GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Nurkhamimi Zainuddin

ALLAH SWT memberi peringatan serta menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya kepada mereka yang melakukan kezaliman, malah orang beriman juga tidak terlepas daripadanya.

Jenayah dan maksiat menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Kita dituntut supaya menjauhinya.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Pada hari ini, tidak dinafikan kemaksiatan dan kemungkaran semakin bermaharajalela seperti perjudian, pelacuran dan perzinaan.

Tidak hairanlah kenapa Allah SWT menimpakan kepada penduduk negeri berkenaan bencana, malapetaka dan wabak.

Contohnya, penyakit Aids yang ditemui pada penghujung 1980 yang sehingga kini ia masih belum ada penawarnya.

Penyakit itu adalah bukti azab dan kemurkaan Allah SWT terhadap aktiviti zina dan pelacuran yang dilakukan manusia selama ini.

Kebanyakan jenayah yang berlaku pada hari ini seperti mencuri, meragut, rogol dan bunuh berpunca daripada pengambilan dadah.

Kesan penggunaan dadah adalah sama dengan kesan meminum arak kerana ia boleh memabukkan serta menghilangkan kewarasan akal.

Hal itu bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap perkara yang memabukkan itu arak dan setiap arak itu haram. Sesiapa yang minum arak di dunia dan mati tanpa sempat bertaubat, dia tidak akan dapat meminumnya di syurga.”

Statistik dari Januari hingga Disember 2018 menunjukkan, jumlah umat Islam yang terjebak dengan gejala penagihan dadah berjumlah 20,956 orang atau 80.1 peratus daripada jumlah keseluruhannya iaitu 25,922 orang.

Oleh itu, usaha membanteras dan memerangi dadah serta jenayah yang seumpamanya adalah perbuatan mulia yang dituntut Islam.

Tanggungjawab itu bukan hanya terletak di bahu pihak berwajib, bahkan membabitkan semua lapisan masyarakat.

Umpama pepatah Melayu, ‘Yang buta meniup tepung, yang pekak membakar meriam, yang capik menghalau ayam, yang kurap menyiang buluh’, menggambarkan kesediaan setiap anggota masyarakat untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing ke arah memerangi dadah secara habis-habisan.

Marilah kita bekerjasama memerangi kemungkaran dan menutup segala ruang gejalanya.

Ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dan memberi perhatian kepada anak supaya hidup mereka tidak terjebak dengan masalah dadah.

Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya mempunyai rasa tanggungjawab serta sentiasa berkongsi pandangan dan masalah dengan mereka.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolongmenolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Jika kita langsung tidak ambil peduli dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat bala bencana.

Kita perlu ingat dan sedar apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapakah mangsanya.

Apakah kita sanggup menghadapi bala yang boleh menimpa negara kita? Tepuk dada tanya iman.

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 11:00 AM