Hafiz Ithnin

TAMPALAN gigi menjadi perkara yang biasa dilakukan jika seseorang itu mengalami masalah gigi berlubang. Malah, warna tampalan gigi juga penting kerana ia adalah isu estetika sama ada selepas menampalnya bakal kelihatan asli atau sebaliknya.

Tidak dinafikan jika dahulu tampalan gigi yang kelihatan berwarna perak memberi kesan kepada penampilan si empunya diri kerana ia kelihatan tidak asli.

Apatah lagi tampalan gigi yang berwarna perak itu kelihatan begitu jelas apabila anda sedang bercakap. Mungkin lebih memalukan jika anda penyanyi profesional kerana sebaik sahaja kamera difokuskan kepada bahagian mulut, tampalan gigi berwarna perak jelas kelihatan!

Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratif di Kuliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, tampalan yang berwarna perak pada gigi terutama pada gigi belakang dinamakan tampalan amalgam. Sebanyak 50 peratus daripadanya adalah merkuri.

Jelasnya, terdapat kontroversi terhadap sejenis tampalan gigi. Sesetengah hujah mengatakan bahawa tampalan gigi adalah bertoksik kerana ia mengandungi merkuri.

"Penggunaan tampalan amalgam sudah digunakan sekian lama di China. Dalam bidang pergigian yang moden ini, doktor gigi menggunakan bahan ini lebih daripada 150 tahun. Selama ini munculnya 'perang amalgam' dan kontroversi terhadap kandungan merkuri.

CONTOH tampalan amalgam.
CONTOH tampalan amalgam.

KEADAAN gigi selepas ditukar dengan tampalan komposit.
KEADAAN gigi selepas ditukar dengan tampalan komposit.

"Namun, penggunaan tampalan itu masih dikekalkan. Jika berbanding dengan bahan restoratif pergigian yang lain, amalgam adalah tahan lama dan murah terutama memperbaiki gigi yang di bahagian belakang," katanya.

Katanya, banyak kajian menunjukkan bahawa tampalan amalgam akan melepaskan wap merkuri. Bagaimanapun, risiko kesihatan yang berpunca daripada amalgam masih tidak diketahui secara menyeluruh lagi.

"Sehingga hari ini, tiada bukti kukuh yang menjelaskan bahawa amalgam boleh memudaratkan tubuh manusia dan menyekat penggunaannya.

"Ada beberapa kajian dilakukan terhadap penggunaan amalgam iaitu ketika doktor gigi membuat tampalan amalgam, kuantiti merkuri yang dilepaskan hanya sedikit, di mana masih jauh berbeza lagi daripada standard kesihatan semasa.

"Secara puratanya, 55 hari adalah separuh hayat merkuri untuk dilepaskan daripada badan. Oleh yang demikian, merkuri tidak akan ditinggalkan dalam badan secara berpanjangan," katanya.

Tambahnya, merkuri boleh dijadikan sebagai ejen bakteriostatik. Ia mampu membanteras bakteria yang terdapat dalam kaviti oral. Ini adalah untuk menghentikan sebarang kerosakan yang berkemungkinan berlaku dalam kalangan individu yang mudah dijangkiti bakteria.

"Jadi, tidak perlu terlalu bimbang berkenaan tampalan amalgam. Ia bukan sahaja pandangan sendiri, tetapi juga badan bereputasi seperti Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), Akademi Pediatrik Amerika, Akademi Toksikologi Klinikal dan Laporan Pengguna," jelasnya.

Katanya, walaupun amalgam tidak memudaratkan badan selain adanya bahan lain yang membawa kebaikan.

BERJUMPA pakar pergigian untuk mendapatkan rawatan tampalan yang sesuai.
BERJUMPA pakar pergigian untuk mendapatkan rawatan tampalan yang sesuai.

"Pergigian estetik adalah penekanan hari ini, penggunaan tampalan berwarna gigi semakin meningkat. Jika doktor gigi anda menawarkan tampalan berwarna gigi yang berkualiti yang mampu mengekalkan kemapanan dalam jangka panjang, anda boleh mempertimbangkannya.

"Jika di sebaliknya, anda boleh memilih kaedah tradisional iaitu tampalan amalgam," katanya

"Bahan-bahan lain seperti komposit juga adalah salah satu pilihan baik yang boleh dipertimbangkan.

"Pilih tampalan komposit sekiranya tampalan itu adalah jelas dilihat ketika anda senyum atau bercakap," katanya.

Tambahnya, secara ringkas, kebanyakan orang salah sangka bahawa tampalan amalgam adalah tidak selamat.

"Namun, di sebaliknya adalah tampalan ini sudah dibuktikan selamat dan diamalkan dalam bidang pergigian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:00 AM