Fadly Samsudin

ARAK adalah minuman yang merosakkan kesihatan tubuh, akal fikiran serta meruntuhkan institusi rumah tangga, masyarakat dan negara.

Sebahagian senarai kerosakan yang dinyatakan itu jelas membuktikan arak adalah ‘ibu’ kepada segala kejahatan.

Memang terbukti wujud hubungan rapat pelbagai penyakit, kecelakaan di jalan raya, rumah tangga berantakan dan kes pemerkosaan berpunca daripada pengambilan arak.

Kesan toksik bahan alkohol boleh mempengaruhi sistem saraf manusia menyebabkan berlaku gangguan perilaku seperti hilang rasa malu, gagal mengawal diri, hilang ingatan dan berada dalam khayalan.

Selain itu, Dr Adi Hashman di dalam bukunya, Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit turut menyelitkan kesan minum minuman yang memabukkan itu.

Menurutnya, peminum alkohol kronik membawa kesan sampingan berbahaya kepada tubuh selain turut mencederakan sistem hormon mengakibatkan keadaan hipoglisemia simptom paras gula dalam darah rendah) dan merosakkan organ penghadaman termasuk hati.

Malangnya, aktiviti hiburan sambil meneguk ‘air kencing syaitan’ itu sudah menyerang ramai anak muda. Bayangkan, bagaimana nasib generasi kita pada masa akan datang?

Bagi musuh Islam, untuk menghancurkan generasi muda Islam tidak perlu bersusah payah. Cukup bagi mereka meracuni golongan itu dengan menjauhkan jiwa golongan muda daripada agama.

Sebab itu, ramai terpengaruh untuk menjadi golongan mengamalkan cara hidup moden yang bersalahan dengan syariat.

Bagi mereka segala yang datang dari Barat bangga untuk ditiru, ditelan mentah-mentah serta diamalkan dalam kehidupan. Penyakit berkaitan arak bukan baru menyerang umat zaman ini. Ia sudah dihadapi sejak masyarakat zaman Rasulullah.

Orang Arab jahiliah sangat ‘kemaruk’ dengan arak. Jika mabuk, mereka turut mandi dengan arak. Ketika itu, larangan sepenuhnya meminum arak belum dilaksanakan walaupun Rasulullah mengetahui ia banyak memberi kemudaratan.

Larangan meminum arak dilakukan secara berperingkat kerana sekiranya diharamkan sekali gus, sudah tentu Islam sukar diterima orang Arab ketika itu.

Bahkan, arak sudah biasa serta menjadi sebahagian adat dan budaya mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Ayat itu menjelaskan, perbezaan antara baik dan buruk arak selain dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.

Bagaimanapun, perintah larangan meminum arak secara mutlak dilaksanakan selepas turunnya ayat 9-10 dari Surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya syaitan itu hanya bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Itu antara peringkat yang berlaku sebelum arak diharamkan sehingga hari ini. Para ulama fiqh sepakat, arak diharamkan disebabkan ia najis dan memabukkan.

Dalam Islam, ia menjadi satu jenayah dan jika disabitkan kesalahan, pengamalnya boleh dikenakan hukuman sebatan.

Di negara ini, ketika pihak berkuasa agama melakukan serbuan di pusat hiburan mendapati ramai individu Muslim tanpa segan silu meminum arak, malah berbangga dapat menjalani kehidupan seperti itu.

Mungkin alasan yang diberikan bertujuan untuk mencari keseronokan, melepaskan tekanan dan kekusutan. Namun mereka lupa, nikmat atau penyelesaian yang dihajati itu hanya bersifat seketika.

Ketegasan hukum mengharamkan arak itu jelas kerana ia memberi banyak kesan tidak baik buat manusia.

Daripada Annas bin Malik, beliau berkata, Rasulullah melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak iaitu yang memerahnya, minta diperahkan, meminumnya, membawanya dan minta dibawa kepadanya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya dan minta dibelikan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibn Majah).

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 1:59 AM