SAKE ialah sejenis arak yang lazim dalam kalangan bangsa Jepun.
SAKE ialah sejenis arak yang lazim dalam kalangan bangsa Jepun.
Qira’ah Fatwa

SAKE ialah sejenis arak yang lazim dalam kalangan bangsa Jepun. Ia diperbuat daripada hasil penapaian kanji beras yang digilap untuk mengeluarkan dedak beras. Sake dihasilkan melalui proses pembiran seakan bir di mana kanji ditukarkan kepada gula sebelum ia ditukarkan kepada alkohol.

Justeru, kami cenderung mengatakan ia adalah sejenis arak dan haram menggunakannya. Kita tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada untuk tujuan makanan, minuman, perubatan kosmetik, minyak wangi dan lain-lain.

Allah SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah semuanya kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Ma'idah, ayat 90)

Sake tidak seperti arak jenis lain sedang alkohol (etanol) terhasil selepas proses penapaian yang hadir secara semula jadi dalam buah, biasanya buah anggur.

Arak adalah semua perkara yang memabukkan dan hukum pengharamannya sudah disepakati kalangan fuqaha'. Ulama al-Syafieyyah memandang arak adalah najis kerana ia termasuk dalam jenis bahan cecair yang memabukkan.

Berkata Imam al-Nawawi: "Adapun arak itu adalah najis berdasarkan firman Allah SWT: 'Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semuanya kotor (keji) daripada perbuatan syaitan'. Dan kerana ia (arak) adalah sesuatu yang diharamkan untuk mengambilnya tanpa darurat, maka kedudukannya adalah najis sama seperti hukum darah." (Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab)

Sheikh Wahbah al-Zuhaili berkata: "Hukum bagi (arak) ialah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana ia (arak) adalah haram secara zatnya. Dan tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada untuk tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) bagi kita daripada perkara yang diharamkan ke atas kita." (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu)

Disebut di dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah: "Jumhur fuqaha' mengatakan haram untuk mengambil manfaat daripada arak bagi tujuan perubatan dan sebarang bentuk manfaat yang lain, seperti menggunakannya dalam minyak wangi atau makanan atau tanah liat." (Al-Mausu'ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah)

Justeru, berdasarkan perbincangan di atas kami cenderung mengatakan hukum bagi arak adalah najis dan haram menggunakannya.

Sumber Al Kafi li al Fatawi Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 8:00 AM