DR Nor Faiza
DR Nor Faiza
RAMAI kanak-kanak takut dengan jarum suntikan.
RAMAI kanak-kanak takut dengan jarum suntikan.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


TIDAK dinafikan antara perkara yang paling ditakuti kanak-kanak adalah menerima suntikan.

Melihat sahaja jarum suntikan sudah membuatkan mereka ketakutan apatah lagi apabila perlu melalui kembali pengalaman disuntik yang pada mereka amat menyakitkan.

Bukanlah satu perkara yang janggal apabila kanak-kanak takut dengan jarum suntikan, namun ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengurangkan ketakutan anak dengan cara yang betul.

Hal ini sangat penting untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius sehingga fobia terhadap jarum suntikan (trypanophobia).

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan, kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19 kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.

Ibu bapa bagaimanapun digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera demi melindungi mereka daripada Covid-19.

Biarpun tidak diwajibkan, suntikan vaksinasi dapat melindungi golongan itu selepas rakyat khususnya ibu bapa sudah bergerak bebas selain dapat mengelakkan penularan wabak di sekolah .

Berita ini pasti menggusarkan kanak-kanak terutamany yang takut dengan jarum suntikan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam International Islamic University Malaysia (IIUM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkongsi panduan yang boleh diaplikasi ibu bapa sebelum, ketika dan selepas proses vaksinasi.

ELAK memarahi anak sekiranya proses vaksinasi tidak berlaku seperti yang dirancang.
ELAK memarahi anak sekiranya proses vaksinasi tidak berlaku seperti yang dirancang.

Sebelum proses vaksinasi

1) Ibu bapa perlu menyedari bahawa perasaan takut akan jarum adalah sesuatu yang normal. Tidak perlu memarahi atau mentertawakan anak anda.

2) Ceritakan mengenai keperluan mendapatkan vaksinasi. Gunakan bahasa dan teknik penyampaian yang sesuai dengan usia kanak-kanak. Gunakan video pendidikan boleh didapati daripada laman-laman web yang dipercayai untuk menyampaikan maklumat.

3) Gunakan teknik 'role-play' untuk mempersiapkan kanak-kanak menghadapi vaksinasi. Ibu bapa boleh melakonkan watak doktor dan pesakit secara bergilir-gilir dengan kanak-kanak. Gunakan permainan peralatan perubatan supaya lebih menarik. Lakonkan aktiviti suntikan menggunakan pena mata bulat, kemudian tampal kesan pen menggunakan plaster.

4) Ajarkan teknik-teknik relaksasi kepada kanak-kanak untuk menghilangkan rasa takut. Terdapat beberapa teknik relaksasi yang sesuai untuk kanak-kanak:

- Teknik pernafasan

Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung dan hembuskan perlahan-lahan melalui mulut. Ulang untuk beberapa kali.

- Teknik visualisasi (bayangan)

Cipta visualisasi mengenai keseluruhan proses vaksinasi. Lebih menarik lagi jika ia dikaitkan dengan watak-watak atau cerita kegemaran mereka.

- Muzik

Muzik, alunan zikir atau ayat al-Quran dapat menenangkan kanak-kanak. Mereka boleh mengenakan fon kepala dan mendengar atau menyanyi mengikut muzik atau lagu kegemaran mereka.

5) Ajarkan teknik-teknik untuk menghilangkan rasa sakit di tempat yang dicucuk. Contohnya tuam tempat yang dicucuk dengan ais. Lebih menarik lagi jika anda melakukan aktiviti secara olok-olok dengan kanak-kanak.

6) Rancang perjalanan dan aktiviti semasa hari vaksinasi. Elakkan situasi yang tergesa-gesa atau suasana kelam-kabut pada hari terbabit.

Ketika proses vaksinasi

1) Ketika di tempat pemberian vaksin, penuhkan masa dengan berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara-perkara yang menyeronokkan. Alihkan perhatian kanak-kanak daripada persekitaran yang menakutkan mereka. Elakkan daripada menakut-nakutkan mereka.

2) Ibu bapa perlu bersikap tenang dan menenangkan. Ia akan memberi perasaan yakin dan berani terhadap anak anda.

3) Apabila tiba giliran untuk disuntik, sentiasa berada rapat dengan mereka. Anda digalakkan untuk memegang tangan, memeluk atau melakukan apa-apa sentuhan yang dapat menenangkan mereka.

4) Berikan kata-kata semangat secara berterusan. Nyatakan bahawa mereka seorang yang berani, bersemangat dan kuat.

5) Lakukan teknik-teknik relaksasi secara berterusan.

Selepas proses vaksinasi

1) Nyatakan bahawa anda sangat berbangga dengan mereka kerana sudah melakukan yang terbaik. Berikan kata-kata pujian dan kenyataan positif sahaja.

2) Anda boleh memberikan ganjaran untuk keberanian mereka. Contohnya, membelikan mereka makanan kegemaran atau membawa mereka bersiar-siar untuk seketika.

3) Sekiranya proses vaksinasi berlangsung tidak seperti yang dirancang, tetap berikan kata-kata positif pada masa itu. Elakkan memarahi atau menyalahkan sesiapa. Anda boleh membincangkan semula perkara itu selepas keadaan kembali tenang dan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 6:20 AM