Sebahagian daripada tujuh individu termasuk seorang wanita dihadap ke Mahkamah Majistret. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Sebahagian daripada tujuh individu termasuk seorang wanita dihadap ke Mahkamah Majistret. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tujuh individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengambil bahagian dalam perlumbaan motosikal dan memandu secara melulu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, tiga tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 24, dan Muhammad Sharman Mohd Salim, 26, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menunggang motosikal dengan cara melulu dan mendatangkan bahaya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada 4.30 pagi 17 Julai 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor K Joshua Peter, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.

Mahkamah membenarkan Muhammad Shazwan Hafiz diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 26 Jun sebagai sebutan semula kes.

Manakala, Muhammad Sharman pula dibenarkan diikat dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Julai ini.

Sementara itu, Mohammad Nazri Mohd Zamzaimin, 26, Muhammad Fakrul Idham Saridan, 20, Mohammad Zulhelmy Zulkhairi, 28, Shamin Izlin Shah Shahrom Shah, 27 dan Muhammad Hilmi Hakim Md Khalidi, 21, mengaku bersalah secara berasingan terhadap pertuduhan mengambil bahagian dalam perlumbaan motosikal yang tidak diluluskan.

Mengikut pertuduhan, mereka terdiri penunggang motosikal, pembonceng dan pemandu kereta didakwa melakukan kesalahan di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan dibuat berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, Majistret Mohamad Azlan Basri dan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Prosiding dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil dan Pegawai Pendakwa Inspektor K Joshua Peter.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 81(3) APJ 1987.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Mohammad Nazri, Muhammad Fakrul Idham dan Mohammad Zulhelmy atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Shamin Izlin pula didenda RM2,000 dan penjara selama dua hari atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Manakala, Muhammad Hilmi Hakim didenda RM2,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Media sebelum ini melaporkan kemalangan berkenaan yang meragut tiga nyawa di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 2022.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram dan penunggang hilang kawalan sebelum berlanggar antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 3:51 PM