KKM syor penggunaan paracetamol untuk legakan simptom pasca vaksinasi Covid-19
KKM syor penggunaan paracetamol untuk legakan simptom pasca vaksinasi Covid-19

PROGRAM vaksinasi Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak sedang giat dijalankan dan sehingga 21 April lalu dianggarkan sekitar 24.6 peratus kanak-kanak di seluruh negara sudah menerima dos pertama suntikan.

Ketika ini, vaksin Covid-19 Sinovac dan Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Kanak-kanak mungkin mengalami simptom pasca vaksinasi Covid-19 yang biasanya ringan dan akan hilang selepas beberapa hari .

Simptom pasca vaksinasi Covid-19 adalah tanda biasa yang menunjukkan bahawa badan anda sedang membina perlindungan kepada jangkitan Covid-19.

Antara simptom pasca vaksinasi Covid-19 termasuk sakit, kemerahan, bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, menggigil, demam dan loya.

Bergantung pada simptom yang anda alami, ubat penahan sakit seperti paracetamol sesuai untuk semua peringkat umur termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun boleh diberikan untuk mengurangkan simptom pasca vaksinasi Covid-19 seperti kesakitan dan demam .

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa kesihatan awam lain di seluruh dunia mengesyorkan penggunaan paracetamol untuk melegakan simptom pasca vaksinasi Covid-19 seperti demam dan sakit kepala .

Sila lapor sebarang kejadian kesan sampingan di aplikasi MySejahtera dan dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital berdekatan sekiranya gejala kesan sampingan berpanjangan atau semakin teruk.

Pengambilan vaksin adalah sebagai persediaan untuk kembali ke sekolah dengan selamat, dengan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan dan untuk mengelakkan berlakunya kes dan kluster Covid-19 di sekolah.

Ibu bapa dan penjaga digalakkan untuk tampil mendaftarkan kanak-kanak mereka untuk menerima vaksin Covid-19 di https://www.vaksincovid.gov.my/en/register/ atau melalui aplikasi MySejahtera secepat mungkin.

Vaksin Covid-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak. Apabila semakin ramai kanak-kanak mendapat vaksinasi, semakin ramai kanak-kanak yang akan mendapat perlindungan daripada penyakit Covid-19 yang lebih teruk.

Vaksin ini juga boleh mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian akibat jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 6:45 AM