BAWA kanak-kanak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan secara berkala.
BAWA kanak-kanak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan secara berkala.
Hafiz Ithnin


DALAM kalangan orang dewasa masalah gigi berlubang antara situasi yang sukar digambarkan rasa sakitnya jika ia berlarutan.

Apatah lagi, jika si kecil yang mengalaminya pasti memberi kesan yang buruk kepada mereka selain tidak dapat memberi tumpuan dalam pembelajaran dan aktiviti harian.

Menurut Pemilik Bersama Klinik Pergigian Verde Amani Dental Care, Dr Rabi'atul Adawiah Subahi, antara masalah yang sering dialami kanak-kanak ialah gigi berlubang atau pun karies gigi.

Katanya, gigi susu bersifat lebih nipis berbanding gigi kekal. Hal ini menyebabkannya lebih cenderung untuk berlubang.

"Ibu bapa seharusnya memberi perhatian yang mendalam terhadap masalah gigi berlubang. Amat tidak digalakkan untuk menganggap gigi susu berlubang tidak perlu ditampal atas sebab gigi kekal akan tumbuh kelak.

"Gigi susu mula terbentuk seawal usia enam minggu ketika bayi dalam kandungan dan gigi susu pertama pula biasanya tumbuh pada usia bayi empat hingga enam bulan selepas dilahirkan," katanya.

Jelasnya, penjagaan gigi susu perlu dititikberatkan kerana ia penting untuk kanak-kanak bercakap, mengunyah makanan, nilai estetik dan khususnya untuk mengekalkan ruang gigi bagi pertumbuhan gigi kekal.

TAMPAL lubang di bahagian depan menggunakan material komposit.
TAMPAL lubang di bahagian depan menggunakan material komposit.

"Tanda-tanda gigi berlubang boleh dikenal pasti jika terdapatnya lesi putih pada permukaan gigi, warna keperangan atau kehitaman.

"Selain itu, kanak-kanak akan mengadu kurang selesa, ngilu atau sakit apabila makan atau mengambil minuman yang sejuk, panas atau manis," katanya.

Jelasnya, bagi kanak-kanak yang kerap menyusu botol terutama pada sebelah malam, gigi yang kerap berlubang adalah gigi bahagian depan.

"Ibu bapa boleh melakukan pemeriksaan di rumah dengan kaedah 'Lift the Lip' iaitu mengangkat bibir atas kanak-kanak dan periksa.

"Sekiranya terdapat tanda-tanda gigi berlubang, segera berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan. Sekiranya ditangguh, boleh menyebabkan lubang yang kecil pada asalnya menjadi lebih teruk dan mungkin memerlukan rawatan yang lebih kompleks," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa kaedah penjagaan gigi iaitu amalan memberus gigi dan diet pemakanan yang betul. Amalan memberus gigi dua kali sehari dengan teknik memberus yang betul perlu dijadikan rutin harian bagi kanak-kanak.

TAMPALAN yang boleh menggunakan sama ada material komposit, SSC atau amalgam.
TAMPALAN yang boleh menggunakan sama ada material komposit, SSC atau amalgam.

"Selain itu, kanak-kanak perlu mengamalkan diet yang mengandungi gula yang rendah supaya karies gigi dapat dielakkan.

"Di samping itu, rawatan pencegahan gigi berlubang juga boleh didapati di klinik gigi. Antaranya rawatan sapuan fluorida topikal dan rawatan pengapan fisur bagi yang memerlukan," katanya.

Dr Rabi'atul berkata, bagi kanak-kanak yang sudah pun mempunyai masalah gigi berlubang, perlu mendapatkan rawatan segera di klinik pergigian. Pemeriksaan akan dilakukan doktor gigi sama ada masih boleh ditampal, memerlukan rawatan saraf atau cabutan.

"Terdapat pelbagai jenis tampalan yang boleh diguna pakai bergantung kepada keadaan gigi kanak-kanak terbabit.

"Antaranya tampalan amalgam dan tampalan sewarna seperti simen ionomer kaca serta komposit. Amalgam adalah satu bahan yang sudah lama digunakan kerana ia adalah satu bahan yang tahan lama.

"Selalunya amalgam digunakan untuk tampalan gigi belakang disebabkan warnanya perak selain kurang menarik jika digunakan untuk gigi bahagian hadapan," katanya.

GIGI susu yang ‘hypomineralised’ ditampal menggunakan SSC.
GIGI susu yang ‘hypomineralised’ ditampal menggunakan SSC.

Jelasnya, kini ini terdapat pilihan tampalan sewarna yang sesuai digunakan gigi hadapan iaitu simen ionomer kaca dan komposit.

"Material komposit kini sudah setanding ketahanan kuatnya dengan amalgam. Material simen ionomer kaca pula mengandungi fluorida. Rawatan 'stainless steel crown' (SSC) adalah untuk gigi yang strukturnya tinggal sedikit atau selepas rawatan saraf.

"Selalunya SSC digunakan untuk gigi belakang kerana ia berwarna perak. SSC juga digunakan untuk gigi yang lemah secara kongenital," katanya.

Nasihatnya, ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam penjagaan gigi anak-anak. Beri tunjuk ajar dan panduan serta didikan penjagaan gigi yang betul kepada si kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 6:20 AM