PENGURANGAN bilangan suntikan turut memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi.
PENGURANGAN bilangan suntikan turut memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Keputusan kerajaan untuk beralih kepada vaksin kombinasi enam serangkai dalam program vaksinasi kanak-kanak menjadi topik hangat diperkatakan.

Penukaran itu membabitkan vaksin kombinasi lima serangkai iaitu difteria, tetanus, pertussis, polio dan Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) yang digunakan sebelum ini kepada enam serangkai (difteria, tetanus, pertussis, polio, Hepatitis B dan Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) bagi kanak-kanak.

Vaksin itu diberikan bagi mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan jangkitan Haemophilus influenzae type b.

Ia diberi sebanyak tiga dos primer pada umur dua bulan, tiga bulan dan lima bulan serta satu dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan.

Vaksin Hepatitis B monovalent diberikan untuk mencegah penyakit Hepatitis B sejak 1989 dan ia diberikan sebanyak tiga dos iaitu ketika lahir, pada umur satu bulan dan enam bulan.

Malah vaksin enam serangkai pula diberikan untuk mencegah enam penyakit iaitu difteria, tetanus, pertussis, poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.

Sebanyak empat dos vaksin enam serangkai diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.

Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan manakala vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur satu bulan dan enam bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B sudah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai itu.

Perunding Pediatrik IMU Healthcare, Prof Madya Dr Erwin Khoo berkata, penukaran itu memberi banyak manfaat kerana pada umur dua tahun pertama dalam kehidupan seseorang kanak-kanak adalah usia rentan dan ketika julat umur itulah doktor berusaha untuk memastikan mereka diberikan imunisasi bagi melawan penyakit yang pernah menular di seluruh dunia.

Kata Dr Khoo, secara praktikalnya, jika sebelum ini program vaksinasi kanak-kanak untuk melawan enam penyakit itu memerlukan tujuh suntikan, tetapi kini hanya lima suntikan diperlukan bagi mencegah enam penyakit.

"Pengurangan bilangan suntikan itu secara tidak langsung turut memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak mereka diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan," katanya.

Dr Khoo berkata, perubahan itu bukan berlaku secara tiba-tiba kerana NIP diperkenalkan sejak 1950-an sudah melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dan sesuai dengan kemajuan dalam bidang perubatan.

Katanya, pada awal NIP, vaksin kombinasi tiga serangkai digunakan dan kemudian bertukar kepada lima serangkai pada 2008.

"Begitupun, institusi penjagaan kesihatan swasta sudah menggunakan vaksin kombinasi enam serangkai sejak 2013 dan 49 negara turut mengguna pakai program itu dalam sistem penjagaan kesihatan awam mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr Khoo berkata, ramai ibu bapa menghadapi kesukaran kerana terpaksa merancang dan menempuh perjalanan yang mengganggu waktu pejabat serta membabitkan kos bukan sedikit.

Katanya, pekerja yang menerima upah secara harian adalah golongan paling terkesan kerana terpaksa meninggalkan pekerjaan buat sementara waktu untuk ke klinik atau ke hospital.

PROGRAM pemberian
PROGRAM pemberian

"Jadi, dengan pengurangan jumlah masa kanak-kanak menerima suntikan, ia juga akan membantu mengurangkan beban ibu bapa menghadapi situasi berkenaan.

"Hal itu bukan sahaja membabitkan implikasi kos, masa dan jumlah perjalanan malah kegagalan hadir temu janji yang dijadualkan juga berkurangan selain membantu merendahkan kadar keciciran," katanya.

Jelas Dr Khoo, pelaksanaan itu turut memberikan banyak manfaat lain antaranya doktor dan jururawat dapat memberi fokus kepada isu lain berkaitan pembangunan serta perkembangan kesihatan kanak-kanak.

Katanya, sebagai kumpulan barisan hadapan, pengurangan suntikan juga bermakna berkurangnya risiko berlaku kecederaan akibat jarum dan berkurangnya sisa berbahaya.

"Bahkan, transisi itu juga adalah peluang yang baik kepada ahli pediatrik untuk bercakap mengenai manfaat program vaksin dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan sains dalam meningkatkan kualiti sektor perubatan serta penjagaan kesihatan," katanya.

Tambah Dr Khoo, ia turut membantu dalam usaha untuk mendekati kumpulan ibu bapa yang masih ragu-ragu dengan program vaksinasi.

Kata beliau, terdapat ibu bapa yang belum mengetahui atau berlaku salah faham kerana tidak mendapat maklumat benar dan hanya bergantung kepada info diperoleh melalui media sosial.

Selain itu, terdapat golongan yang berpengetahuan luas dan tidak menentang program vaksinasi namun mereka amat berhati-hati serta ada kemahuan tinggi untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

"Di Malaysia, belum ada undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak untuk menyertai program imunisasi meskipun ada negara luar yang mewajibkannya.

"Persoalannya bukan mengenai kita perlu mewajibkan atau tidak, tetapi bagaimana mahu menguatkuasakan undang-undang sedemikian dan bentuk hukum

an bagaimana yang mahu dikenakan kepada ibu bapa yang ingkar?

"Ia bukan suatu yang mudah, kita perlu berhati-hati dalam hal itu kerana apa sahaja regulasi yang mahu dikuatkuasakan, ia mesti praktikal dan mampan," katanya.

Menurut Dr Khoo lagi, adalah tidak wajar dan beretika untuk masyarakat mempunyai sikap suka menghakimi atau melabelkan mana-mana individu yang berpegang kepada kepercayaan masing-masing.

Ini kerana katanya, setiap individu mempunyai kefahaman sendiri dan biasanya ia dipandu mengikut kompas moral serta sejumlah maklumat yang mereka terima.

"Semua ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan mahu mengetahui lebih lanjut dan belajar mengenai vaksinasi ini, justeru media memainkan peranan penting bagi menyebarkan maklumat yang benar mengenai program vaksinasi," katanya.

Sementara itu, program pemberian Vaksin Pneumokokal Konjugat (PCV) Kebangsaan juga mula dilaksanakan pada Disember tahun lalu.

Bayi yang lahir bermula 1 Januari tahun lalu layak untuk mendapat suntikan itu hospital dan klinik kerajaan.

Ia adalah inisiatif kerajaan demi memastikan kanak-kanak di negara ini mendapat penjagaan kesihatan yang terbaik sejak mula dilahirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 9:04 AM