BERJUMPA dan mendapatkan rundingan daripada pakar pergigian untuk mendapatkan rawatan yang betul.
BERJUMPA dan mendapatkan rundingan daripada pakar pergigian untuk mendapatkan rawatan yang betul.
Hafiz Ithnin


SEJAK kebelakangan ini ibarat sudah menjadi satu gaya dalam kosmetik pergigian apabila ada yang memiliki gigi putih hingga seputih batu mahjong!

Tidak dinafikan kecantikan itu adalah sesuatu yang subjektif untuk dinilai di mata peribadi, tetapi dari segi kesihatannya mungkin tersirat perkara baik atau sebaliknya.

Pensyarah dan Pakar Restoratif Pergigian Kulliyyah Pergigian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kapten (B) Dr Mohd Haikal Muhamad Halil berkata, antara pengalamannya berdepan situasi individu yang inginkan gigi berwarna putih kerana mahu kelihatan seperti seorang artis idaman mereka.

'Saya nak nampak putih macam gigi artis, doktor! Kawan saya buat dekat sebuah klinik di luar negara murah, kalau di Malaysia mahal betul!'

"Ini antara perbualan saya dengan pesakit apabila membabitkan kosmetik pergigian," katanya.

Soalnya, pernahkah anda bertemu seseorang pertama kali dan sebaik senyum, anda terkejut melihat senyumannya tak ubah seperti gerhana matahari atau pun gula-gula mentos disusun rapi?

"Rawatan yang mereka lakukan untuk mendapatkan kesan sebegitu dikenali sebagai veneer. Sama ada dilakukan doktor yang bertauliah atau tidak, ini adalah isu yang berbeza.

"Veener adalah satu lapisan material sama ada komposit atau seramik yang dipasang di atas permukaan gigi dan boleh menjadikan gigi lebih teratur, putih serta cantik," katanya.

Bagaimanapun katanya, gigi tak sepatutnya kelihatan terlalu putih kerana dari segi teorinya bahagian enamel adalah lapisan di luar gigi yang asalnya berwarna putih dan dentin adalah bahagian dalam yang berwarna lebih kuning.

"Tetapi, kenapa gigi boleh berwarna kuning atau mempunyai warna yang pelik? Ada beberapa sebab antaranya, kita bahagikan kepada sebab ekstrinsik dan intrinsik.

"Penurunan melampau lapisan enamel boleh menyebabkan gigi kelihatan bukan sahaja kuning, malah ada juga pesakit yang giginya kelihatan berwarna coklat dan kelabu," katanya.

Katanya, antara faktor utama adalah kesan penuaan. Apabila seseorang itu semakin meningkat usia, enamel akan semakin nipis.

"Diet atau amalan yang konsisten seperti minum kopi atau teh pada kadar yang kerap setiap hari juga boleh menyebabkan gigi kelihatan kekuningan.

MENJADI dambaan gigi berwarna putih.
MENJADI dambaan gigi berwarna putih.

"Merokok juga boleh menyebabkan gigi kelihatan kuning. Kesimpulannya, apa saja yang diambil mempunyai pewarna dan diambil pada kadar konsisten boleh menyebabkan gigi kelihatan lebih kuning selain ini kategorikan sebagai faktor ekstrinsik," katanya.

Tambahnya, untuk kategori faktor instrinsik pula, ia adalah keadaan yang berlaku di dalam enamel dan dentin. Antaranya, trauma kepada gigi ketika kecil, pengambilan 'tetratcyline' oleh ibu yang mengandung dan pengambilan flourida yang berlebihan.

"Malangnya warna gigi di bawah kategori ini adalah lebih sukar untuk dirawat berbanding faktor ekstrinsik. Jadi, apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat jika anda mengalami masalah ini, adalah untuk tidak terus terburu-buru melakukan keputusan tanpa berbincang dengan doktor gigi bertauliah kerana setiap pesakit adalah unik," katanya.

Katanya, antara rawatan yang boleh dilakukan untuk memutihkan gigi selain veneer termasuk resin 'infiltration' dan 'whitening'.

"Semua rawatan yang saya nyatakan itu adalah bergantung pada tahap teruk sesuatu kes itu. Selain daripada memutihkan gigi, masalah kesihatan gigi seperti berbentuk tidak sekata, gigi pecah, jarang dan berserpih semuanya boleh menjadi cantik dengan veener.

"Tetapi, semuanya hanya jika ada indikasi yang sesuai. Dalam bidang pergigian, kami diajar untuk menganalisis sesuatu pesakit melalui 'evidence based dentistry' dan perlukan juga pemeriksaan klinikal yang sangat khusus," katanya.

CONTOH 'veneer composite' yang dilakukan untuk menutup ruang yang dipanggil median diastema.
CONTOH 'veneer composite' yang dilakukan untuk menutup ruang yang dipanggil median diastema.

Jelasnya, 'smile line, 'smile profile' dan 'golden proportion' antara perkara yang perlu dianalisis dengan lebih terperinci.

"Namun, ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menjual produk veener palsu terutama dalam platform pembelian dalam talian dan media sosial menggunakan nama 'boombastik' dengan harga yang murah.

"Ia berlaku disebabkan permintaan yang tinggi untuk mencantikkan gigi menyebabkan ada beberapa pihak mengambil kesempatan," katanya.

Dr Mohd Haikal berkata, kesannya pernah dilaporkan di sebuah negara di Asia, seorang remaja melakukan prosedur veneer di bangsal di belakang rumahnya, menggunakan bahan yang tidak steril dan bahan veneer tidak diiktiraf, mengakibatkan pesakit beliau mengalami komplikasi seperti pendarahan gusi dan terkena jangkitan silang yang berbahaya seperti Hepatitis dan HIV.

"Secara jujur saya katakan, isu veneer palsu ini bukan perkara baharu. Kesedaran masyarakat belum tinggi untuk memahaminya.

"Pada pendapat saya, mereka mendapatkan rawatan veneer palsu tidak elok untuk kesihatan dan pemberi perkhidmatan pula bukan pengamal pergigian yang sah.

"Masalahnya di sini ialah bukan terletak kepada 'saya tidak tahu' kerana masyarakat kita ramai yang tahu, tapi tidak peduli dan tidak kisah asalkan giginya kelihatan putih serta cantik pada pandangannya," katanya.

Jelasnya, tidak salah jika kita ingin kelihatan cantik, tetapi perlu

memikirkan mengenai fungsi dan bentuk gigi yang asal.

"Jika mahu dilihat dari segi fiqh pergigian, rawatan veneer atau pemutihan gigi adalah perlu jika ia perlu untuk memperoleh fungsi dan struktur gigi kembali.

"Namun, jika bertujuan untuk kecantikan semata-mata adalah dilarang kerana bersamaan dengan konsep tabarruj dalam Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:00 AM