BABITKAN perubahan emosi, tingkah laku, pemikiran hingga ganggu kehidupan seharian.
BABITKAN perubahan emosi, tingkah laku, pemikiran hingga ganggu kehidupan seharian.
Hazira Ahmad Zaidi


Masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di Malaysia semakin meningkat dan ia tidak hanya membabitkan golongan muda malah turut dihidapi warga emas.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Asrenee Ab Razak berkata, lazimnya masalah gangguan kesihatan mental yang dihidapi oleh warga emas adalah nyanyuk, kemurungan, keresahan serta masalah tidur dan rawatannya pula adalah berdasarkan jenis masalah dialami.

Kata Dr Asrenee, ramai yang beranggapan kesihatan mental adalah sakit mental dan kefahaman itu sebenarnya salah dan masyarakat perlu mengubah stigma mereka terhadap kesihatan mental.

"Kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan diri seperti kesihatan fizikal, mental, spiritual dan sosial.

"Bagaimanapun, ia membabitkan perubahan daripada segi emosi, tingkah laku, pemikiran yang akan mengganggu kehidupan seharian.

"Contoh, semua orang mengalami anxiety atau keresahan pada tahap yang normal dan ini adalah lumrah. Namun, sekiranya keresahan ini meningkat melebihi tahap biasa sehingga mengganggu fungsi kehidupan seharian secara menyeluruh, ia boleh dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental," katanya.

Menurut Dr Asrenee, gejala masalah mental warga emas berbeza dengan golongan muda.

Bagi warga emas, gejala kemurungan biasanya datang bersama sakit-sakit badan, tidak larat, tidak bertenaga, sakit kepala, resah gelisah dan apabila diperiksa ia memenuhi kriteria kemurungan.

DR Asrenee
DR Asrenee

"Kebiasaannya, rawatan yang akan diberikan adalah berpandu kepada jenis gangguan terhadap kesihatan pesakit. Contoh, ubat antikemurungan bagi yang mengalami masalah kemurungan, ubat antikeresahan bagi masalah keresahan dan ubat untuk melambatkan proses nyanyuk pada peringkat awal.

"Selain ubat-ubatan, terdapat juga rawatan secara psikoterapi sokongan iaitu terapi kaunseling kepada pesakit yang kemurungan dan rawatan rangsangan fungsi pemikiran kepada pesakit demensia," katanya.

Dr Asrenee berkata, di Klinik Memori Hospital USM, Kota Bharu pesakit akan diperiksa bagi menentukan sama ada mereka mengalami masalah ingatan dan fungsi pemikiran selain pemeriksaan fizikal serta status kesihatan mental sebelum diberikan rawatan lanjut.

"Melalui program yang diadakan, ia diharap dapat membantu meningkatkan kemahiran serta pengetahuan warga emas seterusnya memberi bantuan awal psikologi kepada diri mereka sendiri atau kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 6:20 AM