RAMAI individu tidak berdosa menjadi korban pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini. FOTO Bernama
RAMAI individu tidak berdosa menjadi korban pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini. FOTO Bernama
Oleh Mohd Shahrizal Nasir


BEBERAPA hari lalu, Ketua Polis Negara dilaporkan menyarankan supaya hukuman penjara mandatori perlu dimasukkan dalam pindaan undang-undang menangani isu pemandu mabuk.

Ini disebabkan kes membabitkan kemalangan maut semakin menjadi-jadi dengan puncanya disebabkan pemandu mabuk.

Manusia yang waras pasti menolak sebarang bentuk perkara fasad.

Fasad bermaksud kemungkaran yang mendatangkan pelbagai jenis kerosakan dalam kehidupan.

Arak adalah punca berlaku banyak kerosakan yang menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat.

Akal gagal berfungsi dengan baik hanya disebabkan manusia meminum arak.

Orang yang mabuk disebabkan arak boleh bertindak ganas memukul orang lain, malah boleh membunuhnya.

Orang yang mabuk juga biasanya akan mengeluarkan kata-kata kesat disebabkan akal tidak lagi berupaya mengawal tindakannya.

Oleh itu, orang yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk bukan sahaja membahayakan dirinya, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Ini antara bukti jelas yang mewajarkan ketetapan Islam melarang umatnya meminum arak dalam apa juga bentuk dan jenama.

Allah SWT mengetahui bahawa manusia sentiasa inginkan keseronokan yang didorong nafsu mereka sendiri.

Sebab itu dapat diperhatikan bahawa perbuatan minum arak menjadi kebiasaan manusia sebelum kedatangan Islam.

Disebabkan kebiasaan terbabit mengundang banyak kemudaratan dalam kehidupan manusia maka Allah melarang manusia meminum arak.

Pengharaman arak dijelaskan Allah dalam al-Quran secara berperingkat.

Ini menunjukkan bahawa perbuatan minum arak menjadi tabiat manusia dan ia sukar untuk ditinggalkan.

Allah menjelaskan bahawa perbuatan minum arak mengundang mudarat lebih besar daripada manfaat melayan kehendak nafsu untuk meminumnya.

Firman Allah bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..." (Surah al-Baqarah, ayat 219).

Seterusnya Allah menjelaskan perihal minum arak menerusi firman-Nya: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan..." (Surah an-Nisa', ayat 43).

Larangan supaya orang yang mabuk daripada menunaikan sembahyang secara jelas membuktikan bahawa perkara fasad tidak boleh dihampirkan dengan amalan soleh.

Perkara ini menggambarkan bahawa larangan minum arak pada awalnya hanya melibatkan ibadah solat.

Akhirnya larangan meminum arak dikuatkuasakan dengan turunnya ayat al-Quran yang menjelaskan pengharamannya.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Ma'idah, ayat 90).

Maka setiap manusia mesti menjaga akal dengan baik supaya ia dapat sentiasa berfungsi dalam mengurus kehidupan.

Arak diharamkan oleh Allah kerana ia memabukkan dan hukum ini juga terpakai untuk apa juga bentuk makanan dan minuman yang memabukkan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua yang memabukkan adalah haram." (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah.

Pengharaman arak bukan sahaja mesti dipatuhi orang Islam, tetapi juga membabitkan seluruh manusia.

Justeru, sewajarnya perbuatan meminum arak dihindari setiap warga Malaysia apatah lagi sekiranya ingin memandu kenderaaan.

Banyak bukti menunjukkan arak adalah antara punca utama berlaku kemalangan jalan raya.

Perkara yang menyedihkan ialah apabila insan tidak berdosa yang tidak meminum arak terkorban kerana perbuatan pemabuk yang durjana.

Usah berkira-kira menolak arak dan minuman yang memabukkan.

Ketetapan yang dibuat oleh Islam pasti membawa kesejahteraan untuk kehidupan yang baik.

Bagi umat Islam, tolak arak dan jangan sesekali mendekatinya.

Pengharaman arak membawa hikmah besar dalam kehidupan kerana ia boleh memelihara nyawa orang lain yang tidak berdosa.

Kerajaan perlu lebih tegas menangani perbuatan tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya yang memandu dalam keadaan membahayakan orang lain kerana minum arak.

Arak adalah senjata syaitan untuk merosakkan manusia.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?" (Surah al-Ma'idah, ayat 91).

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:00 AM