SUKARELAWAN MyFundAction mula membuat agihan makanan untuk mereka yang terjejas.
SUKARELAWAN MyFundAction mula membuat agihan makanan untuk mereka yang terjejas.
HM Digital

PRIHATIN dengan nasib yang menimpa 1,200 keluarga di lima Pusat Penempatan Sementara (PPS) di sekitar Lembah Klang, MyFundAction melancarkan Tabung Kecemasan Bencana Alam bagi mendapatkan bantuan asas seperti makanan dan keperluan lain untuk kegunaan mangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction Muhammad Afiq Mohmad Nazari, seramai 25 sukarelawan bersedia di lima PPS iaitu Bandar Putri, Jalan Kebun, Seksyen 28, Seksyen 13 dan Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor bagi kerja agihan terutama bantuan makanan dan keperluan kebersihan diri.

"Sehingga hari ketiga, Sukarelawan MyFundAction bekerjasama dengan komuniti setempat mengagihkan sumbangan 3,000 pek 'korban' (makanan sedia dimakan), 700 pek makanan panas, 1500 air mineral (1.5 liter) dan 70 buku roti.

"Kami menjangkakan bantuan lain bakal menyusul menerusi sumbangan orang ramai atau pihak korporat dalam bentuk barangan atau wang tunai supaya mangsa dapat meneruskan kelangsungan sementara keadaan banjir surut.

"Bantuan lain yang masih diperlukan termasuk ubat-ubatan ringan, bantal, selimut, kit kebersihan diri dan tikar bagi keselesaan lebih 1,200 keluarga di PPS," katanya yang mengakui ada sukarelawan turut terkesan.

Sebahagian sukarelawan turut ditimpa musibah apabila rumah mereka tenggelam dalam banjir besar. Tetapi, itu tidak menghalang fokus mereka membantu mangsa lain.

SUMBANGAN pek makanan untuk mangsa.
SUMBANGAN pek makanan untuk mangsa.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Hijrah Kota Kemuning, Sallehudin Othman berkata, ketika ini pihaknya bersyukur dapat membantu meringankan beban mangsa dengan menjadikan surau sebagai salah satu tempat mereka berlindung.

"Saya berharap lebih ramai menyumbang termasuk dalam penyediaan makanan yang siap dimasak dan keperluan harian berupa selimut, bantal serta keperluan pakaian bersih untuk kemudahan mangsa," katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Damai Dahlia, Seksyen 29, Shah Alam, Syed Izyan Safwan Azmi berkata, kejadian banjir berlaku dengan pantas apabila air semakin naik pada jam 9 malam tidak memberi pilihan kepada dia dan keluarga untuk terus berada dalam rumah.

"Saya terpaksa keluar bersama isteri dan anak termasuk seorang bayi untuk selamatkan diri menuju taman paling hadapan kerana itu satu-satunya kawasan masih tidak ditenggelami air.

"Saya menunggu bersama beberapa penghuni lain di situ jam 9 malam sehingga diselamatkan kira-kira jam 3 pagi.

"Alhamdulillah sukarelawan membawa kami ke surau untuk berlindung dan kami diberi makan. Walaupun sudah masuk hari kedua, paras air masih tinggi iaitu paras dada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:38 AM