ADZLIANA (kanan) berkongsi ilmu dan pengalaman dalam Program Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia.
ADZLIANA (kanan) berkongsi ilmu dan pengalaman dalam Program Aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia.
USANITA turut membantu mangsa banjir.
USANITA turut membantu mangsa banjir.
Muhamaad Razis Ismail


PENULARAN pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberi impak yang besar kepada semua sektor.

Paling terkesan sudah pasti sektor ekonomi apabila banyak perniagaan terpaksa gulung tikar kerana berdepan kerugian besar sehingga ramai hilang pekerjaan.

Malaysia turut tidak terkecuali apabila ramai usahawan terutama wanita dalam kalangan B40 dan M40 hilang sumber pendapatan.

Lebih menyedihkan pada penghujung tahun lalu, ketika ramai usahawan yang dilihat berusaha kembali bangkit akibat pandemik, sekali lagi terduduk apabila diuji dengan banjir besar.

Hakikatnya, usahawan yang terkesan ini memerlukan tenaga, semangat, sokongan dan bimbingan untuk kembali bangkit namun ramai yang dilihat tidak mengetahui saluran yang sesuai.

Menyedari perkara itu, usahawan korporat, Datin Adzliana Hasan memanfaatkan pengalaman dalam bidang keusahawanan dan korporat selama lebih sedekad menerusi penubuhan Usanita Sdn Bhd untuk membantu usahawan golongan B40 dan M40 terutama wanita yang terjejas.

Sebagai pemudah cara, Usanita menjadi jambatan yang menjadi penghubung antara usahawan dengan kerajaan dan badan korporat menerusi program yang dijalankan.

Adzliana yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita berkata, sebagai permulaan pada tahun lalu, pihaknya menganjurkan program realiti membabitkan usahawan wanita B40 dan M40 yang terkesan ketika pandemik Covid-19.

"Dalam program sebanyak lapan episod itu, setiap peserta perlu melalui pelbagai cabaran untuk melatih mereka menjadi seorang usahawan yang kental dan berkualiti dalam dunia perniagaan.

"Alhamdulillah program berjalan lancar dan kami sangat berbesar hati pada episod finale di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang disiarkan secara langsung di Astro Prima turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad dan beberapa pihak kementerian," katanya.

ADZLIANA
ADZLIANA

Katanya, penganjuran program realiti itu memberi impak besar kepada Usanita apabila menerima maklum balas yang positif daripada pelbagai pihak.

"Kejayaan itu membuatkan kami terus bersemangat untuk terus mengorak langkah apabila dijemput untuk menyertai program Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lalu.

"Selain diberi ruang jualan yang berjaya mencatat antara jualan tertinggi, Usanita turut diberi dua slot untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada pengunjung yang hadir," katanya.

Pada bulan sama, Usanita meneruskan momentum dengan melancarkan program perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB) yang dirasmikan menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Adzliana berkata, program yang digerakkan bersama usahawan selebriti Datuk Rosyam Nor akan membantu 50 usahawan luar bandar yang terpilih daripada segi penjenamaan dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi pendigitalan untuk memasarkan produk.

"Sepanjang program berjalan, peserta boleh menggunakan wajah Rosyam Nor di produk mereka selama setahun di samping menghadiri kelas bimbingan keusahawanan yang dijalankan.

"Mereka juga perlu bersaing sesama sendiri secara sihat untuk menjadi 10 terbaik bagi ke peringkat seterusnya," katanya.

MAHDZIR (dua dari kiri) merasmikan program Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, pada Disember lalu.
MAHDZIR (dua dari kiri) merasmikan program Perintis Usanita, Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB, pada Disember lalu.

Beliau berkata, selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, Usanita turut mengadakan pelbagai program membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa di negara ini.

Adzliana berkata, pihaknya bersyukur sehingga kini program yang dijalankan Usanita mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada kerajaan dan badan korporat.

"Pada tahun ini, kami berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak kementerian dan badan korporat untuk membantu lebih ramai usahawan," katanya.

Katanya, bagi memperkenalkan lagi Usanita kepada masyarakat, pihaknya akan terus aktif mempromosikan jenama itu secara berterusan dengan menggunakan pelbagai platform.

"Selain akan menggunakan wajah baru di papan iklan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, kami turut aktif di media sosial dan media konvensional untuk terus memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat," katanya.

MAHDZIR bersama Adzliana dan Rosyam beramah mesra dengan jemputan yang hadir.
MAHDZIR bersama Adzliana dan Rosyam beramah mesra dengan jemputan yang hadir.

Mengulas lanjut, sempena ulang tahun pertama penubuhan Usanita pada 27 Januari lalu, pihaknya sudah mengatur pelbagai program sehingga hujung tahun ini untuk membantu lebih ramai usahawan.

"Apabila melihat banyak kejayaan yang dikecapi dengan cepat pada tahun lalu, momentum itu kita ingin tingkatkan dengan menjadi lebih agresif dan produktif pada tahun ini.

"Pada masa sama, kami tetap mengaturkan program lain seperti bazar, webinar dan sebagainya untuk membantu memperkasakan lebih ramai usahawan di luar sana selari dengan misi dan visi Usanita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:30 AM