TIDAK mencuci tangan membawa risiko penyakit bawaan air.
TIDAK mencuci tangan membawa risiko penyakit bawaan air.
Nurul Husna Mahmud


HUJAN bagi kebanyakan orang adalah bermaksud 'tuah' dan rezeki kerana ia menyuburkan tanah serta tanaman selain menyejukkan suhu persekitaran.

Namun dalam sesetengah keadaan, hujan kadang-kala dilihat sebagai ujian apabila dikaitkan dengan musim wabak terutama penyakit bawaan air.

Penyakit bawaan air tidak semestinya merujuk kepada satu penyakit sahaja, sebaliknya mewakili sekumpulan penyakit yang menjangkiti manusia menerusi makan dan minuman tercemar atau dikenali 'feco-oral.'

Kesannya bukan hanya mendatangkan gejala kurang selesa kepada individu yang terkesan, penyakit bawaan air juga boleh membawa komplikasi termasuklah risiko maut. Dua contoh penyakit kategori terbabit adalah kolera atau taun dan leptospirosis yang lebih dikenali kencing tikus.

I. Taun atau kolera

Gejala mudah bagi penyakit bawaan air selalunya cirit- birit dan muntah termasuklah pesakit kolera.

Mereka yang mengalami cirit-birit adalah gejala yang ringan tetapi simptom ini boleh menjadi serius apabila disusuli komplikasi dehidrasi iaitu kekurangan air dalam badan.

Komplikasi ini jika tidak dirawat, mengganggu sistem tubuh seperti gangguan peredaran darah (menyebabkan tinggi asid dalam badan) dan kegagalan buah pinggang. Kematian juga boleh terjadi jika tidak dirawat dengan segera.

II. Lepstopirosis

Leptospira adalah kuman 'bertanggungjawab' kepada makanan atau minuman yang dicemari dengan kencing binatang.

Gejala pesakit kencing tikus mirip kepada penyakit bawaan air lain seperti cirit-birit, muntah, loya dan demam.

Komplikasi serius bagi penyakit terbabit boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan sistem pernafasan.

Justeru, penting mengetahui risiko terutama individu yang mudah terdedah kepada penyakit bawaan air.

Antaranya:

1. Individu yang berada dalam kawasan bencana terutama banjir

Banjir menghanyutkan apa sahaja berada di laluannya dan bermakna ia turut membawa kotoran serta sampah.

Secara tidak langsung kemungkinan bakteria dan kuman boleh wujud dalam persekitaran yang kotor.

2. Individu yang tinggal dalam kawasan pembiakan vektor (ejen pembawa penyakit) seperti tikus, lipas atau lalat.

Vektor merujuk kepada agen (orang, haiwan atau mikroorganisma) yang membawa dan memindahkan virus, kuman atau bakteria berjangkit ke dalam hidupan lain.

Jika agen penyakit terbabit terkumpul dan membiak dalam persekitaran kotor kemungkinan ia membawa kuman, bakteria serta virus.

3. Individu yang menjalankan aktiviti di lokasi berair seperti air terjun Lokasi air terjun menjadi tumpuan aktiviti rekreasi

seperti berkelah atau mandi-manda.

Atas faktor lokasi ini menjadi tarikan, kemungkinan tinggi terdapat sampah ditinggalkan menggamit perhatian binatang lain terutama tikus.

Tikus antara haiwan yang dikaitkan dengan penyakit bawaan air kerap berlaku di kawasan tarikan pelancongan.

AIR terjun antara lokasi kerap dikaitkan dengan kencing tikus.
AIR terjun antara lokasi kerap dikaitkan dengan kencing tikus.

4. Individu yang menguruskan makanan atau tidak membasuh tangan sebelum makan.

Bakteria mudah berpindah daripada objek atau benda tercemar ketika dipegang. Risiko untuk menghidapi penyakit bawaan air lebih tinggi kepada mereka yang tidak mengamalkan amalan mencuci tangan terutama ketika makan dan mengendalikan makanan.

5. Individu tidak mendapat akses sumber air bersih.

Air bersih adalah sumber penting dan tidak mendapat akses kepada sumber itu boleh menjadi punca kepada penyakit bawaan air terutama taun atau kolera.

Pastikan pengambilan air sudah dimasak atau sumber yang diyakini bersih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 6:09 AM