa etika kepemimpinan seperti:

Pertama: Memegang kefahaman agama dalam pemikiran, perbuatan dan pelaksanaan pemerintahan. Ini asas kepemimpinan Nabi Muhammad SAW ketika mentadbir Makkah, Madinah dan Semenanjung Arab. Ini juga asas yang dipegang khalifah yang menyusul setelah kewafatan baginda iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Apabila kefahaman agama dijadikan teras dalam kepemimpinan maka Allah SWT akan memberkati urusan pemerintahan.

Kedua: Mempunyai sifat amanah, adil, benar dan bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Islam menuntut seseorang pemerintah itu mesti menjadi hamba kepada rakyat dan bukan rakyat menjadi hamba kepada pemerintah. Khalifah terdahulu sedar mereka sedang memikul beban amanah yang wajib dilaksanakan. Rasulullah mengingatkan peranan pemimpin yang berat: "Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari)

Ketiga: Menjalankan tugas membangunkan negara dan akhlak masyarakat. Umumnya, rakyat mempunyai persepsi bahawa pemimpin hebat ialah pemimpin yang dapat membawa pelbagai kemajuan. Wang dapat dihulurkan, bangunan dapat didirikan atau jalan raya dilebarkan. Ini sememangnya secebis daripada zahir pengurusan yang maju. Setiap pemimpin di dunia daripada pelbagai idelogi tidak akan melepaskan peluang menjana kemajuan hasil daripada pendapatan negara yang dikuasai. Namun, mengikut kaca mata Islam, insan yang diamanahkan sebagai pemimpin mesti berpotensi melaksanakan pelbagai kemajuan dalam aspek dunawi dan ukhrawi.

Jika tidak sanggup menjadi pemimpin yang terbeban dengan tanggungjawab dunia dan akhirat maka janganlah meminta amanah kepemimpinan ini. Dalam sirah, pernah sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Zar Al-Ghifari RA memohon jawatan pemimpin, namun ditolak baginda.

Rasulullah SAW enggan memberi jawatan kerana baginda tahu Abu Zar Al-Ghifari RA lemah dalam urusan kepemimpinan biarpun bergelar sahabat baginda. Ini kerana dalam menjawat sesuatu jawatan, terdapat pelbagai kriteria yang wajib dipenuhi. Apabila seseorang pemimpin itu hanya bijak mengatur pembangunan, tetapi sunyi daripada mengikuti tuntutan agama dan prinsip kepemimpinan yang diredai maka martabatnya tidak ubah seperti pemerintah negatif pada zaman lampau. Firaun, Namrud, kaum Thamud, kaum Ad dan Abu Jahal adalah contoh tokoh pemimpin yang berjasa, meraih pujian rakyat, namun akhirnya mereka sendiri menzalimi rakyat. Malang buat mereka selaku pemimpin zaman silam yang tekun membangunkan tamadun tersendiri, tetapi rela mengundang kemurkaan Tuhan di sebalik sejarah ditinggalkan. Allah berfirman: "Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat yang terkemuka agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata: 'Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami yang serupa dengan apa diberikan kepada utusan Allah. Allah lebih mengetahui di mana Allah menempatkan tugas kerasulan. Orang yang berdosa, nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya." (Surah al-An'am ayat 123-124)

Keempat: Melengkapkan diri dengan lunas akhlak dan adab. Seseorang itu tidak layak menjadi pemimpin dan bergelar khalifah apabila asas akhlak dan adab tidak diamalkan dalam tingkah laku seharian. Akalnya bijak, bicaranya fasih dan imejnya menarik perhatian, tetapi sayang jika ia sunyi daripada praktikal akhlak yang mulia. Ada dalam kalangan mereka menganggap mudah isu rasuah, tidak segan mendahulukan kerabat dan kenalan dalam pengagihan ekonomi, politik berat sebelah dan lazim mensia-siakan perintah asas agama.

Pemimpin sedemikan ternyata bertentangan dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Keadaan menjadi kian parah apabila penguasa sedemikian tidak segan silu mempengaruhi masyarakat dengan 'wabak' yang sama.

Imam Ibn Kathir (wafat 774H) menyebut dalam al-Bidayah wa al-Nihayah: 'Sebahagian manusia mendakwa kesan daripada pengaruh pemerintah, manusia boleh terikut-ikut dengan cara kehidupan penguasa mereka. Sekiranya dia mabuk akibat khamar, orang bawahannya akan turut terkesan. Jika penguasa berhati-hati dalam gerak-gerinya maka orang bawahannya akan turut menjaga diri. Demikian jika penguasa umpama kuda yang mesra, namun berani maka orang bawahannya terkesan seperti itu. Begitu juga jika penguasa tamak, tidak adil atau benar-benar beragama maka akan memberi kesan menyeluruh. Tabiat baik dan buruk berlaku pada setiap zaman dan beberapa tokoh penguasa.'

Untuk menjadi pemimpin diredai Tuhan, pemimpin yang dipilih rakyat mesti mempunyai etika kepemimpinan sejati seperti yang pernah ditunjukkan khalifah terdahulu. Mereka kaya dengan muhasabah dan sentiasa beringat mengenai amanah kepemimpinan.

Mudah-mudahan pemimpin yang menjadi khadam rakyat kian bertambah semula di persada negara umat Islam. Sesungguhnya pemimpin yang diredai adalah pengukir sebenar tamadun baharu yang amat dinantikan umat sejagat. Biarpun mungkin terbeban, mereka sebenarnya bakal meraih banyak pahala dan rahmat hasil daripada kejayaan melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:00 AM