PENJAGA yang mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang kanak-kanak memberi nilai tambah kepada si kecil.
PENJAGA yang mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang kanak-kanak memberi nilai tambah kepada si kecil.
Hafiz Ithnin


Ibu bapa mana yang tidak risau jika berjauhan dengan si kecil mereka. Apatah lagi, jika perlu ditinggalkan seketika kerana hal yang tidak dapat dielakkan.

Perkara ini mungkin sering berlaku kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunyai si kecil yang masih tidak dapat menguruskan diri dan perlu 'ditinggalkan' seketika bersama si penjaga.

Namun, bagi si ibu, bapa atau penjaga yang baharu memiliki si kecil pastinya risau apabila anak-anak perlu di tempatkan di pusat penjagaan.

Justeru, Wanita Metro (WM) kali ini ingin kongsikan beberapa tip yang mungkin boleh anda aplikasikan sebelum menghantar anak-anak kepada si penjaga.

PASTIKAN anak anda selesa berada dalam kalangan kanak-kanak lain.
PASTIKAN anak anda selesa berada dalam kalangan kanak-kanak lain.

1. Selidik latar belakang

Perkara ini amat penting kerana jika anda baharu mengenali orang asing yang ingin menjaga anak anda pastikan mereka mempunyai pengalaman dalam menguruskan dan menjaga anak-anak.

Jangan kerana terpaksa disebabkan anda perlu memulakan tugasan, maka tidak menyelidik terlebih dahulu mengenai latar belakang si penjaga.

Sekiranya terdapat anak-anak lain yang dijaga penjaga berkenaan, anda boleh bertanyakan kepada ibu bapa yang lain mengenai tahap penjagaan anak mereka di sana.

Sebaik-baiknya pilih si penjaga yang mempunyai latar belakang dalam pengurusan kanak-kanak kerana mereka mempunyai ilmu dalam mengendalikan anak-anak.

2. Kebersihan

Jangan ambil mudah mengenai isu kebersihan kerana kita tidak mahu si kecil jatuh sakit kerana tempat yang mereka tinggal itu tidak bersih.

Sebelum membuat keputusan, anda boleh meninjau dahulu keadaan dalam tempat jagaan berkenaan. Anda mempunyai hak untuk melihat lokasi tempat anak anda dijaga.

Anda juga boleh bertanyakan kepada si penjaga mengenai kekerapan mereka mengemas rumah atau tadika. Apatah lagi, tempat jagaan itu dihuni kanak-kanak yang lain.

BAYI yang ditinggalkan di rumah pengasuh perlu dipantau ibu bapa.
BAYI yang ditinggalkan di rumah pengasuh perlu dipantau ibu bapa.

3. Bertauliah

Keselamatan anak-anak adalah perkara paling utama. Jangan kerana anda ingin berjimat dan menghantar si kecil kepada orang asing yang tidak berpengalaman.

Ketika ini banyak pusat penjagaan kanak-kanak yang mempunyai kakitangan berlatarbelakang pendidikan kanak-kanak.

Perkara ini juga boleh membantu anak anda bukan sahaja rasa selamat ditinggalkan, malah mereka juga boleh mendapat pendidikan ketika berada di tadika atau pusat jagaan kanak-kanak.

4. Kamera litar tertutup (CCTV)

Ketika ini banyak pusat penjagaan kanak-kanak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dilihat kembali ibu bapa atau penjaga sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

Malah, ada juga pusat jagaan kanak-kanak mempunyai CCTV yang mana anda boleh mengaksesnya untuk ditinjau menerusi telefon pintar peribadi.

Sekiranya berlaku sesuatu perkara di luar jangka anda boleh meninjau dan melihat sendiri keadaan yang berlaku di tempat anak anda berada.

5. Tinjau keadaan diri anak

Sebelum dihantar ke pusat asuhan atau penjaga anda perlu melihat keadaan anak anda sama ada mental dan fizikal mereka.

Perkara ini juga tidak boleh dipandang ringan kerana jika berlaku kecederaan kedua-dua pihak dapat mengetahui sama ada ia berlaku di rumah atau di pusat jagaan itu.

Sekiranya anda mengambil langkah ini, pastinya tidak akan berlaku soal tuduh-menuduh kepada mana-mana pihak kerana anda sudah mengetahui keadaan anak-anak sebelum dan selepas dihantar.

Dari segi mental, tinjau keadaan si kecil sama ada mereka gembira atau tidak sekiranya berada di rumah penjaga. Jika anak anda sudah boleh bercakap tanyakan aktiviti mereka di rumah pengasuh.

Jika si kecil berkata mereka kurang selesa, pastikan anda menyelidik perkara itu dan jangan tidak mengendahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:30 AM