Yusuff mahu penonton fahami kronologi kebangkitan empayar Uthmaniyah.
Yusuff mahu penonton fahami kronologi kebangkitan empayar Uthmaniyah.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kenali, perhati dan amatilah proses perjalanan bangsa terdahulu untuk dijadikan sempadan dan teladan dalam meneruskan kehidupan kita seharian. Umat Islam juga disarankan mengembara untuk mengenali dunia dan diri sendiri. Tamadun yang dibentuk manusia zaman dulu menjadikan siapa kita hari ini.

Jika pada musim pertama dokumentari The Truth: Islam In Al-Andalus membawa penonton ke Sepanyol untuk menyusuri kebangkitan dan kejatuhan Islam di sana untuk kita hayati dan pelajari, untuk musim kedua pula TV Alhijrah merakamkan sejarah kegemilangan Empayar Uthmaniyah di Anatolia iaitu nama lama Turki. Empayar Uthmaniyah berdiri teguh selama lebih daripada 600 tahun di negara itu.

Dokumentari 13 episod yang diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris akan menemui penonton di saluran televisyen itu, bermula 8 Oktober ini, jam 9 malam.

Penerbit dan pengarah dokumentari itu, Muhammad Yusuff Hassan berkata, musim kedua ini mereka meletakkan objektif utama untuk berkongsi dengan penonton dalam memahami kronologi kebangkitan empayar ulung yang dulunya menaungi benua Eropah, Asia dan Afrika.

“Ia bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat Islam untuk terus maju di masa hadapan dengan mengambil pengajaran daripada kelemahan yang wujud saat Islam memerintah.

“Program ini bukan saja bercerita mengenai kekuatan empayar Uthmaniyah tetapi turut menyelitkan aspek sosial, politik, ekonomi dan budaya masyarakat di sana khas untuk tontonan masyarakat Malaysia dan di seluruh dunia.

“Kami memulakan penggambaran Mac tahun ini yang mengambil masa 43 hari di seluruh negara Turki,” katanya.

Yusuff ditemui pada majlis pelancaran program itu di sebuah restoran di ibu kota. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah, Datuk Che Wan Alias Che Wan Abdullah, Pengurus Bestour & Travel (M) Sdn Bhd, Syed Farieh Yahaya dan penerbit eksekutif program itu, Jasmi Shashir.

Antara kandungan program 13 episod itu menyiarkan pelbagai topik menarik antaranya Osman Ghazi, Sufi Master: Rumi, Mehmed The Conquest, Siege and Weapons, Ottoman Arts and Culture dan Suleiman The Magnificent.

Kekalkan Zoraya

Masih mengekalkan pengacara asal, Zoraya Vadil­lo Abdul Rahman, 23, untuk penerbitan dokumentari musim kedua ini, dia berpeluang menemu ramah beberapa tokoh sejarawan terkenal Turki seperti Profesor Bilal Kuspinar dan Menteri Agama Turki, Profesor Dr Mehmet Gormez.

Jelas Yusuff lagi, Empayar Uthmaniyah berjaya menyatupadukan hati masyarakat Rom, Balkan, Arab, Parsi dan Turki bermula dari pemerintahan Sultan Uthman Ghazi sehingga berakhirnya kegemilangan pemerintahan Sultan Mehmed keenam.

“Pelbagai cabaran dihadapi pemerintah pada zaman itu demi memastikan Empayar Islam Uthmaniyah terus mencapai kejayaan demi kejayaan,” katanya.

Program dokumentari yang menelan belanja kira-kira RM200,000 ini adalah hasil kolaborasi bersama Bestour & Travel (M) Sdn Bhd selain mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kerajaan Turki dan syarikat penerbangan bertaraf dunia, Etihad Airways.

Zoraya yang berdarah kacukan Melayu dan Sepanyol, pada musim kali ini muncul dengan penampilan lebih menarik namun sejak musim pertama dia bersiaran, karismanya sebagai pengacara tidak perlu disangkalkan lagi. Penerbit yang turut mengambil berat penampilan Zoraya mendapatkan tajaan pakaian daripada butik Muslimah untuk diperagakan sepanjang 13 episod dia bersiaran.

Dia yang dilahirkan di Granada, Sepanyol, gemar mengembara dan tawaran untuk mengacara dokumentari itu diibarat bagai orang mengantuk disorongkan bantal.

“Tawaran mengacara The Truth: Islam In Anatolia adalah pengalaman amat berharga kepada saya di mana kali ini saya lebih bersedia dan turut membuat kajian sendiri agar penyampaian saya dalam dokumentari itu penuh dengan pengertian dan penhayatan.

“Program ini batu loncatan buat saya dengan belajar daripada pengalaman ketika mengacarakan dokumentari musim pertama. Kali ini saya cuba mengurangkan kesalahan yang mungkin dilakukan sebelum ini,” katanya.

Kukuhkan iman

Menurut Zoraya lagi, sebagai seorang Muslim, dia berasakan tanggungjawabnya untuknya mempelajari dan memahami sejarah kebangkitan serta pemerintahan Islam yang sangat dikagumi masyarakat dunia suatu ketika dulu.

“Sebagai seorang Muslim, adalah penting untuk kita mengetahui sejarah serta latar belakang agama Islam serta sejarah pemerintahan Islam terutama Empayar Uthmaniyah yang berjaya menyatukan hati masyarakat Rom, Balkan, Arab, Parsi dan Turki.

“Secara tidak langsung juga ia menguatkan lagi keimanan, keyakinan dan kepercayaan saya terhadap agama Allah SWT yang suci ini,” katanya.

Menerusi program ini penonton berpeluang memenangi hadiah utama pakej percutian ke Turki selama 12 hari 9 malam dengan menjawab soalan terkumpul sepanjang siri ini bersiaran untuk 13 episod.

Hadiah pakej percutian itu disumbangkan oleh Bestour & Travel (M) Sdn Bhd yang me­nyediakan perkhidmatan seperti servis tempahan hotel, insuran melancong, pakej pelancongan dalam dan luar negara serta pakej percutian Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:00 AM