KADAR pendermaan organ masih  rendah di negara ini.
KADAR pendermaan organ masih rendah di negara ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


DARURAT dalam sistem penjagaan kesihatan yang dicetuskan virus SARS-CoV-2 menyebabkan Covid-19, menjadikan keutamaan untuk katil dan peralatan hospital serta kakitangan penjagaan kesihatan ditumpukan kepada pengendalian pandemik itu.

Ia secara tidak langsung mengurangkan sumber untuk pesakit lain termasuk yang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD).

ESKD adalah kesan akhir penyakit buah pinggang kronik (CKD), iaitu kehilangan fungsi buah pinggang secara berperingkat.

Dua buah pinggang di dalam tubuh kita berfungsi untuk menapis sisa buangan dan air berlebihan dalam darah, ia kemudian menjadi air kencing yang dikeluarkan dari tubuh melalui pundi kencing.

Pakar Runding Nefrologi yang juga Ketua Unit Pemindahan Organ, Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr Rosnawati Yahya berkata, kerosakan pada buah pinggang bermakna sisa buangan dan air berlebihan boleh terkumpul hingga mencapai tahap berbahaya.

Kata beliau, sekiranya CKD tidak dirawat, buah pinggang akhirnya akan berhenti berfungsi.

"Apabila sampai ke tahap berkenaan, ada beberapa jenis rawatan yang boleh dijalani iaitu pemindahan buah pinggang (untuk pesakit yang didapati sesuai menjalani prosedur terbabit), dialisis peritoneum dan hemodialisis.

PESAKIT ESKD yang merancang untuk menjalani pemindahan buah pinggang serta pendermanya perlu mendapatkan vaksin Covid-19 dan melengkapkan tempoh 14 hari selepas dos kedua vaksin sebelum dibenarkan menjalani prosedur berkenaan.
PESAKIT ESKD yang merancang untuk menjalani pemindahan buah pinggang serta pendermanya perlu mendapatkan vaksin Covid-19 dan melengkapkan tempoh 14 hari selepas dos kedua vaksin sebelum dibenarkan menjalani prosedur berkenaan.

"Pemindahan buah pinggang dianggap sebagai terapi yang optimum untuk ESKD kerana ia menawarkan kadar kemandirian dan kualiti hidup yang lebih baik," katanya.

Dr Rosnawati yang juga Presiden Persatuan Transplan Malaysia berkata, pesakit boleh menerima buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia atau masih hidup.

Namun, kebarangkalian menerima buah pinggang daripada penderma yang meninggal dunia di Malaysia amat rendah.

Kata beliau, salah satu sebabnya adalah kadar pendermaan organ yang rendah di negara ini.

"Buat masa ini, terdapat kira-kira 23,000 pesakit di bawah umur 60 tahun yang layak dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang.

"Bagaimanapun, hanya 30 hingga 50 pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia dilakukan setiap tahun," katanya.

TEKANAN darah tinggi (hipertensi), diabetes dan obesiti  adalah
TEKANAN darah tinggi (hipertensi), diabetes dan obesiti adalah

Menurut beliau lagi, kebiasaannya, seorang pesakit ESKD terpaksa menunggu selama lapan hingga 13 tahun untuk mendapatkan buah pinggang.

Lebih memburukkan keadaan, program pemindahan organ dari penderma yang meninggal dunia turut tergendala ketika pandemik Covid-19 berikutan pelbagai sebab seperti kebimbangan mengenai kebarangkalian jangkitan pandemik itu daripada penderma, risiko kematian yang lebih tinggi terhadap penerima sekiranya dijangkiti virus SARS-CoV-2 serta peralihan sumber penjagaan kesihatan yang bertumpu kepada pengurusan Covid-19.

Kata Dr Rosnawati, memandangkan seseorang yang sihat boleh hidup seperti biasa dengan hanya satu buah pinggang, pesakit ESKD juga boleh menerima buah pinggang daripada penderma sukarela yang masih hidup.

Menurutnya, di Malaysia penderma berkenaan mestilah mempunyai ikatan kekeluargaan dengan pesakit dan boleh terdiri daripada ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik beradik atau pasangan, hinggalah saudara mara tahap ketiga seperti sepupu.

"Bagaimanapun, program pemindahan organ dari penderma yang masih hidup dijalankan ketika ini jauh lebih perlahan kerana semua hospital penuh dengan pesakit.

"Ini menyebabkan kurangnya ruang untuk menempatkan pesakit selepas menjalani pemindahan organ.

PASTIKAN mengambil protein pada kadar yang berpatutan kerana diet yang terlalu tinggi kandungan protein mungkin memberi kesan buruk kepada buah pinggang.
PASTIKAN mengambil protein pada kadar yang berpatutan kerana diet yang terlalu tinggi kandungan protein mungkin memberi kesan buruk kepada buah pinggang.

"Namun kini, memandangkan lebih banyak katil mula tersedia kerana jumlah pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital semakin berkurangan, program berkenaan sudah mula dilaksanakan semula," katanya.

Dalam pada itu, program pemindahan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia juga turut disambung semula pada Oktober lalu kerana jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan semakin berkurangan.

Hospital di seluruh negara kini boleh menumpukan lebih perhatian dan sumber kepada penyakit-penyakit lain.

Dr Rosnawati berkata, pesakit ESKD yang merancang untuk menjalani pemindahan buah pinggang, pendermanya perlu mendapatkan vaksin Covid-19 dan melengkapkan tempoh 14 hari selepas dos kedua vaksin itu sebelum dibenarkan menjalani prosedur berkenaan.

Ini kerana kebarangkalian untuk berjaya membina antibodi untuk virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19 daripada vaksin adalah jauh lebih tinggi ketika mereka sedang menjalani dialisis, berbanding ketika sedang menjalani regim imunosupresif.

Kata Dr Rosnawati, regim imunosupresif akan dimulakan sebelum pembedahan pemindahan organ dan perlu diteruskan sepanjang hayat mereka.

SEKIRANYA CKD tidak dirawat, buah pinggang akhirnya akan berhenti berfungsi.
SEKIRANYA CKD tidak dirawat, buah pinggang akhirnya akan berhenti berfungsi.

Pesakit dan penderma juga perlu mendapat keputusan negatif dalam ujian calit Covid-19 sebelum menjalani pembedahan.

"Pembedahan pemindahan organ itu boleh dijalankan sekurang-kurangnya empat minggu selepas mereka melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19.

"Tempoh yang tepat perlu ditentukan berdasarkan saranan doktor masing-masing," katanya.

Tambah Dr Rosnawati, walaupun seseorang pesakit ESKD tidak merancang untuk menjalani pemindahan buah pinggang dan sedang menjalani dialisis, mereka masih perlu mendapatkan vaksin Covid-19 secepat mungkin kerana terdedah kepada jangkitan berkenaan.

Ia penting terutama kepada pesakit yang menjalani hemodialisis kerana perlu mengunjungi pusat hemodialisis tiga kali seminggu, selain terdedah kepada individu yang mungkin sudah dijangkiti virus terbabit.

Dr Rosnawati berkata, walaupun lebih kerap berlaku dalam kalangan warga tua namun CKD boleh terjadi pada bila-bila masa.

Katanya, ia biasanya tidak menunjukkan sebarang simptom, terutamanya di peringkat awal dan satu-satunya cara ia boleh dikesan di peringkat awal adalah melalui ujian saringan.

"Oleh itu, penting untuk pesakit menjalani pemeriksaan perubatan setiap tahun, sekiranya unsur darah atau protein dapat dikesan dalam air kencing melalui ujian-ujian itu, dapatkan bantuan perubatan secepat mungkin untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Ini kerana lebih cepat rawatan dimulakan, lebih baik peluang untuk memperlahankan perkembangan penyakit itu," katanya.

Sementara itu, tekanan darah tinggi (hipertensi), diabetes dan obesiti, yang juga penyakit tidak berjangkit (paling banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia) juga antara faktor risiko untuk CKD terjadi dan berkembang.

Justeru, adalah penting bagi mereka yang menghidap semua masalah kesihatan itu untuk mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan berat badan.

Kata Dr Rosnawati, salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakananan dan diet seimbang, bersenam, minum air yang mencukupi serta mengurangkan pengambilan garam.

Selain itu, elakkan pengambilan jangka panjang ubat tahan sakit dan pengambilan makanan tambahan kesihatan yang tidak perlu selain tidak disahkan bagi melindungi buah pinggang.

Katanya, ubat tahan sakit biasa boleh merosakkan buah pinggang sekiranya diambil untuk jangka masa yang panjang.

"Sesetengah makanan tambahan kesihatan juga mungkin mengandungi bahan-bahan yang menjejaskan fungsi buah pinggang.

"Jadi, jalan yang terbaik adalah mengelakkan pengambilan makanan tambahan yang tidak perlu.

"Apapun, pastikan mengambil protein pada kadar berpatutan kerana diet yang terlalu tinggi kandungan protein mungkin memberi kesan buruk kepada buah pinggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 7:01 AM