PERBINCANGAN bersama media mengenai rawatan kesuburan yang ada di Malaysia.
PERBINCANGAN bersama media mengenai rawatan kesuburan yang ada di Malaysia.
MEMILIKI zuriat impian semua pasangan suami isteri.
MEMILIKI zuriat impian semua pasangan suami isteri.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Pada zaman penuh mencabar ini, semakin ramai wanita memilih mengutamakan kerjaya bagi mengukuhkan ekonomi masing-masing sebelum memikirkan hal berkaitan rumah tangga ataupun membina keluarga.

Memandangkan wang memainkan peranan besar dalam menentukan kestabilan hidup terutama bagi yang tinggal di bandar, semakin ramai wanita memilih menamatkan zaman bujang lebih lewat sehingga mereka berasa lebih terjamin dari segi kewangan.

Namun, seiring dengan keputusan ramai wanita berkahwin pada usia lewat, tahap kesuburan serta peluang mendapatkan anak juga menurun berdasarkan faktor usia terutama mereka yang melebihi 35 tahun.

Jika dulu ramai mengambil keputusan berkahwin ketika masih berusia awal 20-an, namun semakin ramai menundanya ke usia lewat 20-an, malah kini perkahwinan pasangan pada usia 30-an bukan sesuatu yang menghairankan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik dari 2010 hingga 2015 menunjukkan kadar kesuburan pasangan di Malaysia semakin merosot sehingga 1.97 kanak-kanak untuk setiap isi rumah.

Angka terbabit dikatakan jatuh merudum ke 1.90 kanak-kanak untuk setiap isi rumah menjelang 2020 dan berterusan sehingga 1.72 pada 2050.

Peningkatan kes ketidaksuburan secara global kini menyaksikan semakin ramai pasangan suami isteri mendapatkan rawatan kesuburan, malah di negara ini sendiri, statistik menunjukkan kira-kira satu daripada enam pasangan mengalami masalah kesuburan.

Pengarah Perubatan KL Fertility Centre Datuk Dr Prashant Nadkarni berkata, terdapat tiga faktor yang menyebabkan penurunan kadar kesuburan di Malaysia iaitu penangguhan kehamilan, peningkatan ketidaksuburan lelaki dan juga kos rawatan kesuburan yang mahal.

Menurutnya, lebih ramai wanita mengutamakan kerjaya dan tahap pendidikan lebih tinggi, malah pihaknya mendapati kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan kesuburan berusia dalam lingkungan 36 tahun dan ke atas.

“Kesuburan wanita mula menurun bermula usia 35 tahun dan peluang untuk hamil melalui kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bagi wanita berusia 35 tahun ke atas adalah dalam lingkungan 60 hingga 70 peratus.

“Pada usia 40 tahun pula, peluang untuk hamil berkurangan sehingga 20 peratus,” katanya pada sesi perbincangan dengan media baru-baru ini bertempat di KL Fertility Centre, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Turut hadir pada sesi berkenaan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Monash IVF, James Thiedeman dan barisan pakar kesuburan KL Fertility Centre iaitu Dr Helena Lim Yun Hsuen, Dr Natasha Ain Mohd Nor dan Dr Agilan Arjunan.

Menurut Dr Prashant, faktor kedua yang mempengaruhi penurunan kadar kesuburan di Malaysia ialah peningkatan ketidaksuburan lelaki.

Jika sebelum ini lebih ramai yang mengaitkan ketidaksuburan dengan wanita, namun ia juga boleh disumbangkan oleh lelaki, malah satu pertiga kes ketidaksuburan berkaitan dengan masalah kesuburan dihadapi lelaki.

Kajian global menunjukkan purata bilangan sperma dari 1930 hingga 1990, berkurangan hampir separuh.

Satu kajian dijalankan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur yang mengkaji keputusan analisis air mani daripada dua lelaki dengan perbezaan umur lapan tahun menunjukkan terdapat penurunan kualiti air mani sebanyak 43 peratus.

Keputusan analisis terbabit penting untuk pengkaji merumuskan bahawa keperluan rawatan kesuburan perlu ditingkatkan di negara ini.

Malah, Dr Agilan yang juga pakar kesuburan lelaki merumuskan satu daripada lima lelaki didapati mengalami masalah ketidaksuburan dan kualiti sperma semakin menurun satu peratus setiap tahun sejak 1930.

Katanya, masalah sperma tidak berkualiti kemungkinan besar disebabkan oleh ‘racun’ pada bahan kimia yang terdapat dalam air, seterusnya menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki.

“Sebenarnya masalah ketidaksuburan lelaki semakin meningkat dan saya dapati terdapat corak apabila semakin ramai pesakit lelaki datang untuk mendapatkan rawatan kesuburan,” katanya.

Faktor ketiga ialah kos mendapatkan rawatan kesuburan yang sememangnya mahal, berbanding kemampuan dan kadar simpanan majoriti penduduk di negara ini.

Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 oleh Dana Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu menekankan terdapat ketidakseimbangan jurang pendapatan yang semakin meluas.

Dr Prashant berkata, kos rawatan IVF yang terlalu tinggi menjadi satu faktor yang menghalang kebanyakan pasangan mendapatkan rawatan kesuburan dengan kos yang hampir mencecah 30 hingga 50 peratus berbanding pendapatan tahunan mereka.

Namun begitu, permintaan terhadap rawatan IVF yang semakin meningkat mendorong pusat berkenaan menganjurkan rawatan IVF berkos rendah, IVFku, diterajui Dr Natasha Ain untuk membantu pasangan yang mahu mencuba kaedah rawatan itu.

Menurut Dr Natasha Ain, IVFku membuka peluang kepada pasangan yang tidak mampu menjalani rawatan kesuburan yang biasa serta perlu memenuhi kriteria tertentu melalui ujian yang dijalankan pihaknya.

“Namun, bagi memastikan rawatan berjaya, saya nasihatkan pasangan datang lebih awal menjalani rawatan, jangan tunggu terlalu lama untuk mencuba mendapatkan anak supaya peluang hamil meningkat.

“Usia wanita terlalu berkait rapat dengan kesuburan, jadi jika datang mendapatkan rawatan lebih awal terutama di bawah usia 35 tahun, peluangnya lebih cerah tanpa perlu menggunakan terlalu banyak ubat, seterusnya mengurangkan kos rawatan,” katanya.

Katanya, antara faktor lain yang memberi kesan kesuburan ialah tiub fallopio tersumbat dan suami isteri tidak tinggal bersama kerana tempat kerja jauh.

Pada masa sama, pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pembekuan embrio, pemindahan embrio beku (FET) bagi digunakan pada masa lain, misalnya bagi mereka yang mahu membina kerjaya terlebih dulu, masih belum bertemu lelaki sesuai atau perlu menjalani rawatan kemoterapi akibat kanser.

Namun bagi wanita Islam, terdapat fatwa di negara ini yang melarang mereka daripada sewenang-wenangnya membekukan embrio kecuali atas sebab kesihatan dan embrio perlu disenyawakan dengan sperma milik suami saja.

Menurut Dr Helena Lim, teknologi FET sudah berada di negara ini sejak beberapa tahun lalu, namun tidak begitu mendapat pendedahan atau disedari masyarakat.

Menerusi kecanggihan teknologi masa kini, FET semakin berjaya membantu wanita yang berkeinginan memiliki zuriat, namun terhalang akibat kekangan tertentu.

“Biarpun begitu, peluang mendapatkan zuriat selepas FET lebih cerah jika wanita masih muda, tetapi sekiranya berusia 40 tahun ke atas, peluang itu meningkat dengan kaedah IVF terutama bagi wanita yang sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 10:54 AM