Penyanyi, Aina Abdul pada persembahan di AJL 38. Foto Nur Raihana Alia
Penyanyi, Aina Abdul pada persembahan di AJL 38. Foto Nur Raihana Alia
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Kalau nak tanya kos, saya pun tak ingat. Namun, saya nampak kelainan yang Aina dan pasukannya cuba tampilkan. Ia di luar jangkaan."

Demikian kata usahawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan mengenai perasaannya apabila berpeluang bekerjasama untuk merealisasikan persembahan Aina Abdul di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), baru-baru ini.

Adzliana berkata, sebagai penaja persembahan lagu Jangan Mati Rasa Itu, dia berasa kagum dengan kelainan yang ditampilkan pasukan penyanyi itu.

"Ramai yang kongsikan semula video persembahan Aina kepada saya. Rata-rata kata terkejut dan sifatkan persembahan Aina sangat dahsyat.

"Saya seronok untuk bekerjasama dengan Aina kerana dia banyak terbabit dengan program kami yang membabitkan pemerkasaan wanita," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri  Adzliana Hasan
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan

Adzliana berkata demikian ketika ditemui pada acara pertunjukkan fesyen Amber x Anna Jobling yang berlangsung di The Estate, di sini, kelmarin.

Menurut Adzliana, dia melihat Aina mempunyai kemampuan untuk memberikan kekuatan khususnya buat wanita melalui nyanyiannya.

"Orang ramai sukakan suara dan penampilan Aina walaupun dia tampil agak luar biasa.

"Pada saya, Aina mempunyai satu ciri yang sangat istimewa yang membuatkan para wanita datang ke platform saya. Bila kami berbincang, Aina juga sukakan misi Usanita itu sendiri.

"Aina suka mencuba fesyen yang orang lain tak berani nak buat. Kelainan inilah yang patut diterapkan kepada para wanita di luar sana untuk sentiasa berani mencuba.

"Disebabkan itu, kami melantik Aina sebagai rakan strategik. Kami mahukan para wanita ini berani untuk melakukan sesuatu di dalam hidup mereka," katanya.

Dalam pada itu, Adzliana turut bekerjasama dengan pelakon Anna Jobling menerusi jenama pakaian, Amber.

Sebanyak 12 koleksi pakaian wanita dan dua jenis kurta lelaki diperkenalkan sempena koleksi Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menariknya, kesemua koleksi Atma Sari dinamakan sempena nama-nama watak yang pernah dilakonkan Anna sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 4:08 PM