PESAKIT buah pinggang peringkat akhir perlu menjalani rawatan dialisis . - FOTO Google
PESAKIT buah pinggang peringkat akhir perlu menjalani rawatan dialisis . - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BILANGAN pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) yang menjalani dialisis di Malaysia bakal mencecah 106,000 pada 2040.

Oleh itu, penting untuk mengutamakan kesihatan buah pinggang.

Penyakit buah pinggang kronik dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat daripada 9.07 peratus pada 2011 kepada 15.48 peratus pada 2018.

Ini menunjukkan peningkatan kes 70 peratus dalam tempoh tujuh tahun.

Pakar Perunding Nefrologi Pusat Perubatan Sunway Dr Wong Hin Seng berkata, pemindahan buah pinggang memberi hasil lebih baik berbanding dialisis.

Kata Dr Wong, pemindahan buah pinggang sebelum memulakan dialisis (pemindahan buah pinggang pre-emptive) memberi hasil terbaik dan boleh mengelak komplikasi.

"Oleh itu, semua pesakit yang baharu didiagnosis dengan ESKD harus ambil kira pilihan melakukan pemindahan buah pinggang sebelum memilih menjalani dialisis bagi jangka masa panjang.

"Kelebihan pemindahan buah pinggang paling jelas kepada pesakit dan keluarga ialah mereka tidak perlu lagi mengatur kehidupan seharian mengikut jadual dialisis pesakit.

"Pesakit yang menjalani hemodialisis memperuntukkan masa empat jam di pusat hemodialisis tiga kali seminggu.

"Jika melakukan pemindahan buah pinggang, pesakit tidak lagi terbeban untuk melakukan dialisis," katanya sempena Hari Buah Pinggang Sedunia, baru-baru ini.

Dr Wong berkata, selain menjalani gaya hidup sihat, penerima buah pinggang perlu konsisten mengambil ubat imunosupresan sepanjang hayat bagi memastikan badan mereka tidak menolak buah pinggang yang diterimanya.

Katanya, mereka mampu meneruskan semula kerjaya, menjalani kehidupan sosial seperti biasa serta membina keluarga sendiri jika mahu.

Semua itu sukar dilakukan jika mereka perlu menjalani dialisis.

"Walaupun pemindahan buah pinggang ada banyak kelebihan, namun pesakit dan penderma perlu sedar buah pinggang didermakan mungkin tidak kekal selama-lamanya," katanya.

Dr Wong berkata, disebabkan kekurangan penderma organ selepas kematian di negara ini, purata masa menunggu untuk pesakit dialisis menerima buah pinggang daripada kumpulan itu boleh menjangkau lebih 10 tahun.

"Tambahan pula, penderma organ selepas kematian berkemungkinan alami kecederaan buah pinggang akut sebelum perolehan organ.

"Oleh itu, buah pinggang daripada penderma organ selepas kematian secara amnya tidak bertahan lama seperti buah pinggang daripada penderma hidup.

"Biarpun begitu, pesakit dialisis kronik menerima buah pinggang daripada penderma organ selepas kematian masih ada peluang tinggi untuk hidup lebih lama dan lebih baik berbanding mereka kekal menjalani dialisis kronik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 6:47 AM