Nor Akmar Samudin

BILANGAN pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat 106,000 menjelang tahun 2040, kata Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Bahari Awang Ngah.

Kata beliau, menurut data ‘National Renal Registry’ pada penghujung tahun 2016, terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.

“Bagaimanapun, jumlah itu akan terus meningkat pada setiap tahun.

“Lebih membimbangkan, 64 peratus pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis adalah penghidap diabetes,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Facebook MYBuahPinggang, hari ini.

Dr Bahari menggalakkan pesakit kronik buah pinggang tahap lima menerima rawatan Peritoneal Dialisis (PD) atau proses mencuci air di dalam rongga perut.

“PD adalah pilihan dialisis yang memberi kualiti hidup yang lebih baik berbanding hemodialisis (cuci darah).

“Rawatan ini dimulakan sejak tahun 1960-an cuma ia tidak popular sebab tidak diuar-uarkan kepada masyarakat.

“Kami masih memberi kebebasan kepada pesakit untuk memilih jenis rawatan dialisis yang mereka mahukan,” katanya.



Tegasnya, hanya 13 peratus pesakit buah pinggang yang menerima kaedah rawatan PD pada 2016 berbanding 10 peratus pada 2011.

“Untuk itu, kami menyasarkan 30 ke 40 peratus pesakit akan menggunakan kaedah rawatan ini bermula tahun ini,” katanya.

Pun begitu, Dr Bahari berkata, kaedah terbaik dalam merawat penyakit buah pinggang adalah melalui pemindahan buah pinggang, namun,tahap kesedaran masyarakat di negara ini terhadap pendermaan organ masih rendah.

“Sekarang, nisbah tiga penderma untuk sejuta penduduk di seluruh negara dan jumlah ini amat menyedihkan.

“Walaupun pemindahan organ dibenarkan dalam agama tetapi masyarakat masih skeptikal mengenai perkara itu. Tahum ini kami menyasarkan 100 penderma buah pinggang,” katanya.

PESAKIT buah pinggang, Shazwali Taib, 33, melihat laman Facebook MYBuahPinggang ketika majlis perasmian. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
PESAKIT buah pinggang, Shazwali Taib, 33, melihat laman Facebook MYBuahPinggang ketika majlis perasmian. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Sementara itu, Facebook MYBuahPinggang mula dibangunkan 2 Julai lalu hasil perbincangan Pakar Perunding Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Dr Lily Mushahar dengan tiga lagi pakar Perunding Nefrologi iaitu Dr Suryati Yakob, Dr Nor Fadhlina Zakaria dan Dr Rafidah Abdullah.

Laman sosial itu turut diselenggarakan tiga pesakit yang menjalani PD iaitu Peter Tan, Shazwali Taib dan Dr Mohd Reduan Buyong.

“Penggunaan laman ini adalah sebagai platform dalam memastikan hanya informasi yang berfakta dan tepat dapat disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:37 PM
DR Bahari (tengah) bersama Lily (dua kanan) dan Pakar Perunding Buah Pinggang Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Dr Faridah Abdullah (kanan) ketika perasmian laman Facebook MYBuahPinggang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DR Bahari (tengah) bersama Lily (dua kanan) dan Pakar Perunding Buah Pinggang Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Dr Faridah Abdullah (kanan) ketika perasmian laman Facebook MYBuahPinggang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria