MAHDZIR (dua dari kiri) merasmikan Program Perintis Usanita-Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB.
MAHDZIR (dua dari kiri) merasmikan Program Perintis Usanita-Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama KPLB.
Muhamaad Razis Ismail


SITUASI desakan ekonomi dunia hari ini berikutan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan terutama golongan B40 dan M40.

Ruang kerja semakin sempit dan bukan sedikit bergelar penganggur sehingga mengganggu emosi serta mental golongan yang terbabit.

Bagaimanapun, antara jalan terbaik untuk mengukuhkan ekonomi keluarga adalah memulakan perniagaan sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Adzliana Hasan berkata, pihaknya melihat perniagaan sebagai jalan keluar untuk mereka yang berada dalam kesempitan.

Katanya, pihaknya mengambil langkah seiring aspirasi kerajaan untuk sama-sama membangunkan usahawan terutama B40 dan M40 menerusi penjenamaan dan pendigitalan.

"Rata-rata usahawan terjejas akibat serangan pandemik dan selama dua tahun kita dibelenggu virus maut itu yang membuat kita 'mati akal' seketika.

"Kami di Usanita melihat impak ini sebagai inisiatif baharu bagi melonjak kembali golongan B40 untuk kembali membina ekonomi keluarga dan perniagaan," katanya selepas Majlis Pelancaran Program Perintis Usanita-Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang dirasmikan menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hadir sama, Timbalan Menteri 1 KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Beliau berkata, selari dengan aspirasi kerajaan mengenai wanita bangkit mendepani cabaran, Usanita cuba menyuntik semangat usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) B40 dengan program dan webinar bagi mereka mendepani cabaran pandemik ini.

MAHDZIR beramah mesra dengan jemputan.
MAHDZIR beramah mesra dengan jemputan.

"Hubungan baik antara Usanita dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama ini juga banyak memberi peluang dan sokongan buat wanita yang terkesan dengan Covid-19 dalam menceburi bidang perniagaan

"Sudah tiba masanya, golongan usahawan mengguna pakai teknologi pendigitalan secara menyeluruh bagi mencapai sasaran pembeli dengan lebih mudah, pantas dan murah," katanya.

Mengulas lanjut, untuk program kali Usanita dengan kerjasama KPLB bergerak seiring membantu mereka yang terkesan.

"Kami turut membawa selebriti dan usahawan, Datuk Rosyam Nor untuk merealisasikan objektif pengukuhan semula ekonomi golongan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Rosyam menyifatkan penjenamaan adalah elemen penting terutama mereka yang terbabit dalam perniagaan.

"Tanpa jenama orang sukar kenal. Bagi saya, orang bisnes wajib ada penjenamaan yang kukuh dan sesuai dengan barangan yang diniagakan," katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 mengajar semua orang erti kepayahan hidup, namun pada masa sama ia mendidik mengenai transformasi.

"Sebelum ini kita kurang menggunakan digital untuk perniagaan, tetapi kini ia sudah menjadi keutamaan.

"Sudah menjadi kewajipan untuk mereka mendigitalisasi perniagaan sekiranya mahukan jualan melambung tinggi. Cara lama tidak salah, namun sekiranya mahukan perniagaan yang efektif guna digital," katanya.

Menerusi program Usanita, seramai 50 usahawan wanita luar bandar daripada kategori B40 dan M40 dipilih untuk dibimbing pembangunan produk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:39 AM