MAKAM pemerintah Turki yang mengelilingi Tomb of Suleiman The Magnificient.
MAKAM pemerintah Turki yang mengelilingi Tomb of Suleiman The Magnificient.
Kembara Syahadah

SETIAP inci bumi Turki memiliki sejarah yang cukup panjang. Sebelum zaman Roman dan Byzantine hingga era kegemilangan Uthmaniyah, kemudian diikuti sistem republik di bawah Mustafa Kamal Attarturk, Turki punya banyak tinggalan sejarah yang cukup berbaloi untuk diterokai.

Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nurkhamimi Zainuddin berpeluang berkunjung ke negara berkenaan tahun lalu.

Antara tempat menarik yang dilawati adalah The Tomb of Suleiman The Magnificient.

Menurutnya, Suleiman adalah Sultan Kerajaan Uthmaniyah ke-10 dan paling lama memerintah dari 1520 sehingga kematiannya pada 1566.

“Di Barat, beliau dikenali sebagai Suleiman The Magnificient dan di Timur beliau dikenali sebagai Sulaiman Al-Qanuni (Pembuat Undang-Undang) sebagai mengenang jasanya dalam pemodenan sistem perundangan kerajaan Uthmaniyah,” katanya.

DR Nurkhamimi berada di hadapan Grand Bazaar yang dianggap sebagai salah satu pasar teduh terbesar dan tertua di dunia.
DR Nurkhamimi berada di hadapan Grand Bazaar yang dianggap sebagai salah satu pasar teduh terbesar dan tertua di dunia.

Dr Nurkhamimi berkata, Suleiman juga menjadi pemerintah terkenal di Eropah pada abad ke-16 dengan kejayaannya mencapai kemuncak kuasa ketenteraan, politik dan ekonomi kerajaan Uthmaniyah.

“Sulaiman sendiri memimpin tentera Uthmaniyah untuk menakluki kawasan Kristian di Belgrade, Rhodes dan kebanyakan wilayah di Hungary sebelum penaklukan beliau dipatahkan dalam Pertempuran Vienna pada 1529.

“Beliau memberi perhatian yang lebih di Timur Tengah di dalam konflik dengan kerajaan Safaviddi Parsi dan banyak jalur rumput di barat Algeria terletak di Afrika Utara.

“Ketika pemerintahannya, angkatan tentera laut Uthmaniyah menguasai kawasan laut di Mediterranean sehingga ke Laut Merah dan Teluk Parsi,” katanya.

Beliau berkata, Suleiman adalah pentadbir yang mementingkan hak kesamarataan tanpa mengira pangkat dan darjat.

“Malah, di bawah pentadbiran Sulaiman juga, umat Islam dan orang Yahudi dapat hidup dengan aman dan damai.

“Kaedah pemilihan beliau yang ketat dalam pelantikan gabenor membantunya untuk melaksanakan undang-undang Islam dengan berkesan.

“Tanpa memilih populariti atau status sosial seseorang, beliau sendiri merisik keperibadian bakal gabenor yang dilantik untuk memastikan wakil atau gabenor kerajaan Bani Turki Uthmaniyyah benar-benar bersih dan cekap,” katanya.

BERGAMBAR di sekitar kawasan Masjid Sultan Ahmed yang turut dikenali sebagai Masjid Biru.
BERGAMBAR di sekitar kawasan Masjid Sultan Ahmed yang turut dikenali sebagai Masjid Biru.

Selanjutnya, Dr Nurkhamimi turut berpeluang berkunjung ke satu lagi tempat menakjubkan bagi warga Turki dikenali Yerebatan Sarnici.

“Bagaimanapun, bagi seluruh dunia, tempat itu adalah Basilica Cistern. Struktur bawah tanahnya adalah salah satu peninggalan arkitektur bernilai sejarah tinggi yang menjadi kebanggaan rakyat negara berkenaan.

“Yerebatan Sarnici dibina pada 527-565 pada zaman kerajaan Romawi Timur dan diperintah raja bernama Yustinianus I.

“Panjang binaan itu adalah 140 meter manakala lebarnya pula 70 meter dan setiap ruangnya berketinggian sembilan meter.

“Ketika mengunjungi Yerebatan Sarnici, kita akan terasa seperti berada di dunia lain kerana seni binanya amat unik.

“Tidak hairanlah ia dinobatkan sebagai salah satu kawasan tumpuan utama pelancong dari serata dunia. Basilica Cistern adalah binaan penting bagi penduduk Istanbul pada zaman dahulu untuk mendapat sumber bekalan air,” katanya.

Menurut beliau, apa yang menariknya, binaan itu cukup indah sebagai sebuah tempat takungan air kerana pada asalnya, ia sebuah pusat seni, ekonomi dan undang-undang pada zaman Rom.

“Bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menyimpan air, ia turut menjadi tempat tapisan air untuk bangunan berdekatan seperti Istana Besar Konstantinople dan Istana Top kapi.

“Ia juga menyalurkan air untuk orang awam melalui lubang-lubang besar seperti telaga terletak di siling.

“Walaupun seni binanya cukup gah, Basilica Cistern yang dibina pada 532 itu mempunyai kisah sedih. Dikatakan pembinaannya mengorbankan sehingga 7,000 orang hamba.

“Pendek kata, tempat itu dibina dengan keringat dan lelehan darah dan air mata. Kini, struktur rosak itu sudah dibaik pulih pihak Muzium Kosmopolitan Istanbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 10:50 AM