IBU yang berpantang biasanya memerlukan rehat untuk proses penyembuhan selepas bersalin.
IBU yang berpantang biasanya memerlukan rehat untuk proses penyembuhan selepas bersalin.
Nurul Husna Mahmud


TEMPOH selepas bersalin bermakna permulaan ibu menjalani amalan berpantang. Kebiasaannya wanita berpantang perlu mengelakkan pengambilan makanan tertentu atau melakukan perkara yang boleh menjejaskan pemulihan kesihatan mereka selama 44 hari atau 100 hari.

Ia bertujuan mempercepatkan penyembuhan segera luka bersalin, memulihkan hormon dan menghindari jangkitan atau gangguan luar yang tidak baik kepada mereka.

Amalan berpantang tidak sekadar soal pemakanan si ibu semata-mata malah ia juga merangkumi perbuatan seperti 'bersama' suami juga ditegah ketika sedang berpantang.

Bagaimanapun, amalan berpantang itu masih kuat dalam kepercayaan masyarakat Melayu. Bangsa lain juga tidak terkecuali mempunyai kaedah tersendiri dalam amalan berpantang.

Kaum India umpamanya menggalakkan pemakaian bengkung dalam tempoh menjalani pantang selama 40 hari. Sementara itu, dalam kepercayaan masyarakat Cina pula wanita yang berpantang tidak dibenarkan membasuh rambut dalam tempoh berpantang sekurang-kurangnya 30 hari.

Melangkah lebih jauh lagi, masyarakat dunia juga mempunyai pantang larangnya tersendiri. Tidak kurang uniknya seperti Guatemala yang mengamalkan tempoh berpantang selama sembilan bulan turut dinamakan 'la cuarentena' bagi melindungi ibu dan bayi dari penyakit serta hasad orang sekeliling.

Tidak hairanlah antara amalan berpantang ini dikatakan agak 'ekstrim' dan sebahagiannya dipercayai karut atau pun hanyalah mitos kerana tidak lagi diamalkan golongan ibu hari ini.

Membincangkan isu itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Puteri Ayu Medical Center, Dr Siti Rohayu Dr Kamarul Baharain berkata, perubahan persekitaran dan kemudahan kesihatan yang bertambah baik membuatkan petua atau amalan berpantang suatu ketika dahulu ada sesetengahnya tidak lagi sesuai.

"Melihat kepada keadaan wanita dahulu yang rata-ratanya melahirkan anak di rumah, tiada prosedur seperti luka bersalin dijahit dan hanya mengharapkan luka berkenaan sembuh secara semula jadi.

"Berlainan situasi ibu masa kini, rata- rata bersalin di hospital dengan kemudahan kesihatan lebih baik dan ramai pakar.

"Begitu juga dengan persekitaran termasuklah tempat tinggal, cara hidup dan rutin wanita membanting tulang berkebun serta melakukan tugas harian dalam keadaan seadanya.

BUAH-buahan dan sayuran penting untuk membekalkan serat.
BUAH-buahan dan sayuran penting untuk membekalkan serat.

"Tetapi semua berubah kerana ibu sekarang tinggal dalam kediaman selesa dan memiliki sokongan termasuklah pembantu rumah atau ahli keluarga sedia membantu menguruskan rumah sementara mereka berehat.

"Secara tidak langsung ia mempengaruhi amalan berpantang atas tujuan membantu ibu selepas bersalin di zaman terbabit," katanya.

Apatah lagi dalam sesetengah masyarakat, sebahagian amalan berpantang dititipkan nenek moyang terdahulu bukanlah mitos tetapi tidak sesuai lagi diguna pakai kerana peralihan zaman terutama kemudahan dan kepakaran kesihatan yang bertambah baik.

"Tidak dinafikan ada pantang larang diturunkan generasi terdahulu masih relevan contohnya tidak boleh minum ais atau air sejuk kerana bimbang 'bentan' atau peranakan menjadi 'sejuk' dan tidak subur.

"Sedangkan rasionalnya adalah langkah pencegahan yang mana kita ketahui minum ais atau air sejuk boleh mengundang batuk secara tiba-tiba.

DR Siti Rohayu
DR Siti Rohayu

"Bayangkan keadaan wanita selepas bersalin menikmati air sejuk dan terbatuk. Senario terburuk luka jahit boleh kembali terbuka," katanya.

Tidak hanya mitos mengenai wanita dalam pantang tidak boleh minum ais, kerana terdapat empat lagi amalan berpantang dikatakan boleh memudaratkan kesihatan ibu.

1. Mitos mengenai wanita selepas bersalin tidak boleh mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran kerana boleh memberi kesan kepada peranakan.

Kurang tepat kerana ibu bersalin perlukan nutrisi mencukupi untuk sembuh termasuklah sumber makanan berasaskan sayur - sayuran dan buah-buahan.

Tiada istilah sistem peranakan menjadi 'sejuk' dan lesu sebaliknya mereka perlu sumber sayur dan buah yang tinggi unsur fiber dalam membantu pencernaan lebih baik pada si ibu.

2. Mitos mengenai larang mengambil sumber seperti udang, telur dan ikan tertentu dikatakan boleh menyebabkan luka atau gatal.

Gatal pada bahagian luka bermaksud luka luar sudah mengering dan kulit baru mahu tumbuh. Kebanyakan kes gatal pada bahagian luka sebenarnya mekanisme semula jadi membuatkan tindak balas untuk menggaru atau membuang kulit mati (kulit gatal). Dikatakan ia tidak berkait dengan pengambilan sumber itu kepada ibu.

Malah penting untuk ibu mengambil protein yang baik dan mencukupi. Ini diperoleh pada sumber seperti telur, ayam, udang dan banyak lagi. Ibu yang berpantang boleh ambil asalkan tiada alergi atau alahan terhadap makanan berkenaan.

Bagaimanapun, kena berhati-hati dengan pengambilan herba tertentu yang memberi kesan kepada hormon wanita. Gangguan ini boleh merencatkan proses penyembuhan wanita terbabit.

3.Mitos wanita sedang berpantang tidak boleh bersenam

Senaman membantu merangsang hormon dan menyihatkan tubuh badan termasuklah untuk wanita selepas bersalin.

Cuma ada had tertentu dalam memilih senaman sesuai dan bukan berintensiti tinggi seperti aktiviti memanjat atau angkat berat.

PANTANG untuk ceaserean lebih lama iaitu 100 hari.
PANTANG untuk ceaserean lebih lama iaitu 100 hari.

Lakukan pergerakan ringan yang dapat membantu meningkatkan perjalanan darah sekali gus membantu proses penyembuhan baik kepada ibu.

4.Mitos wanita berpantang tidak boleh terdedah dengan angin dan kesejukan. Ramai wanita mengenakan baju berlapis dan juga stokin ketika berpantang.

Hakikatnya wanita bersalin perlu dalam keadaan relaks. Terdedah dengan keadaan panas boleh menyebabkan mereka kurang selesa.

Selain itu risiko mengalami jangkitan pada luka jahitan juga mudah kerana berpeluh dan panas yang boleh mengundang kuman hadir.

Sebaiknya kekalkan suasana nyaman dengan pengudaraan baik agar ibu itu selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 7:00 AM