DUA gambar menunjukkan musim haji 2020 yang dihadkan bilangan jemaahnya dan musim haji pada tahun lepas. FOTO AFP
DUA gambar menunjukkan musim haji 2020 yang dihadkan bilangan jemaahnya dan musim haji pada tahun lepas. FOTO AFP
Dr Azlan Shaiful Baharum

KISAH yang ada dalam Al-Quran walaupun beribu-ribu tahun berlaku tetap relevan untuk dijadikan panduan dan pengajaran sepanjang zaman. Ibrah yang terdapat di dalamnya mengingatkan kita betapa penting keimanan yang jitu terhadap perkara ghaib yang tidak pernah diketahui kecuali dengan panduan wahyu Rabbani dan sabda Nabi SAW.

Sebagai contoh dalam surah al-An'am yang menjadi salah satu surah yang paling panjang dalam al-Quran menceritakan kisah Nabi Ibrahim AS. Baginda dikatakan lahir di Aleppo, Syria (iaitu di bumi Syam). Nabi Ibrahim AS digelar sebagai Abu Al-Jumhur Al-Azeem yang bermaksud bapa kepada perkumpulan manusia yang besar. Baginda juga bergelar Khalilullah bermaksud kekasih Allah. Kisah baginda agak terkenal kerana membabitkan peristiwa pengorbanan yang abadi dalam sejarah Islam. Oleh sebab itu sehingga kini kita merayakan Hari Raya Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji dalam masyarakat kita.

Baginda Nabi Ibrahim AS mempunyai dua isteri iaitu Saidatina Sarah dan anaknya bernama Nabi Ishak AS. Manakala isteri kedua baginda ialah Saidatina Hajar dan puteranya pula Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS menghadapi dugaan yang besar kerana penentangan dakwahnya bukan hanya datang daripada pengikutnya sahaja, malah ayahnya sendiri yang bernama Azar merupakan seorang pengukir berhala yang disembah oleh kaumnya, juga seorang yang kufur kepada Allah SWT dan ajaran Nabi Ibrahim AS.

Selain itu, kaum Nabi Ibrahim menyembah bintang yang dan menganggap planet Jupiter yang menjadi planet paling besar sebagai tuhan mereka. Apabila melihat bulan, Nabi Ibrahim berkata "inikah tuhanku?" Soalan ini bukan bermakna Nabi Ibrahim ingin mensyirikkan Allah SWT, tetapi hendak membatilkan kekufuran kaumnya dan menyindir perilaku syirik mereka, yang tetap berdegil walaupun dinasihatkan dan diingatkan.

Begitu juga apabila baginda melihat matahari, soalan yang sama ditanyakan sebagai sindiran yang sinikal kepada kaumnya. Akan, tetapi yang perlu kita ketahui ialah Nabi Ibrahim tidak pernah memarahi kaumnya, sebaliknya menggunakan hujah yang bijaksana melalui akal dan logik iaitu yang dikenali sebagai ilmu Mantiq. Ajaran Nabi Ibrahim juga dikenali sebagai ajaran al-Hanif iaitu agama yang menyembah Tuhan yang Satu.

Dalam Surah al-A'raf pula menceritakan perihal kisah bapa kepada seluruh umat manusia iaitu Nabi Adam AS. Godaan Iblis terhadap baginda dan isteri baginda iaitu Saidatina Hawa menyebabkan terlucutnya gelaran ketua para malaikat yang dimiliki oleh Iblis sejak sekian lama.

Sejarah manusia yang diiktiraf sebagai sebaik-baik kejadian oleh Allah SWT dalam Surah at-Tin ayat ke-4: "Sesungguhnya Kami menciptakan manusia sebaik-baik kejadian" menyerlahkan lagi keistimewaan manusia berbanding dengan makhluk lain yang diciptakan oleh Allah SWT termasuk malaikat dan jin. Di samping itu, ayat ke 59 daripada Surah al-A'raf pula menjelaskan kisah nabi Nuh AS yang merupakan nabi yang pertama diutuskan kepada kaum musyrikin. Baginda berdakwah begitu lama iaitu sekitar 950 tahun. Namun begitu bilangan yang beriman hanyalah sekitar 80 orang. Ini menunjukkan umur baginda melebihi 1000 tahun mengikut pandangan ulama yang muktabar.

Di samping itu, kisah kaum 'Ad yang mencabar Allah SWT untuk menurunkan azab jika nabi mereka itu berada di pihak yang betul (iaitu Nabi Hud AS) manakala kaum Thamud pula melakukan penderhakaan kepada Allah dan Nabi Soleh AS menyembelih unta betina yang disuruh dan diamanahkan untuk dijaga. Selain itu, penduduk Madyan yang suka mengurangkan timbangan dalam urusan jual beli mereka juga menjadi teladan kepada peniaga untuk bersikap jujur dalam perniagaan.

Kisah yang paling banyak dan paling masyhur dalam al-Quran ialah kisah Nabi Musa A S. Baginda dicabar oleh Firaun untuk menunjukkan mukjizatnya sebagai bukti kenabiannya. Baginda melemparkan tongkatnya dan menjadi ular yang sangat besar. Ia menelan semua ular ahli sihir Firaun yang banyak itu. Walaupun begitu, permaisurinya Saidatina Asiah Muzahim, seorang mukminah yang bertakwa kepada Allah SWT.

Konsep agama ialah nasihat seperti mana ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda merujuk kepada agama sebagai platform untuk mengenal dan mengingati Allah SWT, rasul-Nya, orang yang beriman dan seluruh manusia. Satu kaedah dakwah dan nasihat ialah melalui kisah teladan dan ibrah daripada al-Quran.

Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 8:36 AM