AMALKAN kebersihan dengan kerap membasuh tangan.
AMALKAN kebersihan dengan kerap membasuh tangan.
Muhamaad Razis Ismail

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu kes taun yang dikesan Jabatan Kesihatan Selangor di daerah Petaling, Selangor.

Kolera adalah penyakit berjangkit akut yang menyebabkan cirit-birit teruk akibat pengambilan makanan atau air yang tercemar dengan bakteria, Vibrio cholerae yang boleh menyebabkan kematian akibat dehidrasi yang teruk.

Kebanyakan kes kolera adalah tanpa gejala dan dalam kalangan mereka yang mengalami gejala, majoriti mengalami gejala ringan atau sederhana manakala minoriti mengalami cirit-birit berair akut dengan dehidrasi yang teruk.

Kolera adalah salah satu penyakit wabak tertua yang dicatatkan dalam sejarah dan ia berkait rapat dengan akses yang tidak mencukupi terhadap air bersih dan sistem sanitasi.

Walaupun ia berkemungkinan besar tidak berjangkit daripada satu orang kepada orang lain, ia boleh merebak dengan cepat di kawasan tanpa rawatan kumbahan dan air bersih melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar secara langsung atau tidak langsung melalui najis atau muntah orang yang dijangkiti penyakit ini.

Dengan usaha yang sudah bertahun-tahun lamanya oleh sektor awam dan swasta untuk menambah baik rawatan kumbahan dan rawatan air di negara ini, kebanyakan rakyat Malaysia dapat menikmati air yang bersih dan selamat untuk kegunaan harian mereka sambil mengelakkan penyakit bawaan air.

Bagaimanapun, pengesanan kes kolera di kawasan bandar negara kita sekali lagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup bersih dan penggunaan air yang sihat dalam kehidupan harian.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong berkata, sanitasi dan kebersihan diri adalah strategi utama dalam mencegah dan mengawal penyebaran penyakit bawaan air.

"Pencemaran yang terdapat dalam air adalah punca penularan penyakit bawaan air seperti kolera.

"Namun, ia boleh dielakkan jika sumber air diurus dengan betul (tidak kira sama ada untuk kegunaan komersial atau peribadi) dan selain itu, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk turut berusaha bagi gaya hidup bersih," katanya.

Terdapat beberapa cara pencegahan mudah yang boleh anda jadikan sebagai tabiat bermanfaat dalam menjaga kebersihan untuk kehidupan yang sihat.

DIDIHKAN air sebelum penggunaan.
DIDIHKAN air sebelum penggunaan.

Pastikan kualiti air isi rumah

• Antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memastikan aliran air bersih yang berterusan di rumah kita ialah dengan penyimpanan air yang selamat (dalam bekas tertutup) sebagai langkah penyediaan untuk menghadapi situasi di mana kita tidak mempunyai akses kepada air bersih.

• Selain itu, anda boleh memasang sistem penapisan air isi rumah yang berkualiti tinggi untuk persekitaran air yang selamat dan sihat, untuk menghapuskan bahan berbahaya dalam air yang mampu menjejaskan kesihatan kita.

Minum air bersih dan pastikan kebersihan apabila menyediakan makanan

• Walaupun kita mempunyai akses kepada air paip yang bersih untuk kegunaan harian, kita dinasihatkan untuk memasak air sebelum digunakan untuk minum atau makan sebagai langkah berjaga-jaga.

• Didihkan air adalah cara yang berkesan untuk menjadikan air lebih selamat untuk diguna kerana ia membantu membunuh bakteria yang tidak diingini dan berbahaya kepada kesihatan kita.

Selain itu, kita juga perlu memberi perhatian terhadap kebersihan ketika menyediakan makanan kerana makanan yang tidak bersih boleh mengakibatkan bukan sahaja penyakit bawaan air, tetapi juga cirit-birit, keracunan makanan dan sebagainya.

• Pastikan juga untuk membersihkan tempat penyediaan makanan atau kawasan dapur dengan sabun dan air yang selamat sebelum memasak.

CIRIT-birit berair akut antara gejala dijangkiti kolera.
CIRIT-birit berair akut antara gejala dijangkiti kolera.

Masak makanan dengan sempurna

• Pastikan anda memasak makanan laut dan daging sepenuhnya. Daging mentah mengandungi bakteria berbahaya dan daging yang tidak disimpan dan dimasak dengan betul boleh menyebabkan keracunan makanan dan penyakit lain.

• Sebagai alternatif, jika anda benar-benar mengidam makanan seperti sashimi dan daging separuh masak, anda boleh mengunjungi restoran yang mempunyai tahap kebersihan yang tinggi sepanjang proses penyimpanan, penyediaan dan memasak untuk menikmati hidangan yang selamat dan lazat tanpa perlu menanggung kesan yang mungkin memudaratkan kesihatan.

Kerap basuh tangan

• Kerap menjaga kebersihan tangan sudah menjadi norma baharu sejak penularan pandemik Covid-19. Ia adalah salah satu cara yang mudah, tetapi berkesan untuk mencegah daripada penyakit dan seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian kita.

• Basuh tangan anda dengan teliti dengan menggunakan air bersih dan sabun sambil memberi perhatian pada bahagian belakang tangan, kuku dan antara jari-jari anda.

Kunjungi kolam renang yang disanitasi dengan betul

• Aktiviti berenang adalah kegiatan yang sihat, namun ia juga penting untuk memastikan kolam renang mempunyai air yang bersih.

• Hal ini kerana penyakit bawaan air boleh merebak melalui pengambilan air yang tercemar. Pengambilan air yang mengandungi bakteria berbahaya boleh menyebabkan cirit-birit, kulit sensitif dan sebagainya.

• Walaupun pengurusan kolam renang bertanggungjawab untuk memastikan kolam renang dibersihkan dengan betul, pengguna juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memerhatikan kekerapan pembersihan berjadual dan mengunjungi kolam renang yang diyakini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:40 AM