NUR KHURSHIAH
NUR KHURSHIAH
TUAM di bahagian tangan, perut atau badan boleh bantu hilangkan rasa sengal badan.
TUAM di bahagian tangan, perut atau badan boleh bantu hilangkan rasa sengal badan.
Nurul Husna Mahmud


SESUATU yang normal apabila wanita tidak selesa dan berasa penat kerana tubuh mengambil masa untuk pulih secara semula jadi selepas melahirkan anak.

Dalam tempoh berkenaan, selain penjagaan kesihatan diri seperti penggunaan herba membantu mengelak daripada masalah 'angin' dan sebagainya, penjagaan emosi terutama mental ibu juga sangat penting.

Itu antara sebab mengapa urutan tertentu diperlukan ibu selepas bersalin atau bermulanya tempoh berpantang untuk beri kelegaan, ketenangan dan berupaya menghilangkan rasa letih serta sengal di badan.

Pengasas Butik dan Spa Manja Suri Nur Khurshiah Khalib berkata, perawatan atau pemulihan wanita selepas bersalin dan berbeza mengikut individu.

"Karakter utama menjadikan setiap perawatan berlainan kerana suhu setiap wanita juga berbeza.

"Baik dari segi pemakanan, cara mandi, tuam, tangas sehinggalah urutan bersalin semuanya berbeza.

NOOR Khurshiah menyiapkan minyak dan tempat untuk ibu lebih selesa mengurut.
NOOR Khurshiah menyiapkan minyak dan tempat untuk ibu lebih selesa mengurut.

"Umumnya perlu diketahui rahim atau tubuh wanita selepas bersalin boleh pulih dengan sendirinya.

"Cuma, dengan penjagaan tambahan memberi kesan pemulihan lebih baik terutama jika mereka mahu melakukan hubungan intim dengan suami," katanya ketika ditemui di butiknya di Kepong, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai penjagaan wanita sejurus selepas bersalin katanya, peringkat awal tidaklah rumit serta mempunyai tertib rawatan tertentu.

"Sebenarnya untuk rawatan wanita selepas bersalin, peringkat awal cukup hanya berurut. Urutan juga hanya membabitkan bahagian tubuh tertentu seperti payudara, muka, tangan dan belakang badan.

SAPUAN herba seperti pilis di dahi, param di badan dan tapel di perut antara yang penting ketika selepas bersalin.
SAPUAN herba seperti pilis di dahi, param di badan dan tapel di perut antara yang penting ketika selepas bersalin.

"Kemudian barulah bertungku atau bertuam. Bertungku dan bertuam berbeza kerana tungku menggunakan batu sungai serta berat.

"Jadi, ibu yang baru lepas bersalin lebih sesuai bertuam kerana kain dengan isian herba seperti lada hitam, bunga cengkih dan banyak lagi yang terlebih dahulu disangai (masak dalam kuali tanpa minyak) sesuai untuk kurangkan sengal badan.

"Paling penting sebenarnya bagi setiap ibu ialah mengenakan bengkung bertujuan mengembalikan keadaan perut ibu kepada keadaan asal," katanya.

Urutan rutin penjagaan selepas bersalin bermula dengan mandi serom, dituam, diurut, barulah pemakaian bengkung dan sapuan herba di dahi (pilis), badan (param) dan perut (tapel).

NOOR Khurshiah turut dibantu suami, Abdul Khalil Abd Aziz dalam penyediaan keperluan rawatan pelanggannya.
NOOR Khurshiah turut dibantu suami, Abdul Khalil Abd Aziz dalam penyediaan keperluan rawatan pelanggannya.

Malah Nur Khurshiah yang juga juruurut terapeutik itu berkata, urutan selepas bersalin mempunyai tertib dan jenis tertentu mengikut fungsi serta kesesuaian dalam merawat wanita.

"Urutan pula sebenarnya banyak jenis dan ia mengikut tempoh hari berpantang setiap wanita yang bersalin.

"Bagi ibu berpantang ada empat jenis iaitu urutan pembuka pantang, urutan pemulihan pantang, urutan rawatan pantang dan urutan penutup pantang.

"Urutan pembuka pantang contohnya dilakukan pada hari ketiga hingga hari ke 10 dengan posisi telentang selain meliputi kawasan kepala, leher, payudara, tangan serta sapuan minyak pada tapak kaki. Ini membantu pengaliran dan pengeluaran susu.

MANDIAN serum iaitu sama ada rendaman air suam dengan bunga dan limau atau susu suam membantu memberi kesegaran dan aroma baik pada tubuh ibu.
MANDIAN serum iaitu sama ada rendaman air suam dengan bunga dan limau atau susu suam membantu memberi kesegaran dan aroma baik pada tubuh ibu.

"Pemulihan pantang pula pada hari kelima hingga ke 29 untuk seluruh badan kecuali bahagian perut untuk mereka yang menjalani cesearean. Tujuan bagi lancarkan darah bantal serta darah nifas.

"Berikutnya adalah pada hari ke 25 hingga hari ke 43, urutan susur urat bagi lembutkan saraf dan otot tegang. Ini lebih kepada urutan menenangkan dan bantu si ibu relaks," katanya.

Urutan berkenaan diakhiri dengan urutan penutup pantang bagi naikkan seri selain menghindari wanita supaya tidak mati putik.

Mengenai pantang larang pemakanan pula kata Nur Khurshiah, dia tidak ada sebarang pantang larang kerana tahap toleran individu berbeza dengan setiap makanan.

SAYURAN hijau, buah-buahan dan protein baik membantu ibu bersalin lebih cepat pulih.
SAYURAN hijau, buah-buahan dan protein baik membantu ibu bersalin lebih cepat pulih.

"Ia perlulah seimbang dan elak pengambilan makanan yang boleh memberikan risiko alahan atau tidak selesa pada perut.

"Biasanya saya sarankan banyakkan makanan sayur-sayuran terutama yang hijau dan pengambilan protein boleh percepatkan pulih luka dalaman," katanya.

PENYEDIAAN tuam mudah apabila herba atau kekacang boleh memberi kebaikan kepada tubuh.
PENYEDIAAN tuam mudah apabila herba atau kekacang boleh memberi kebaikan kepada tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:10 AM