JANGAN membeza-bezakan anak-anak walaupun usia mereka rapat.
JANGAN membeza-bezakan anak-anak walaupun usia mereka rapat.
Hafiz Ithnin

"CUBA tengok abang atau kakak awak itu, rajin belajar, dekat sekolah selalu dapat keputusan baik. Awak?," mungkin ini antara bebelan yang biasa kita dengar apabila si ibu bapa atau penjaga ingin 'menyedarkan' seorang anak ketika berada dalam kalangan adik beradik yang lain.

Sebenarnya, secara tidak sedar, dialog yang mungkin dianggap biasa namun ia mampu menjadikan si anak menjauhkan diri dengan adik beradik yang lain.

Sekali gus terjadilah hubungan dingin dalam kalangan anak-anak sehingga mereka membesar.

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata, perasaan cemburu akan timbul dalam kalangan anak-anak terutama di peringkat kanak-kanak jika mereka sering dibandingkan dengan adik beradik yang lain.

Jelasnya, di peringkat usia kanak-kanak, jiwa mereka begitu lembut dan mudah terasa sebenarnya dengan lemparan kata-kata daripada ibu bapa atau penjaga.

"Hubungan anak-anak amat penting dijaga sejak mereka kecil lagi. Kita sering mendengar mengenai hubungan anak-anak renggang antara satu sama lain kerana dalam tidak sedar, terdapat kesilapan cara menegur mereka sejak dari kecil.

WUJUDKAN hubungan harmoni dalam keuarga.
WUJUDKAN hubungan harmoni dalam keuarga.

"Tidak kisah jika anda mempunyai anak yang ramai dan jarak usia rapat sekali pun, asalkan anda sentiasa menerapkan nilai kasih sayang kepada anak-anak agar hubungan adik-beradik semakin erat," katanya.

Dr Nellie menambah, antara faktor menjadi hubungan anak-anak dingin adalah kerana kurangnya komunikasi antara satu sama lain.

Jelasnya, situasi ketika ini lebih mencabar yang menjurus kepada faktor berkenaan kerana anak-anak lebih tertarik kepada peranti digital.

"Kehadiran peranti pintar yang mempunyai pelbagai hiburan yang boleh diakses dengan mudah menjadikan anak-anak ini gemarkan kehidupan gajet semata-mata dan tidak mahu bersosial dengan adik-beradik yang lain.

"Teknologi itu penting dalam kehidupan seharian pada hari ini tetapi sebagai ibu bapa kita perlu mengambil langkah supaya anak-anak tidak hidup dalam dunia mereka sendiri sehingga tidak berminat untuk bersosial dengan ahli keluarga," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan setiap anak-anak sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dan mengehadkan waktu dengan peranti digital.

Selain itu, katanya, hubungan adik-beradik juga terjejas jika mereka tidak diajar kemahiran menguruskan konflik dengan baik.

BERIKAN peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan perkara yang mereka lakukan.
BERIKAN peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan perkara yang mereka lakukan.

"Dalam hubungan adik-beradik terutama pada usia kanak-kanak, konflik antara satu sama lain pasti berlaku tetapi kita perlu mendidik mereka supaya tidak mengasari secara fizikal atau kata-kata.

"Mengasari secara fizikal seperti menumbuk, mencubit atau menampar. Manakala dari segi kata-kata, mereka menjerit atau menggunakan kata-kata yang kasar apabila berlaku konflik," katanya.

Jelasnya, ketika berlaku konflik, ibu bapa atau penjaga perlu menjadi orang tengah yang membantu menyelesaikan masalah itu.

"Dalam keadaan konflik, kita jangan menyebelahi mana-mana pihak kerana ia akan mewujudkan rasa tidak adil dalam kalangan anak-anak.

"Beri mereka peluang untuk menjelaskan keadaan dan mendengar penuh tumpuan secara tidak langsung dapat mendidik mereka untuk menghormati pandangan orang lain terutama dalam kalangan ahli keluarga," katanya.

Katanya, apabila mendengar penjelasan kedua-dua pihak, ibu bapa perlu memaklumkan keadaan yang sepatutnya mereka lakukan jika berlaku konflik.

ADAKAN aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anak-anak.
ADAKAN aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anak-anak.

"Misalnya, mereka berebut permainan. Kita boleh meminta kedua-dua pihak untuk belajar bertolak ansur untuk bermain permainan itu dan bukan memberi kemenangan kepada mana-mana individu seperti si abang sahaja perlu bertolak ansur atau sebaliknya.

"Jika berlaku keganasan dalam konflik, jelaskan akibat perlakuan itu dengan sebaiknya selepas kedua-dua pihak termasuk ibu bapa dalam keadaan tenang. Cara ini dapat membantu mereka faham, perkara yang dilakukan boleh menyebabkan kesakitan dan kedua-dua pihak mesti memohon maaf antara satu sama lain," katanya.

Tambahnya, ibu bapa atau penjaga juga perlu mendidik anak-anak untuk menghormati antara satu sama lain seperti bercakap dengan sopan dan setiap barang yang diambil bukan kepunyaan mereka mesti mendapatkan keizinan daripada pemiliknya.

"Perkara ini penting kerana ia dapat mendidik anak-anak supaya menghormati hak adik-beradik yang lain seperti pakaian, bilik tidur atau alat tulis yang perlu diminta keizinan sebelum menggunakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:00 AM