BERPANTANG amat mencabar daripada segi fizikal dan mental.
BERPANTANG amat mencabar daripada segi fizikal dan mental.
Muhamaad Razis Ismail


BERPANTANG selepas melahirkan anak antara satu fasa yang sangat penting yang perlu dilalui ibu untuk kembali pulih.

Pastinya di dalam tempoh ini pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dari segi fizikal dan mental.

Selepas sembilan bulan mengandung dan menghadapi pelbagai perubahan hormon, tempoh berpantang amat diperlukan untuk memastikan keseimbangan hormon yang stabil dan emosi yang tenang.

Oleh itu, sokongan daripada orang di sekeliling amat diperlukan untuk menenangkan emosi ibu yang pada masa sama perlu menguruskan bayi yang baharu dilahirkan.

Selain itu, amalan pemakanan sihat juga perlu diambil kira supaya ibu berpantang mendapat khasiat mencukupi untuk tubuhnya bagi proses pemulihan selepas bersalin dan penyusuan susu ibu.

Keadaan tidak bertenaga berikutan tidak mendapat khasiat yang diperlukan boleh menyebabkan ibu berpantang tertekan sehingga melarat menjadi masalah yang lebih berat contohnya kemurungan sekiranya tidak ditangani segera.

Apabila situasi ini berlaku, kesihatan ibu tidak dapat kembali sepenuhnya, sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan.

Pemilik Tisas Academy Hartini Halim berkata, ibu jangan malu untuk berkongsi perasaan dan emosi dengan suami.

SUAMI perlu membantu mengawal emosi ibu yang berpantang.
SUAMI perlu membantu mengawal emosi ibu yang berpantang.

Katanya, suami atau orang di sekeliling antara individu yang paling penting dalam membantu mengawal emosi ibu yang berpantang.

"Sebenarnya, menahan perasaan hanya akan memanjangkan kemurungan.

"Apabila ibu berkongsi apa yang dirasakan, maka rasa tekanan akan berkurang.

"Sama ada anda percaya atau tidak, menangis antara salah satu terapi yang boleh membantu anda melegakan ketegangan dan tekanan," katanya.

Menurutnya, selain menjaga emosi, pemakanan makanan berkhasiat ketika berpantang adalah aspek yang sangat perlu dititikberatkan.

"Pentingnya makanan berkhasiat supaya kita cepat sihat dan tenaga cepat pulih selepas melahirkan anak.

"Jadi, golongan ibu tidak terlalu memikirkan kesakitan yang dialami, sekali gus akan berasa lebih gembira sepanjang tempoh berpantang," katanya.

MAKANAN berkhasiat penting supaya cepat sihat dan memulihkan tenaga.
MAKANAN berkhasiat penting supaya cepat sihat dan memulihkan tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:30 AM