NUR Adila menyumbang bakti kepada masyarakat sebagai pakar pemakanan.
NUR Adila menyumbang bakti kepada masyarakat sebagai pakar pemakanan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PESANAN ibu tersayang supaya belajar hingga berjaya menjadi pakar pemakanan dan menyumbang bakti kepada masyarakat menjadi azimat kepada Pakar Diet International Medical University (IMU), Nur Adila Samingan, 41.

Kata-kata itu menjadi pembakar semangat buat anak bongsu daripada empat beradik ini untuk terus terbang tinggi meskipun diuji dengan pemergian ibu tersayang seminggu sebelum mendaftar sebagai pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menyorot kisah silamnya, Nur Adila berkata, bidang dietetik bukan pilihan utama untuk melanjutkan pengajian selepas matrikulasi.

Ditambah lagi, pengetahuannya mengenai bidang berkenaan juga adalah terhad kerana kerana tiada pendedahan sebelumnya.

Namun, disebabkan ia masih ada kaitan dengan bidang perubatan, dia menerima tawaran itu dengan hati terbuka selepas mendapat sokongan padu daripada ayah dan arwah ibu.

"Arwah mak begitu positif, dia mahu saya belajar bersungguh-sungguh untuk menggunakan ilmu yang diperoleh dan menabur bakti kepada masyarakat.

"Walaupun sepanjang tempoh pengajian arwah mak tiada, tetapi saya mengotakan janji sehingga meraih anugerah Hadiah Buku Universiti iaitu penghargaan bagi pelajar terbaik setiap bidang.

NUR Adila mengingatkan pesakit diabetes perlu cakna dengan pemakanan dan ubat-ubatan yang diambil.
NUR Adila mengingatkan pesakit diabetes perlu cakna dengan pemakanan dan ubat-ubatan yang diambil.

"Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi, apa yang saya kecapi hari ini adalah berkat doa dan sokongan ibu bapa tersayang," katanya.

Nur Adila berkata, usai tamat pengajian, dia terus menyertai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai dietitian pada 2005 hingga 2013.

Kata anak jati Subang Jaya, Selangor itu, dalam tempoh berkenaan dia banyak belajar aspek kerja berkumpulan dari peringkat pakar perunding, doktor, jururawat hingga pesakit.

Subjek terapi diet yang dipelajari ketika di universiti turut membolehkannya mengetahui lebih lanjut keperluan diet setiap pesakit berdasarkan penyakit yang mereka hidapi.

"Keperluan makanan setiap pesakit tidak sama kerana setiap kes terutama membabitkan pesakit diabetes, darah tinggi atau kegagalan buah pinggang misalnya, perlu dinilai terlebih dahulu.

"Kalori, nutrien semua itu perlu diambil kira dan jenis atau cara masakan juga berbeza.

"Semua itu hanya boleh difahami jika ada ilmu mengenai sains pemakanan," katanya.

Tidak terhenti di situ sahaja, Nur Adila kemudian mengambil 'angin baharu' dengan berhijrah ke Hospital Prince Mohamed Abdul Aziz National Guard, Madinah, Arab Saudi selama tujuh tahun antara 2013 hingga 2020.

Ketika di sana, selain tugas sebagai dietitian klinikal, beliau turut berpeluang menjadi tenaga pengajar kepada pelajar tahun akhir bidang pemakanan klinikal yang ketika itu masih baharu di negara berkenaan.

Kata Nur Adila, dia antara tenaga kepakaran yang terawal di hospital berkenaan pada awal pembukaannya.

"Sepanjang tempoh tujuh tahun di bumi Madinah, saya menimba banyak pengalaman berharga kerana pemakanan masyarakat di sana jauh berbeza dengan rakyat kita.

"Semua itu menjadi panduan berguna untuk kerjaya hari ini," katanya.

NUR Adila menasihatkan orang ramai elak ambil makanan berlebihan pada musim perayaan.
NUR Adila menasihatkan orang ramai elak ambil makanan berlebihan pada musim perayaan.

Dalam pada itu, Nur Adila berkata, penghidap diabetes perlu sentiasa menjaga pemakanan terutama sepanjang musim perayaan ini.

Ini kerana, berdasarkan pengalamannya, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital sepanjang musim perayaan kerana tahap gula naik mendadak, meningkat berbanding hari biasa.

Katanya, ramai pesakit diabetes lupa menjaga pemakanan mereka, terlupa membawa pulang ubat ke kampung dan tidak mengambil ubat atau insulin mengikut aturan.

"Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana semua sedia maklum keadaan kesesakan hospital ketika musim perayaan.

"Jadi, daripada terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan hospital, anda (pesakit diabetes) perlu cakna dengan pemakanan dan ubat-ubatan yang diambil.

"Memang diakui sajian juadah sepanjang musim perayaan ini semuanya enak-enak belaka namun kita sendiri perlu berwaspada, makan jangan berlebihan dan patuhi nasihat diberikan," katanya.

Sementara itu, Nur Adila berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil makanan berlebihan pada musim hari raya bagi mengelakkan perut daripada 'terkejut'.

Kata beliau, selepas sebulan berpuasa, perut tidak selesa jika tiba-tiba makan berlebihan.

Kuantiti hidangan yang diambil juga perlu dikawal dan elakkan makanan yang mengandungi kandungan gula atau garam tinggi.

"Selain itu, jangan lupa mengambil cecair secukupnya dan sebaiknya air kosong tanpa gula atau jus buah-buahan tanpa gula.

"Sayur-sayuran dan buah-buahan juga perlu diambil kerana ia mengandungi serat yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 7:01 AM