HIDANGAN bersantan perlu dikurangkan untuk pesakit jantung dan darah tinggi.
HIDANGAN bersantan perlu dikurangkan untuk pesakit jantung dan darah tinggi.
Siti Zarinah Sahib


Pelbagai hidangan raya seperti lemang, ketupat, rendang dan kuah lodeh tentunya sukar dielakkan sepanjang musim perayaan ini terutama pada hujung minggu apabila orang ramai masih mengadakan rumah terbuka. Dengan pelbagai menu enak sudah pasti mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, masalah jantung, tekanan darah tinggi dan penyempitan pembuluh darah perlu mengawal pengambilan hidangan mengandungi karbohirat, lemak dan gula yang tinggi.

Golongan ini sepatutnya faham mengenai keperluan tubuh mereka, apa yang boleh dimakan, dikurangkan atau tidak harus diambil. Namun apa yang berlaku sebaliknya kerana ingin ‘melayan’ nafsu makan, penghidap penyakit tiga serangkai tidak mengendahkan larangan doktor disebabkan stigma ‘tidak mengapa sudah ada penyakit atau nanti lepas raya boleh ‘pantang’ semula’.

Menurut Penolong Profesor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan juga Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar An-Nur Dr Maisara Yusra, kefahaman untuk kekal sihat sepanjang masa perlu ada dalam diri setiap pesakit dan bukan pada musim tertentu saaja.

Namun kebiasaannya pesakit tidak dapat mengawal nafsu makan pada hari raya disebabkan kepelbagaian menu yang serba menarik perhatian namun tidak menyihatkan kerana kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi.

“Rata-rata berasakan tubuh sihat dan tidak berhadapan masalah. Sebab itu mereka menikmati segala juadah tanpa memikirkan kesannya. Apa yang berlaku paras gula dan kolesterol meningkat yang membuatkan penyakit menjadi lebih teruk,” ulasnya.

Secara amnya apa saja makanan yang diambil secara berlebihan akan menjejaskan kesihatan. Pada musim perayaan ini, memang sukar untuk kita lari daripada sajian yang kaya lemak, gula dan garam yang seolah-olah menjadi menu ‘wajib’. Contohnya lemang dan ketupat palas yang diperbuat daripada beras pulut mengandungi kanji dan gula yang tinggi. Dimasak menggunakan santan, kandungan lemak tepunya juga tinggi.

“Satu cawan santan ada 40 gram lemak. Oleh itu sekiranya individu makan makanan mengandungi santan seperti masak lodeh atau lemang dalam kuantiti yang banyak, ia akan menyebabkan kandungan lipoprotein meningkat dan mengundang masalah kesihatan pada masa akan datang,” katanya.

DR Maisara.
DR Maisara.

Didik selera

Bagi pesakit yang didiagnosis dengan masalah jantung, pernah mendapat angina atau serangan jantung diingatkan mengawal ketat pemakanan mereka. Malah individu yang mempunyai salasilah keluarga mempunyai sakit jantung, sejarah kencing manis, darah tinggi, kadar kolesterol tinggi dan strok juga perlu lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan mereka.

“Kumpulan ini dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan segera atau kaya minyak tepu seperti minyak sawit. Gantikan dengan minyak zaitun atau kacang. Gunakan produk makanan kurang atau tiada lemak.

“Pelbagai atau tingkatkan pengambilan sayur-sayuran yang belum dimasak, kurangkan juga pengambilan karbohidrat mengandungi indeks glisemik yang tinggi serta memperbanyakkan makanan bersoya seperti kacang soya dan tauhu. Ini kerana karbohidrat berlebihan ditukar kepada lemak di dalam badan jika senaman tidak diamalkan. Seseorang yang memiliki berat badan berlebihan, sudah pasti lemak dalam tubuh bertambah,” katanya.

Pesakit perlu mempunyai kesedaran mengenai apa yang perlu dimakan. Sangat penting merancang menu yang perlu dinikmati terutama mengunjungi ke rumah tetamu. Diri sendiri perlu bijak mengawal dan mendidik nafsu makan.

“Ini bukan bermakna mereka tidak boleh makan langsung, tetapi perlu membuat pilihan. Cara paling mudah adalah makan hidangan sedap saja. Biasanya saya mencadangkan pesakit supaya meminta ahli keluarga makan dahulu sekiranya enak barulah mereka boleh merasainya. Ini penting bagi mengelak mereka makan semua hidangan,” katanya.

Katanya, lemak dan karbohidrat berlebihan juga membawa bahaya terutama kepada pesakit kencing manis kerana ia boleh menyebabkan hiperglisemia iaitu keadaan apabila badan mempunyai lebihan glukosa dalam aliran darah. Bagi yang mempunyai penyakit berkaitan jantung, darah tinggi dan diabetes, pengawalan jenis makanan yang diambil amat penting.

Pesakit kencing manis dinasihatkan tidak mengambil makanan tinggi gula seperti kuih raya dan minuman berkarbonat manakala bagi yang ada tekanan darah tinggi pula elakkan makanan ringan seperti kerepek, kuah rendang atau berlemak. Ini kerana kandungan garam dan bahan perasa di dalam masakan ini sangat tinggi dan boleh menjejaskan kesihatan.

Menurut Dr Maisara, berdasarkan pengalamannya dia mendapati tahap kesedaran pesakit untuk pulih sangat rendah. Biasanya mereka tidak dimotivasikan dengan kisah kejayaan ahli keluarga yang berjaya menguruskan kesihatan dan mampu hidup lebih lama. Sebaliknya mereka dikelilingi ahli keluarga dan rakan yang meninggal dunia disebabkan kencing manis, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.

HIDANGAN bersantan perlu dikurangkan untuk pesakit jantung dan darah tinggi.
HIDANGAN bersantan perlu dikurangkan untuk pesakit jantung dan darah tinggi.

“Sebab itu ramai yang tidak kisah dan rela menunggu hari pengakhiran. Ada juga berasakan apabila gula dalam keadaan terkawal atau kolesterol dalam keadaan baik, mereka boleh makan apa sahaja. Sebenarnya penyakit jantung, diabetes atau darah tinggi memang sukar diubati. Ia hanya mampu dikawal menerusi mengambil ubat-ubatan dan rawatan di hospital,” jelasnya.

Mereka yang memiliki berat badan berlebihan juga sepatutnya berjaga-jaga kerana ia boleh mengundang masalah kesihatan yang lain terutama sakit jantung. Begitu juga sekiranya dalam keluarga ada sejarah menghidap penyakit ini seharusnya lebih berhati-hati dengan makanan diambil kerana berisiko mengalami masalah yang sama.

“Individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi perlu faham mereka juga berkemungkinan menghidap penyakit ini cuma cepat atau lambat sahaja. Apa yang menjarakkannya bergantung kepada cara mereka mengawal pemakanan,” katanya.

Tip kawal kesihatan

1. Pemilihan makanan seimbang mengikut piramid makanan langkah yang lebih tepat untuk mengelak daripada mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.

2. Minum air kosong lebih dua liter sehari. Elakkan air manis terutama berkarbonat.

3. Apabila seseorang itu sendawa, ia memberi isyarat bahawa perutnya sudah cukup dengan isi yang diperlukan oleh tubuh untuk diproses dan ditukar menjadi tenaga. Tetapi sekiranya perut terus diisi dengan makanan sehingga berlebihan, ia memberi beban kepada ‘kilang’ perut untuk mencerna selepas berpuasa selama sebulan. Di samping itu, konsep yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW iaitu makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang juga patut diamalkan dalam menghadiri majlis jamuan rumah terbuka dan seterusnya mengekalkan amalan itu walaupun bukan lagi berada dalam musim perayaan.

4. Jika memasak buang semua lemak dan kulit pada ayam dan daging.

5. Kurangkan garam, minyak dan gula dalam masakan.

6. Makan ikan dua kali seminggu.

7. Tukar kaedah menggoreng kepada kukus dan rebus.

8. Kurangkan merokok. Lebih baik jika dapat berhenti.

9. Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 11:54 AM