KEINDAHAN Masjid Hagia Sophia.
KEINDAHAN Masjid Hagia Sophia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Turki, sebuah negara indah di lokasi unik apabila sebahagian negara itu di Asia dan sebahagiannya lagi di benua Eropah.

Ia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya warisan sejarah selain popular dengan pelbagai jenis hidangan masakan istimewa.

Sebagai sebuah negara yang berkedudukan di sempadan Asia dan Eropah, Turki sememangnya sering dikunjungi pengembara dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, negara Eurasia ini tidak mungkin boleh diletakkan dalam satu kategori tertentu kerana Turki ditubuhkan dengan gabungan kepelbagaian warisan dan sejarah yang mengagumkan.

Ia dilahirkan dengan pertemuan Timur dan Barat, penyatuan pelbagai budaya, penganut agama yang saling memahami, menghormati satu sama lain dan kebebasan untuk menganut kepercayaan agama berbeza.

Bukti persefahaman itu jelas dapat dilihat dengan kedamaian yang dinikmati rakyat Turki sejak berabad yang lalu.

Ketenangan juga ditawarkan kepada pengunjung yang ingin mencari kedamaian, mahupun keseimbangan dalam kehidupan.

Walaupun keadaan pandemik Covid-19 ketika ini mengakibatkan kerisauan untuk melancong ke luar negara, kerajaan Turki merancangkan yang terbaik untuk pengunjung ke negara itu.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempromosikan pelancongan yang selamat, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Republik Turki memulakan program Pensijilan Pelancongan Sihat.

Ia bagi memastikan pelancong ke Turki dapat mengembara ke negara itu dengan cara yang selamat dan bersih sambil mengelak sebarang keraguan.

Berikut beberapa lokasi yang mesti dikunjungi seperti yang disyorkan Pejabat Pelancongan dan Maklumat Kedutaan Turki untuk penerokaan yang paling indah.

1. Masjid Hagia Sophia

Antara tarikan utama yang wajib dikunjungi di Turki adalah Hagia Sophia iaitu sebuah masjid yang menakjubkan apabila umat Islam dan Kristian bertemu dan wujud secara harmoni antara satu sama lain.

Di bawah struktur yang megah itu, terdapat sejarah yang kaya, sama seperti kekayaan budaya kota kosmopolitan yang menjadi lokasi kedudukan mercu indah berkenaan.

Awalnya, ia dibina sebagai gereja ketika Empayar Byzantine yang kemudian dijadikan sebuah masjid ketika pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah.

Hagia Sophia mencerminkan perubahan agama mengikut peredaran zaman.

Malah Hagia Sophia juga pernah dijadikan muzium dan baru-baru ini, kerajaan Turki mengembalikan binaan bersejarah itu sebuah masjid.

ANTARA tinggalan bersejarah yang dipamerkan di Muzium Topkapi Palace.
ANTARA tinggalan bersejarah yang dipamerkan di Muzium Topkapi Palace.

2. Muzium Topkapi Palace

Sebuah istana yang dijadikan muzium. Muzium pelancong popular khas buat mereka yang melakukan pengembaraan rohani.

Muzium besar ini yang terletak di daerah Fatih, Istanbul menempatkan peninggalan suci Islam dan nabi termasuk warisan peninggalan Nabi Muhammad SAW selama lebih 500 tahun.

Pusaka peninggalan Rasulullah disimpan dalam keadaan yang rapi supaya pelancong dapat menikmati keindahan busur beliau dan pedang sahabatnya.

Ia antara beberapa warisan pusaka yang tersimpan di istana itu. Pengunjung juga dapat meluangkan masa menjelajah ruang megah Kerajaan Uthmaniyah.

MASJID Biru.
MASJID Biru.

3. Masjid Biru (Masjid Sultan Ahmed)

Satu lagi destinasi menarik untuk dijelajahi dengan keajaiban seni bina yang wujud sejak zaman Kerajaan Uthmaniyah.

Masjid Sultan Ahmed atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru (Blue Mosque) adalah monumen terkenal di Turki.

Ia dikenali sebagai Masjid Biru kerana bahagian dalam masjid dihiasi jubin berwarna biru berjalur putih yang bercorak tradisional dan dikelilingi kaligrafi ayat suci al-Quran.

Sambil menghayati karya seni di sekeliling masjid, pengunjung akan merasai ketenangan dan kedamaian ketika melangkah masuk ke dalamnya.

Ia berfungsi sepenuhnya dan dikunjungi jemaah tempatan untuk melaksanakan ibadat harian.

Masjid Biru bagaimanapun ditutup kepada pengunjung pelancongan ketika solat lima waktu dan dibuka semula selepas solat selesai.

MASJID Sultan Eyup.
MASJID Sultan Eyup.

4. Masjid Sultan Eyup

Jika ke Istanbul, jangan ketinggalan menunaikan solat Subuh di sebuah masjid yang terkenal di Turki sambil menikmati keindahan seni bina, reka bentuk, perincian yang cantik dan menarik di sini.

Terletak di daerah Eyup, Masjid Sultan Eyup dibina pada 1453 dan antara tempat wajib dikunjungi umat Islam yang ingin mendalami ilmu agama.

Masjid itu juga berfungsi sebagai lokasi pemeliharaan barang peribadi Rasulullah dan juga terdapat makam sahabat baginda, Abu Ayyub al-Ansari (juga dikenali sebagai Ebu Eyup el-Ensari dalam sebutan Turki) yang meninggal dunia ketika membawa panji Islam ketika Pemberontakan Arab ke kota berkenaan

5. Grand Mosque of Bursa

Suasana Bursa yang menggamit jiwa menjadikan ia destinasi pelancongan istimewa kerana di sinilah bermulanya sejarah Empayar Uthmaniyah.

Nilai sentimental dan sejarah masjid ini meletakkannya sebagai sebuah khazanah yang tidak ternilai.

Ia juga dikenali sebagai muzium kaligrafi kerana masjid agung itu dihiasi seni kaligrafi Islam yang cantik pada sekeliling dinding.

Terletak di tengah-tengah Empayar Uthmaniyah, Grand Mosque of Bursa yang berusia 600 tahun ini adalah ibu kota pertama empayar berkenaan dan menjadi antara tempat perlindungan umat Islam paling terkenal selepas Masjidil Haram di Makkah.

Struktur monumen suci ini dibina pemerintah keempat Empayar Uthmaniyah, Sultan Bayezid I untuk memperingati kejayaannya ketika Perang Salib Nicopolis.

Digambarkan sebagai 'Hagia Sophia of Bursa,' ia antara tarikan utama pelancong di Turki dan mesti dikunjungi.

6. Makam Sultan Uthmaniyyah Mehmed I

Hanya lima minit dari Grand Mosque of Bursa, makam ini sebahagian daripada Kompleks Uthmaniyyah abad ke-14 yang terdiri daripada makam, masjid dan sekolah teologi.

Makam tempat jasad Sultan Uthmaniyyah Mehmed I disemadikan pada 1421 itu dibina oleh putera sultan dan direka arkitek, Haci Ivas Pasha yang turut mereka Masjid Yesil yang juga dikenali sebagai Green Mosque.

Ia dihiasi jubin berwarna-warni di bahagian luar dan dalaman dengan pintu masuk yang mempunyai reka bentuk separa payung.

Selain itu, pengunjung juga dapat melihat kedudukan makam ini lebih tinggi daripada monumen lain di kompleks berkenaan dan dibina dengan struktur heksagon.

7. Muzium Mevlana

Pengaruh Maulana Rumi, seorang tokoh sufi yang juga satu nama besar di Turki jelas dapat dirasai di Muzium Mevlana.

Monumen ini berbentuk kubah berwarna hijau dan ia didirikan di atas makam penyair, juri, sarjana Islam dan pemimpin agama Parsi yang terkenal sejak abad ke-13 iaitu Maulana Jalaluddin Rumi.

Ia terletak di pusat bandar dan kompleks yang diasaskan oleh Maulana Rumi pada abad ke-14 adalah tarikan pelancongan utama di bandar berkenaan.

Pelancong dapat menikmati persembahan tarian sufi oleh sekumpulan darwis sufi dan ia dipersembahkan di muzium itu ketika musim panas.

TASIK Halil-ur Rahman.
TASIK Halil-ur Rahman.

8. Tasik Halil-ur Rahman

Terletak di halaman Masjid Halil-ur-Rahman, tasik ini dianggap istimewa kerana kaitannya dengan mukjizat yang dialami Nabi Ibrahim AS ketika dilemparkan ke dalam api akibat kemarahan Raja Nimrod, namun api berubah menjadi air dan balak berubah menjadi ikan.

Hari ini, ribuan ikan kap dikatakan berada di tasik berkenaan dan pelancong digalakkan memberi makan kepada ikan berkenaan.

Sementara itu, lokasi berkenaan antara beberapa destinasi popular yang disarankan kerajaan Turki untuk dikunjungi terutama bagi pengembara rohani.

Negara indah itu memiliki kisah sejarah menarik yang jelas dapat dilihat pada ukiran mercu tanda, reka bentuk seni bina dan keunikan budaya masyarakatnya.

Ia sedia untuk diterokai hasil usaha kerajaan negara itu yang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelancongan selamat untuk semua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 6:33 AM