Azah Hanim Ahmad
Azah Hanim Ahmad
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sementara Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Pengerusi Kada Muhammad Husain ketika memaklumkan perkara itu berkata, pelantikan itu juga bermakna Azah Hanim akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengurus besar.

"Ia seperti yang termaktub di bawah Seksyen 13 (1), Akta Kada 1972 (Akta 69) yang menyatakan bahawa Timbalan Pengerusi ialah Pengurus Besar Kada dan pelantikan ini berkuat kuasa pada 13 Mei," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu atas sokongan penuh yang diberikan kepadanya untuk terus menjalankan reformasi dan penambahbaikan ke atas mutu perkhidmatan Kada kepada petani di Kelantan.

"Saya berharap dengan pelantikan ini, Kada akan terus maju ke hadapan dan menjadi agensi utama yang membela dan memperjuangkan nasib petani, selaras dengan matlamat kerajaan terkini yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, empat pegawai kanan Kada termasuk pengurus besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka dipercayai terbabit meminta dan menerima wang rasuah daripada beberapa individu atau syarikat selain membuat tuntutan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 3:41 PM